Translate

Monday, March 30, 2015

Pemandu teksi maut ditetak

SHAH ALAM – Gara-gara berebut seorang wanita warga Indonesia, seorang pemandu teksi maut ditetak oleh seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah rumah di Jalan Kepayang, Klang dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 10.10 malam, Mohd. Alias Mahani, 55, ditemui tertiarap dalam keadaan berlumuran darah di salah sebuah bilik di rumah suspek tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, sebelum kejadian, mang­sa dikatakan telah bertemu dengan lelaki Bangladesh itu yang berusia dalam lingku­ngan 30-an di hadapan sebuah kedai kosong di Batu 1/2, Jalan Meru, Klang dekat sini.
“Menurut seorang saksi yang juga rakan Mohd. Alias, mangsa yang cemburu melihat kemesraan lelaki Bangladesh itu dengan teman wanitanya yang dikenali sebagai Warti telah bertemu suspek untuk mendapat penjelasan.
“Saksi yang ketika itu berada di dalam teksi mangsa telah bertindak masuk campur dan menolak bahu suspek setepas melihat Mohd. Alias dan lelaki Bangladesh itu bertengkar serta tolak-menolak,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Mohamad Shukor berkata, tindakan saksi kejadian itu telah menyebabkan suspek melarikan diri ke arah Jalan Kepayang de­ngan dikejar oleh mangsa.
Katanya, risau setelah kelibat Mohd. Alias dan suspek hilang daripada pandangan, saksi de­ngan bantuan seorang rakannya yang lain cuba mencari mangsa di kawasan sekitar namun gagal.
“Selepas sejam, mereka menghubungi Warti. Wanita itu kemudiannya membawa mereka ke rumah lelaki Bangladesh tersebut yang terletak hampir satu kilometer dari Batu 1/2, Jalan Meru dan seterusnya membawa kepada penemuan mayat Mohd. Alias,” katanya.
Mohamad Shukor berkata, mayat mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai ditetak dengan parang telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, suspek dipercayai telah melarikan diri de­ngan senjata yang digunakan dalam pembunuhan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment