Translate

Friday, July 31, 2020

Ladang kelapa sawit TDM aplikasi teknologi GIS dan UAV

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Kumpulan TDM Berhad menerusi anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. mengaplikasi teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Kenderaan Udara tanpa Pemandu (UAV) dalam penanaman semula di semua ladang kelapa sawit milik syarikat itu.

Pengerusi TDM, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, pelaksanaan teknologi tersebut dimulakan dengan Ladang Pelung, Sungai Tong di sini.

“Penggunaan teknologi GIS dan UAV dengan dron dan imej satelit merupakan konsep baru yang telah digunapakai dalam industri perladangan.

“Ia bertujuan memaksimumkan potensi hasil melalui kepadatan tanaman yang optimum, ” katanya menyaksikan proses penanaman semula pokok kelapa sawit di Ladang Pelung, Sungai Tong di sini hari ini.

Idris berkata, penggunaan teknologi GIS dan UAV juga bertujuan untuk meningkatkan teknik penyediaan tanah dengan mereka bentuk ladang daripada segi infrastruktur, teres dan tempat penanaman.

Beliau berkata, inovasi tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif TDM Plantation untuk mengurus kos operasi, mengurangkan kebergantungan pekerja secara manual dan mematuhi amalan serta prosedur pertanian baik.

“Ia sebagai inisiatif untuk menangani cabaran industro semasa seperti kenaikan kos bekalan dan kekurangan tenaga kerja.

“Program penanaman semula menggunakan teknologi GIS dan UAV ini akan diperluas di ladang-lain milik TDM di seluruh Terengganu seperti Fikri, Jerangau, Pinang Emas, Pelantoh, Tebak dan Jernih dengan keluasan keseluruhan kira-kira 1,440 hektar,” katanya. – K! ONLINE.

No comments:

Post a Comment