azli.adlan@kosmo.com.my
SHAH ALAM – Polis memberkas dua lelaki warga Iraq yang disyaki anggota militan Negara Islam (IS) di ibu negara Khamis lalu.
Dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun itu dipercayai dihantar kumpulan tersebut ke negara ini baru-baru ini bagi melakukan misi khas termasuk melakukan serangan ke atas pejabat Kedutaan Besar Arab Saudi dan Qatar di ibu kota.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kedua-dua suspek berjaya ditahan anggota Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Keganasan) Bukit Aman di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
“Kita percaya dua lelaki warga Iraq ini telah dihantar IS ke negara ini untuk melakukan sesuatu. Mereka didapati masuk ke negara ini secara sah.
“Alhamdulillah kita dapat mengesan mereka sekali gus mematahkan perancangan itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Khalid berkata, kedua-dua suspek kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Difahamkan, kedua-dua suspek berkenaan telah melakukan ugutan bunuh terhadap Duta Besar Arab Saudi dan Qatar di negara ini selain mendakwa bersedia melakukan serangan ke atas kedua-dua pejabat kedutaan negara Arab terbabit yang dirancang dilakukan pada Selasa ini.
Kelibat dua lelaki warga Iraq itu dikenal pasti berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai khas Kedutaan Besar Qatar di Malaysia di pejabat kedutaan besar itu di Jalan Ampang Hilir baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, Khalid menegaskan, penahanan dua anggota militan terbabit membuktikan ancaman IS adalah nyata dan ia mampu mengancam keselamatan negara sekiranya tidak ditangani secara berhati-hati.
No comments:
Post a Comment