Oleh MOHD. AZLI ADLAN
HULU TERENGGANU – Santuari Kelah yang merupakan antara tarikan utama di Tasik Kenyir dekat sini dijangka mampu menarik kehadiran 500 pengunjung sehari pada tahun hadapan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, pada masa ini kedatangan pengunjung telah dihadkan kepada hanya 100 orang sehari berikutan penularan pandemik Covid-19 dan kekangan infrastruktur.
“Sebelum ini, Santuari Kelah mampu menampung kehadiran 300 pengunjung sehari namun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, ia dihadkan kepada 100 sahaja bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) normal baharu.
“Walaupun dihadkan, sambutan pengunjung amat luar biasa dengan 8,000 orang telah melawat Santuari Kelah dalam tempoh sebulan sejak PKPP dilaksanakan pada 10 Jun lalu,” katanya kepada pemberita di Tasik Kenyir dekat sini semalam.
Razali berkata, kebanyakan pengunjung tersebut terpaksa menunggu giliran untuk ‘bermain’ dengan kumpulan ikan kelah di Lubuk Kejar, Sungai Pertang memandangkan cuma satu pelantar disediakan setakat ini.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, sehubungan itu, Ketengah sebagai agensi bertanggungjawab mengawal selia Tasik Kenyir bercadang mahu menambah empat lagi pelantar di Santuari Kelah demi keselesaan pengguna.
“Penambahan pelantar ini bukan sahaja membolehkan Santuari Kelah menerima lebih ramai lagi pengunjung malah bertujuan mengurangkan risiko ikan-ikan kelah di lubuk terbabit mengalami keletihan dan tekanan.
“Ketengah juga bercadang untuk menyediakan kemudahan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) bagi golongan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai pengangkutan ke lubuk dari terminal bot agar turut sama dapat menikmati keseronokan ‘bermain’ dengan ikan kelah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Razali berkata, Ketengah turut akan menyediakan SOP khusus yang lebih ketat kepada pengunjung agar lebih berhemah sewaktu bermandi-mandi bersama ikan-ikan kelah terbabit supaya tidak memberi kemudaratan kepada haiwan tersebut.
Santuari Kelah yang telah dibuka sejak tahun 2008 menawarkan tiket kemasukan RM10 untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak manakala bagi bukan warga negara pula, caj RM15 (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak) dikenakan tidak termasuk perkhidmatan transit bot dan makanan ikan. – K! ONLINE
No comments:
Post a Comment