Translate

Sunday, July 26, 2020

JBPM sedia laksana semula sanitasi awam

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia untuk melakukan semula sanitasi awam bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 tempatan yang kini dilihat kembali menunjukkan trend peningkatan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, JBPM sedang menunggu arahan selanjutnya daripada Majlis Keselamatan Negara berhubung perkara tersebut.

“Sebelum ini, kita sudah melakukan sanitasi awam secara menyeluruh tetapi apabila (Perintah Kawalan Pergerakan) dilonggarkan berlaku kelalaian dalam masyarakat sehingga kes (harian) Covid-19 kembali mencatatkan dua digit sejak akhir-akhir ini.

“Kalau sanitasi awam itu boleh membantu mengekang penularan semula Covid-19, kenapa tidak untuk kita teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2020 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohammad Hamdan Wahid. – K! ONLINE

No comments:

Post a Comment