Translate

Wednesday, June 6, 2012

1,800 peserta ladang PPPNP dapat durian runtuh

IPOH - Seramai 1,800 peserta ladang sosial kelolaan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak ( PPPNP ) dijangka menerima 'durian runtuh' daripada agihan keuntungan yang bakal diumumkan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif  PPPNP , Ahmad Rizal Abdul Rahman (gambar) berkata, agihan keuntungan tersebut dijangka tertinggi pernah diagihkan sepanjang lebih 15 tahun pembukaan ladang sosial terbabit.

"Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir selaku Pengerusi  PPPNP  akan menyampaikan agihan keuntungan terbesar itu di kediaman rasmi beliau di sini esok (hari ini).

"Agihan keuntungan ini satu penghargaan kepada semua peserta ladang sosial terbabit dan kakitangan  PPPNP  yang bekerja keras menjana keuntungan besar pada tahun lalu," katanya ketika dihubungi Kosmo!Ahad di sini semalam.

Ahmad Rizal berkata, pengagihan keuntungan berkenaan dinikmati peserta ladang rakyat, ladang pahlawan dan ladang usahawan pahlawan yang rata-ratanya mengusahakan kelapa sawit.

Menurut beliau, kebanyakan peserta ladang sosial itu terdiri daripada golongan miskin, bekas tentera dan polis serta kakitangan kerajaan yang berpangkat rendah.

Tuesday, June 5, 2012

Peluang lihat keris Taming Sari di Kuala Kangsar

IPOH - Orang ramai berpeluang menyaksikan keris Laksamana Hang Tuah,  Taming   Sari  yang sedang dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak.

Pengarah Muzium Perak, Nor Janati Ibrahim berkata,  pameran  itu yang bermula sejak kelmarin sehingga 8 Jun ini turut mempamerkan alat kebesaran Kesultanan Perak, Pedang Cura Si Manja Kini.

"Pameran Taming Sari dan Cura Si Manja Kini diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang ke-84 tahun.

"Baginda memberi perkenan agar kedua-dua alat kebesaran tersebut dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah selama lapan hari dari pukul 10 pagi hingga 5 petang," katanya di sini semalam. 

Taming Sari yang sinonim dengan Hang Tuah asalnya merupakan keris kerajaan bagi jawatan Laksamana Melaka.

Pedang Cura Si Manja Kini pula milik Sang Sapurba dan telah digunakan Parameswara semasa baginda menaiki takhta serta mengasaskan Kesultanan Melaka pada abad ke-13.

Kedua-dua alat kebesaran itu kemudiannya diserahkan kepada Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah kepada anakanda baginda, Raja Mudzaffar Shah yang menjadi Sultan Perak pertama.

Nenek kena cekik sebelum disamun

IPOH - Seorang warga emas bukan sahaja kehilangan wang tunai RM1,800 malah hampir lemas dicekik dua lelaki dalam kejadian  samun  di rumahnya di Kampung  Bercham  di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi itu, kad pengenalan Low Soon Cheng, 87, turut dilarikan dua penyamun yang melindungi wajah mereka dengan memakai topi keledar bertutup penuh.

Soon Cheng yang tinggal bersendirian berkata, semasa kejadian, dia didatangi dua lelaki terbabit ketika sedang sibuk mengelap cermin pintu dan tingkap di hadapan rumahnya.

"Kedua-dua lelaki itu mendakwa diminta oleh anak lelaki saya untuk membaiki paip air yang rosak. Saya yang berasa curiga cuba berlari masuk ke dalam rumah.

"Namun belum sempat saya mengunci pintu, dua penjenayah itu dapat menangkap saya selepas masuk ke kawasan rumah dengan melompat pagar hadapan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung  Bercham  di sini semalam.

Soon Cheng berkata, salah seorang daripada penjenayah terbabit bertindak mencekik leher dan memukul mukanya.

Namun dia terselamat daripada terus dicederakan setelah menurut arahan dua penyamun tersebut agar menyerahkan dompet miliknya yang disimpan di dalam poket seluar sebelum kedua-dua mereka melarikan diri.