Translate

Tuesday, March 10, 2015

Syarikat upah orang tengah laku rasuah boleh dihukum

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal menguatkuasakan peruntukan undang-undang yang membolehkan tindakan diambil terhadap syarikat yang didapati bersalah mengupah orang tengah untuk melakukan aktiviti perniagaan tidak berintegriti seperti rasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, penguatkuasaan tersebut bertujuan menggalakkan ahli korporat di negara ini menjalankan perniagaan mereka dengan lebih berintegriti.

"Pada tahun ini, SPRM memfokuskan kepada orang tengah yang dilihatmempunyai banyak ruang dan peluang untuk melakukan akviti tidak berintegriti.

"Selain menyenarai hitam golongan terbabit, tindakan boleh dilanjutkan kepada syarikat-syarikat yang melantik orang tengah dengan menyediakan dana bagi tujuan rasuah dan penyelewengan bagi pihak mereka," katanya pada sidang akhbar di Puspakom Shah Alam, Seksyen 28 di sini semalam.

Terdahulu beliau menerima Ikrar Integriti Korporat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Mohammed Shukor Ismail yang turut disaksikan Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil.

Mustafar berkata, SPRM akan mengadakan perbincangan dengan pihak berpentingan seperti Bursa Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan wakil syarikat bagi menghalusi cadangan terbabit.

Sebelum itu, Mohammed Shukor mengakui Puspakom yang juga anak syarikat DRB-Hicom berhadapan dengan masalah orang tengah dan 'ulat' yang mengambil kesempatan terhadap pelanggan syarikat itu.

Beliau berkata, tindakan itu telah memberi persepsi negatif masyarakat terhadap Puspakom dan langkah menandatangani Ikrar Integriti Korporat tersebut merupakan program jangka panjang untuk mengatasi masalah terbabit sekali gus meningkatkan integriti dan ketelusan syarikat terbabit.

No comments:

Post a Comment