Translate

Thursday, May 5, 2011

SK Wawasan juara Pertandingan Bijak Mengeja Jawi

PEWARIS. Sekolah Kebangsaan (SK) Wawasan, Parit Buntar muncul juara Pertandingan Bijak Mengeja Jawi peringkat negeri Perak anjuran Utusan Melayu (M) Berhad di Dewan Belia dan Sukan Perak, Ipoh baru-baru ini.

Diwakili Nur Nawwarah Mohd. Nazri, 11, Jaafar Siddiqie Abu Hanifah, 11, dan Fatin Aliah Ahmad Rayani, 12, sekolah yang mewakili daerah Kerian itu menewaskan SK Sri Adika Raja, Gerik dan SK Muhammad Saman, Seri Manjung pada pusingan akhir.

Ketiga-tiga murid yang mewakili SK Wawasan menerima wang tunai RM200, trofi, sijil penyertaan, langganan 50 naskhah Utusan Melayu Mingguan selama 30 minggu dan tiket masuk Taman Eco, Bukit Merah Laketown Resort bernilai RM600.

Hadiah tajaan Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. disampaikan Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohd. Raudhi Mohd. Isa.

Monday, May 2, 2011

Kaji kadar ITP, Cola


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan terus berjuang mendapatkan kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan elaun kos sara hidup (Cola) bagi membela nasib 900,000 kakitangan kumpulan sokongan satu dan dua.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, kadar ITP yang dibayar RM180 kepada kumpulan tersebut sudah tidak relevan dan perlu dikaji semula oleh kerajaan.

“Kadar ITP itu masih sama sejak lapan tahun lalu, sekarang mana nak cari rumah sewa dengan kadar RM180 sebulan.

“Masalah ini sering menimbulkan dilema di kalangan penjawat awam terutamanya jika diarahkan berpindah ke kawasan lain berikutan kenaikan pangkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja anjuran Cuepacs di Stadium Indera Mulia di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. Turut hadir adalah Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam.

Sehubungan itu, Omar merayu kerajaan dapat menimbangkan kenaikan imbuhan itu kepada RM350 atau pada kadar lain yang difikirkan munasabah.

Dalam pada itu, beliau juga memohon agar elaun Cola yang kini berbeza antara RM100 hingga RM300 mengikut kawasan bertugas turut diselaraskan.

"Ia selaras dengan kos sara hidup masa kini. Saya beri contoh harga barang keperluan di Tapah dan Ipoh pada masa sekarang tidak jauh berbeza biarpun satu pekan, satu lagi bandar raya," katanya.

Cuepacs telah menyuarakan permintaan menaikkan ITP dan penyelarasan elaun Cola kepada kerajaan sejak April 2008.

Begitupun, beberapa tuntutan lain Cuepacs sebelum ini telah dipenuhi kerajaan seperti kenaikan gaji, lanjutan umur bersara wajib kepada 58 tahun dan pengubahsuaian sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Sunday, May 1, 2011

Program Seni Silat Warisan Malaysia bermula 11 Jun

IPOH - Kejohanan Seni Silat Warisan Malaysia yang berkonsepkan program realiti bagi mencari pasukan silat terbaik akan berlangsung di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar dekat sini pada 11 Jun ini.

Akhbar Kosmo! merupakan media rasmi pertandingan anjuran Homeland Frontier Sdn. Bhd. (Homeland Frontier) dengan kerjasama K Perak Implementaion and Coordination Corporation (K Perak).

Pengarah kejohanan, Jak Othman berkata, kejohanan yang julung-julung kali diadakan itu bertemakan ‘Pertembungan Hulubalang’ yang bakal menyaksikan pertembungan sengit 20 pasukan silat tempatan dan wakil antarabangsa untuk merebut gelaran pendekar.

“Kejohanan ini bertujuan untuk menghidupkan semula tradisi pemilihan hulubalang muda yang pernah dipraktikkan pada zaman Kesultanan Melayu pada zaman dahulu.

“Format kejohanan ini akan dilakukan mengikut tradisi zaman dahulu iaitu setiap pasukan akan diuji dengan tiga kategori iaitu aspek bunga silat, tempur tanpa senjata dan tempur bersenjata,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut Jak, selain ketiga-tiga disiplin asas seni silat tersebut, kategori serikandi pula melibatkan pesilat wanita turut diadakan.

Saingan dalam kejohanan seni silat tersebut dijangka sengit berikutan ia disertai oleh beberapa pertubuhan silat tempatan terkenal yang pernah melahirkan ramai jaguh persilatan antarabangsa.

"Antaranya Pertubuhan Silat Serimau Hitam, Gayung Pattani, Silat Cekak Malaysia, Anggerik Jingga dan Silat Lincah. Selain itu, pasukan antarabangsa seperti dari Britain, Australia dan Kuwait akan turut mengambil bahagian.

Kejohanan tersebut akan disiarkan secara dokumentasi oleh stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan syarikat luar.