Translate

Wednesday, July 29, 2020

28 lelaki kena denda RM560,000

KEMAMAN – Seramai 28 lelaki didenda RM20,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan terlibat dalam aktiviti sabung ayam pada Jumaat lalu.

Hakim Azman Mustaffa menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh yang berusia 20 hingga 57 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Empat tertuduh iaitu Suwarno Katono, 56; Muhamad Rizuandi Jusoh, 33; Kamarudin Che Soh, 34; dan Mohd. Yuszy Mohd. Yusof, 40, didakwa atas pertuduhan melaga ayam.

Bagi kesalahan itu, keempat-empatnya didakwa mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Baki 24 tertuduh lain termasuk dua lelaki warga Indonesia didakwa atas pertuduhan hadir menonton aktitviti melaga ayam yang dibuat mengikut Seksyen 32(2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara selama enam bulan ke atas Suwarno, Muhamad Rizuandi, Kamarudin dan Mohd. Yuszy sekiranya mereka gagal membayar denda.

Azman turut memerintahkan 24 tertuduh yang lain dihukum penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kesemua tertuduh gagal membayar denda dan dihantar ke Penjara Marang.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pondok tidak bernombor di Jalan Ibok, Ayer Jerneh di sini pada pukul 12 tengah hari, 3 Julai lalu.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

No comments:

Post a Comment