Translate

Wednesday, July 29, 2020

Golden Pharos teroka perniagaan cip kayu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU -Golden Pharos Berhad (Golden Pharos) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu mengambil pendekatan meneroka peluang perniagaan baru dalam industri hiliran pembalakan sebagai inisiatif untuk mengurangkan impak negatif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos, Datuk Nadza Abdul berkata, dua cabang industri hiliran pembalakan itu ialah pemprosesan produk cip kayu dan pembinaan stesen janakuasa mini hidro.

“Cip kayu tersebut akan diproses daripada lebihan ranting dan dahan pokok balak yang selama ini tidak dioptimumkan penggunaannya.

“Selain itu, Golden Pharos juga mahu memanfaatkan aliran deras sungai-sungai yang terdapat di dalam kawasan konsesi balak kami dengan membina stesen janakuasa mini hidro,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Golden Pharos di sini hari ini.

Golden Pharos mengumumkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM8.98 juta bagi tahun kewangan 2019 disebabkan pasaran lemah dalam industri kaca, kelewatan aktiviti pembalakan dan penggunaan standard perakaunan baharu.

Nadza berkata, kedua-dua projek bagi menjana pendapatan syarikat berkenaan kini dalam peringkat penyediaan laporan kajian kebolehlaksanaan.

Beliau berkata, Golden Pharos juga mengambil pendekatan memanfaatkan insentif kerajaan dan pembekuan perbelanjaan kos tidak penting bagi menangani impak negatif pandemik Covid-19.

“Biar pun amat terkesan dengan pandemik Covid-19, kebajikan 446 kakitangan kami terjamin kerana Golden Pharos tidak pernah bercadang untuk melaksanakan skim pemberhentian pekerja,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nadza berkata, Golden Pharos juga akan menerbitkan penerbitan saham keutamaan boleh tebus patuh syariah berjumlah 12 juta unit untuk melunaskan semua hutang syarikat itu terhadap pemegang saham terbesar, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd.

Ujar beliau, penyelesaian hutang itu bukan sahaja menjadikan Golden Pharos bebas hutang malah aliran tunainya bakal bertambah baik selain meningkatkan nilai aset syarikat. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment