Translate

Monday, July 27, 2020

Peniaga roti di tahan disyaki jual tambah nilai judi online


Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga kedai roti di Kampung Che Wan, Kijal, Kemaman ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti menjual tambah nilai judi online secara haram,  Ahad lalu.

Dalam serbuan pukul 3.45 petang, wanita berusia 43 tahun itu ditahan ketika disyaki sedang melakukan urus niaga menjual tambah nilai judi online dengan seorang pelanggan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pelanggan tersebut yang merupakan seorang lelaki berusia 28 tahun turut diberkas bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati suspek berselindung di sebalik perniagaan menjual roti dan barangan runcit yang beroperasi di rumahnya bagi aktiviti penjualan tambah nilai judi atas talian terbabit.

“Kebanyakan pelanggan suspek dipercayai terdiri daripada penduduk yang menetap di beberapa kawasan rancangan felda di sekitar Chukai, Kemaman,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Hanyan memberitahu, pihaknya merampas tiga telefon bimbit pelbagai jenama yang disyaki digunakan dalam aktiviti menjual tambah nilai judi online itu.

Katanya, wang tunai berjumlah RM55 dipercayai hasil kegiatan haram itu turut dirampas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4B (a) akta sama.

“Tenaga Nasional Berhad juga telah diarahkan untuk melakukan operasi pemotongan bekalan elektrik di premis suspek mengikut Seksyen 21 A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment