Translate

Tuesday, March 24, 2015

Fikir dua kali sebelum mogok - Hasan Malek

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Pemandu teksi digesa akur dengan keputusan Kabinet untuk menangguhkan pelaksanaan kadar tambang baharu yang diumumkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek berkata, ugutan mogok daripada pengusaha tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang malah tidak akan memberi faedah kepada mana-mana pihak.

"Saya nasihatkan (pemandu teksi) fikir dua kali (sebelum mengadakan mogok). Mereka kena faham Kabinet bukannya menolak (kadar tambang baharu).

"Namun ia ditangguhkan untuk sementara waktu kerana tidak sesuai pada masanya," katanya sebagai mengulas tindakan Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPT) di Lembah Klang memberi amaran untuk mengadakan mogok jika kadar tambang baharu teksi ditarik balik oleh SPAD.

BBPT merupakan gabungan daripada 22 persatuan pemandu teksi di Lembah Klang yang mempunyai keahlian seramai 7,000 orang.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan program Fasilitasi Industri Perkhidmatan yang turut dihadiri Timbalan Menteri KPDNKK, Senator Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Hasan memberitahu, golongan pemandu teksi juga perlu memahami hakikat pengumuman kenaikan tambang teksi oleh SPAD pada 19 Mac lalu namun tidak muktamad kerana ia perlu mendapat kelulusan Kabinet.

No comments:

Post a Comment