Translate

Tuesday, March 31, 2015

Padah serang penyokong Vietnam

SHAH ALAM – Lima lelaki termasuk dua beradik dihukum denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana merusuh ketika perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam di sini pada 7 Disember tahun lalu.
Mohd. Aminuddin Hamdan, 34, dan adiknya, Noor Hadim, 29, dari Felda Sungai Sibol, Kulaijaya, Johor telah membuat pengakuan bersalah terhadap pendakwaan di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin pada sebutan semula kes itu pada Jumaat lalu.
Turut dihukum denda setelah mengaku salah atas pertuduhan itu ialah pekerja kargo, Amirul Akhmal Nooradzhar, 22, penghantar surat, Zulhelmy Akmal Zainol Abidin, 28, dan pembantu jualan, Muhamad Izzat Mohd. Khir, 25.
Berdasarkan pertuduhan, peniaga sate, Mohd. Aminuddin dan Noor Hadim serta tertuduh lain didakwa bersama beberapa individu lain yang masih bebas merusuh dan menyerang penyokong Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di kawasan Quarant A, Stadium Shah Alam.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Norshakinah turut memerintahkan kelima-lima tertuduh dikenakan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam bela Muhammad Hidhir Mustapa, M. Hafiz Zainol Abidin, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud membayar denda tersebut.

Sementara itu, hukuman bagi seorang lagi tertuduh, Muhammad Naquiyuddin Salehudin, 20, ditetapkan pada 28 April ini bagi mendapatkan laporan sosialnya kerana ketika kejadian, dia merupakan pesalah muda.

Sebelum ini, kesemua tertuduh  membuat pengakuan tidak bersalah sewaktu pertama dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan tersebut pada 17 Disember dan 23 Disember tahun lalu.




No comments:

Post a Comment