Translate

Monday, October 7, 2024

‘Jururawat’ Thailand pelaris pusat hiburan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Seramai 17 wanita warga Thailand berpakaian uniform jururawat yang sedang leka melayan pelanggan terkejut selepas sebuah pusat hiburan haram di bandar raya ini diserbu pihak imigresen kelmarin. 

 Dalam operasi pada pukul 8 malam itu, pemeriksaan mendapati kesemua wanita warga asing tersebut tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

 Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan) Terengganu, Mat Amin Hassan berkata, pemeriksaan turut mendapati premis hiburan tersebut beroperasi di sebalik lesen premis makanan

 Serbuan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima aduan daripada orang awam berhubung kehadiran wanita warga asing yang mencurigakan bekerja di premis perniagaan terbabit.

 “Risikan mendapati wanita Thailand berusia 19 dan 33 tahun dijadikan sebagai ‘pelaris’ untuk menarik pelanggan ke pusat hiburan berkenaan. 

 “Sewaktu serbuan dijalankan, kesemua pelayan wanita asing itu bersama sebahagian pelanggan cuba melarikan diri melalui pintu rahsia, tetapi mereka berjaya dicekup,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. 

 Mat Amin memberitahu, dalam operasi sama, pihaknya turut memeriksa seramai 35 pelanggan lelaki yang berada di pusat hiburan tersebut sewaktu serbuan dilakukan. 

 Tambah beliau, dua lelaki tempatan yang merupakan pekerja pusat hiburan itu telah diberikan notis untuk tampil memberi keterangan di Pejabat Imigresen Terengganu di sini untuk membantu siasatan.

 Kes tersebut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

 Kesemua tahanan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk proses dokumentasi.

Mat Amin menambah, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksa nakan dengan lebih berkesan.

Sunday, October 6, 2024

Terengganu akan gempur besar-besaran premis pelacur

KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan melancarkan operasi besar-besaran ke atas premis perniagaan di bandar raya ini yang berselindung di sebalik lesen sah untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral termasuk pelacuran. 

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, keputusan itu dibuat selepas pembongkaran gadis Thailand berpakaian ala jururawat yang digunakan sebagai pelaris di sebuah premis hiburan oleh imigresen Khamis lalu. 

Katanya, operasi akan dilakukan bersama imigresen, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Polis Diraja Malaysia. 

“Pekerja wanita Thailand itu bukan sahaja tidak memiliki permit dan dokumen perjalanan sah, malah premis perniagaan tersebut juga didapati menyalahguna lesen operasi restoran. 

“Ia merupakan premis perniagaan kedua yang dikesan menyalahguna lesen perniagaan untuk melakukan aktiviti tidak bermoral di bandar raya ini dalam tempoh kurang dua bulan,” katanya ketika ditemui pada program Cuci Malaysia peringkat Terengganu di Pantai Batu Burok di sini semalam.

 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Datuk Seri Faruk Hussin Tengku Abdul Jalil. 

Beliau mengulas laporan Kosmo! semalam berhubung penahanan 17 wanita warga Thailand berpakaian ala jururawat sewaktu sedang melayan pelanggan di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini.

 Pemeriksaan mendapati kesemua wanita warga asing terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah. 

Rosli berkata, tindakan tegas membatalkan lesen dan menyita premis itu telah diambil serta-merta mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2002.

 “Sebelum ini sebuah pusat refleksologi juga dikenakan tindakan sama setelah didapati menggaji wanita warga asing untuk aktiviti tidak bermoral pada bulan lalu,” katanya.

Saturday, October 5, 2024

22 lokasi riadah air berisiko berlaku kepala air di Terengganu

 KUALA TERENGGANU – Orang ramai yang mahu melakukan aktiviti air terutama di 22 lokasi lata, air terjun dan sungai di negeri ini diminta berwaspada dengan kemungkinan fenomena kepala air sepanjang tempoh fasa peralihan monsun sehingga akhir November depan. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar berkata, enam lokasi itu di Dungun, Hulu Terengganu (lima) dan masing-masing empat di Besut, Setiu dan Kemaman.

 Justeru katanya, pengunjung perlu peka dengan empat petanda awal fenomena kepala air. 

Ujarnya, bunyi deruan kuat air, perubahan air menjadi keruh dan berbuih, lambakan sampah dan sisa pokok hanyut serta peningkatan mendadak paras air sungai adalah petanda fenomena kepala air,” katanya. 

Hassan ‘As’ari Omar berkata, kawasan riadah air yang berisiko di Dungun ialah Air Terjun Lubuk Kain, Langsir, Chemerong, Sungai Loh dan Sungai Kelemin. 

Tambahnya, Air Terjun Sekayu, Belukar Bukit, Lasir, Saok dan Juwita di Hulu Terengganu juga berisiko berlaku kepala air. 

“Besut pula membabitkan Lata Tembakah, Lata Belantan, Taman Eko Lata Kolam Air Deru dan Kolam Air Panas La.

 “Lata Ulu Kasar, Ulu Kekabu, Chakah dan Payung di Setiu serta Hutan Lipur Menderu, Air Terjun Jeram Tanduk, Sungai Air Putih dan Sungai Cherul di Kamaman juga berisiko,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Hassan ‘As’ari berkata, kejadian pokok tumbang akibat dipukul angin kencang serta banjir kilat juga dijangka meningkat pada tempoh peralihan monsun ini.

Friday, October 4, 2024

Sawan bukan halangan cari rezeki

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Biarpun kerap diserang sawan, seorang pemuda tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. 

 Fahmi Farhan Zulkifli, 24, berkata, dia terpaksa berbuat demikian memandangkan ibu dan bapanya menghidap penyakit kronik. 

 Bapanya, Zulkifli Abdullah, 54, mempunyai penyakit jantung lemah, manakala ibunya, Zaimuni Omar, 55, pula kudung kedua-dua belah kaki akibat diabetes kronik. 

 “Sebagai anak sulung, saya ambil alih tanggungjawab mencari rezeki biarpun kerap diserang sawan,” katanya ketika ditemui drumahnya di Kampung Bujuk di sini baru-baru ini. 

 Muhammad Fahmi bekerja sebagai pembantu di stor penyimpanan tong gas memasak berdekatan rumahnya dengan gaji RM40 sehari. 

 Jelasnya, setiap kali diserang sawan, tubuhnya menjadi lemah sehingga tidak mampu bekerja hampir dua bulan. 

“Saya perlu kuatkan diri untuk menampung perubatan ibu bapa dan wang sekolah dua adik berusia 11 dan 14 tahun. Dua lagi adik turut membantu, tetapi gaji mereka tidak seberapa,” katanya. 

Kos perubatan ibu bapanya digunakan untuk membeli lampin pakai buang, ubat-ubatan dan perbelanjaan ulang-alik ke hospital mencecah RM1,500 sebulan. 

Pasangan warga emas itu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan. 

Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang menerusi akaun bank Simpanan Nasional atas nama Zulkifli bernombor 11115-41-00011876-7 atau menghubungi Muhammad Fahmi di talian 01139105996.

Thursday, October 3, 2024

Tidak abai tanggungjawab walaupun sawan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Biar­pun kerap diserang sawan, seorang pemuda tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Muhammad Fahmi Farhan Zulkifli, 24, berkata, dia terpaksa berbuat demikian memandang­kan ibu dan bapanya menghidap penyakit kronik.

Bapanya, Zulkifli Abdullah, 54, mempunyai penyakit jantung lemah, manakala ibunya, Zaimuni Omar, 55, pula kudung kedua-dua belah kaki akibat diabetes kronik.

“Sebagai anak sulung, saya ambil alih tanggungjawab mencari rezeki biarpun kerap diserang sawan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bujuk di sini baru-baru ini.

Muhammad Fahmi bekerja sebagai pembantu di stor penyimpanan tong gas memasak berdekatan rumahnya dengan gaji RM40 sehari.

Jelasnya, setiap kali diserang sawan, tubuhnya menjadi lemah sehingga tidak mampu bekerja hampir dua bulan.

“Saya perlu kuatkan diri untuk menampung perubatan ibu bapa dan wang sekolah dua adik berusia 11 dan 14 tahun. Dua lagi adik turut membantu, tetapi gaji mereka tidak seberapa,” katanya.

Kos perubatan ibu bapanya digunakan untuk membeli lampin pakai buang, ubat-ubatan dan perbelanjaan ulang-alik ke hospital mencecah RM1,500 sebulan.

Pasangan warga emas itu menerima bantuan Jabatan Kebaji­kan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang menerusi akaun bank Simpanan Nasional atas nama Zulkifli bernombor 11115-41-00011876-7 atau meng­hubungi Muhammad Fahmi di talian 01139105996.

Wednesday, October 2, 2024

Simpanan pesara guru lebih RM200,000 lesap

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terperdaya dengan sindiket penipuan atau scammer, seorang pesara guru berputih mata kehilangan RM218,900 simpanan Tabung Haji dan wang pencennya baru-baru ini.

Wanita berusia 62 tahun itu yang menyedari tertipu setelah mendapati akaun banknya cuma berbaki RM100 telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.32 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa yang menetap di Chendering di sini telah dihubungi suspek yang menyamar pegawai sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor pada 31 Ogos lalu.

“Suspek mendakwa kononnya mangsa mempunyai tuntutan insurans perubatan berjumlah RM68,800.

“Mangsa yang menafikan tuntutan itu telah diminta untuk membuat laporan polis kononnya berhubung penyalahgunaan data peribadi untuk kesalahan undang-undang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, suspek kemudiannya mengarahkan pesara guru tersebut membuka sebuah akaun bank kononnya bagi kegunaan pemantauan Bank Negara pada 24 September lalu.

Tambah beliau, mangsa seterusnya diarahkan untuk memindahkan simpanan Tabung Hajinya berjumlah RM201,900 ke akaun bank berkenaan.

“Suspek juga mengarahkan mangsa membuka akaun deposit tetap dengan simpanan RM5,000.

“Mangsa menurut arahan itu telah melakukan 20 transaksi memindahkan simpanannya ke dalam akaun-akaun bank terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Bekas pegawai GLC disiasat dakwaan beri tender RM1.4 juta kepada suami

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas pegawai eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Terengganu ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa bagi menyokong syarikat milik suaminya untuk mendapatkan kontrak pembekalan pekerja bernilai RM1.4 juta.

Perintah reman sehingga Ahad ini tersebut dibenarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak di Mahkamah Majiistret di sini hari ini.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, siasatan awal mengesyaki wanita berusia 40-an telah melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2019.

“Suspek juga dipercayai bersubahat dengan seorang pemilik sebuah syarikat mengemukakan dokumen palsu membabitkan ujian saringan Covid-19 berjumlah RM2,000 yang sebenarnya tidak dilakukan.

“Begitupun pemilik syarikat tersebut yang juga seorang wanita berusia 50-an telah dibebaskan dengan jaminan SPRM semalam,” katanya di sini hari ini.

Sumber SPRM berkata, bekas pegawai eksekutif GLC itu turut disiasat atas dakwaan palsu membabitkan pembekalan barangan plastik yang sebenarnya tidak wujud berjumlah RM2,000 pada tahun lalu.

Tambah beliau, terdahulu suspek pertama dan kedua telah ditahan ketika masing-masing memberi keterangan di
Pejabat SPRM Terengganu di sini pada pukul 2.30 petang dan 3.50 petang kelmarin.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Bot tempatan upah nelayan Myanmar secara haram ditahan APMM

 


Oleh MOHD AZLI ADLAN


KEMAMAN – Tindakan sebuah bot nelayan tempatan mengupah empat awak-awak asing secara haram membawa padah apabila ditahan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kemaman dekat sini semalam.

Bot terbabit ditahan pada kedudukan kira-kira 20.37 kilometer dari perairan Kemaman pada pukul 10.11 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Ariffin Ghazali berkata, pemeriksaan mendapati hanya tekong warga tempatan manakala empat awak-awaknya pula warga Myanmar.

“Kesemua nelayan asing yang berusia dalam lingkungan antara 39 dan 54 tahun terbabit tidak memiliki permit kerja sah.

“Ia sekaligus melanggar syarat lesen menangkap ikan di perairan negara yang dikeluarkan Jabatan Perikanan,” katanya di sini hari ini.

Ariffin berkata, APMM terus merampas 1.2 tan hasil laut dan 4,000 liter minyak diesel daripada bot terbabit.

Tambah beliau, kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959.

“APMM akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, October 1, 2024

Pesara kerajaan 85 tahun putih mata ditipu RM91,060

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terpengaruh dengan skim pelaburan emas palsu yang menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh secepat empat jam, seorang pesara kerajaan kerugian RM91,060, baru-baru ini.

Lelaki warga emas berusia 85 tahun itu yang menyedari ditipu oleh sindiket penipuan atau scammer telah membuat laporan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa telah menerima mesej berhubung tawaran pelaburan tersebut menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali pada 29 Oktober tahun lalu.

“Dia tertarik dengan tawaran pelaburan Madinah Emas yang menjanjikan keuntungan RM15,800 dalam tempoh empat jam sahaja.

“Modal diperlukan untuk mendapat keuntungan dijanjikan cuma RM500,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini hari ini.

Azli berkata, mangsa yang gelap mata terus membuat pelaburan keseluruhan RM91,060 menerusi 26 transaksi.

Tambah beliau, transaksi itu dimasukkan mangsa ke dalam enam akaun bank yang diberikan penganjur skim pelaburan terbabit.

“Begitupun, mangsa tidak memperolehi sebarang keuntungan dijanjikan walaupun hampir setahun pelaburan dibuat. Dia membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

26 warga asing kerja haram di Pulau Perhentian diberkas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seramai 26 warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tiga wanita yang disyaki bekerja secara haram di Pulau Perhentian dekat sini, ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Imigresen (JIM), semalam.

Kebanyakan warga asing berusia dalam lingkungan 22 hingga 50 tahun yang ditahan terbabit berkerja di pusat spa dan resort selain menawarkan perkhidmatan teksi air di pulai peranginan terkenal berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tangkapan dalam operasi khas berkenaan melibatkan 13 warga Banglesh, Myanmar (enam), Thailand (tiga) Pakistan (dua), Nepal (dua) dan Indonesia (satu).

Beliau berkata, mereka termasuk tiga wanita warga Thailand yang menawarkan perkhidmatan spa kepada pengunjung pulau peranginan tersebut.

“Serbuan dilakukan berikutan risikan yang dilakukan sejak dia minggu lalu. Sebahagian suspek sudah bekerja di Pulau Perhentian sejak sembilan bulan lalu.

“Operasi dilakukan bersama Jabatan Perikanan. Lapan warga asing itu disyaki menyalah guna pas lawatan sosial, manakala selebihnya gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya di sini, hari ini.

Ruslin berkata, lapan warga asing yang menyalah guna pas lawatan sosial itu merupakan masing-masing tiga warga Thailand dan Bangladesh serta dua warga Pakistan.

Tambah beliau, dua lelaki tempatan yang disyaki majikan sebahagian warga asing ditahan tersebut, diarahkan hadir ke pejabat JIM Terengganu untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39b Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Suami bekas pegawai GLC terima tender RM1.4 juta ditahan SPRM

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pemilik sebuah syarikat ditahan hari ini bagi membantu siasatan isterinya yang sedang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan pemberian kontrak pembekalan pekerja berjumlah RM1.4 juta pada lima tahun lalu.

Sumber berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan sewaktu tampil memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu di sini pada pukul 4 petang tadi.

Beliau berkata, pemilik syarikat tersebut akan dilepaskan selepas memberi keterangan dalam tempoh 24 jam.

“Sebelum ini, isteri lelaki itu telah ditahan reman selama enam hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan dakwaan dia menyalahguna jawatan sebagai pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbabit pada tahun 2019.

“Dia disyaki menggunakan jawatannya tersebut untuk memberi kontrak berkenaan kepada syarikat milik suaminya,” katanya di sini hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan perintah reman tersebut wanita berusia 40-an tersebut sehingga Ahad ini tersebut dibenarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suami bekas pegawai eksekutif GLC tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – KOSMO! ONLINE

Buruh maut, Ford Ranger rempuh lori pasir terbabas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang buruh binaan maut selepas kenderaan pikap, Ford Ranger dinaikinya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Lata Belatan berhampiran Kampung Kuala Kubang di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 3. 30 petang itu, mangsa, Muhammad Haziq Afiq Mohd. Aluwi, 20, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, sewaktu kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke sebuah stesen minyak berhampiran dari tempat kerjanya di Lata Belatan di sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian yang merupakan selekoh, kenderaan pikap, Ford Rangers dipandu gagal mengelak sebuah lori dikatakan termasuk ke laluan bertentangan.

“Lori itu dikatakan dalam perjalanan untuk mengambil bekalan pasir untuk projek ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) Kampung Kuala Kubang di sini,” katanya di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, mayat Muhammad Haziq Afiq telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Sumber semula jadi jana tenaga baharu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

PEMERKASAAN teknologi hijau kini menjadi agenda global demi kelestarian alam dan ia telah diperteguhkan menerusi resolusi Pelan Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Julai 2017.

 Antara agenda yang diberi penekanan dalam SDG ialah merangsang penggunaan tenaga boleh diperbaharui dalam kehidupan seharian. 

Tenaga boleh diperbaharui dihasilkan daripada sumber semula jadi seperti matahari, angin dan ombak yang boleh diisi semula pada kadar lebih cepat daripada penggunaannya.

Penduduk dunia termasuk Malaysia disasar beralih sekurang-kurangnya 70 peratus kepada tenaga diperbaharui menjelang…

Waktu operasi pengeluar pasport dilanjut 8 malam sepanjang cuti sekolah

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Jabatan Imigresen (JIM) mengambil inisiatif menambah waktu operasi semua 72 pejabat pengeluar pasport di seluruh negara selama tiga jam sehari sehingga pukul 8 malam pada musim cuti persekolahan minggu depan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, penambahan waktu beroperasi itu bagi mengurangkan kesesakan dan melancarkan proses pengeluaran pasport sepanjang tempoh tersebut.

Beliau berkata, pelanjutan waktu operasi pejabat pengeluar pasport terbabit berkuat kuasa pada 17 September hingga 22 September ini.

“Semua pejabat pengeluar pasport di seluruh negara akan melanjutkan waktu beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam sepanjang tempoh itu berbanding kebiasaan berakhir pada pukul 5 petang.

“Ia akan bermula pada Selasa ini memandangkan Isnin merupakan cuti umum (Hari Malaysia dan Maulidur Rasul),” katanya pada program Santuni Madani JIM di Kampung La, Hulu Besut hari ini.

Ruslin berkata, sepanjang musim cuti persekolahan ini, pejabat pengeluar pasport juga akan tetap beroperasi pada waktu rehat antara pukul 1 tengah hari dan 2 petang.

Jelas beliau, berdasarkan trend terdahulu terutama semenjak tahun lalu, permohonan pasport akan meningkat mendadak pada musim cuti persekolahan.

“Purata 15,000 permohonan pasport sehari diterima di seluruh negara pada musim cuti persekolahan berbanding 10,000 pada hari biasa.

“Trend ini dapat dilihat pada pasca Covid-19 yang menyaksikan ramai rakyat kita berminat melancong ke luar negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE