Translate

Tuesday, March 31, 2015

Pembunuh kejam terima balasan

SHAH ALAM – Perbuatan kejam seorang pendawai elektrik menghentak kepala seorang perunding teknologi maklumat (IT) sehingga mati ketika memecah masuk rumah mangsa kira-kira tiga tahun lalu berbalas apabila dia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Mohd. Naim Ramli, 27, didapati bersalah membunuh Loh Min Lee, 36, di dalam rumah mangsa di Taman Putra Perdana, Puchong pada pukul 4.15 petang, 7 Disember 2012.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman memerintahkan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menyangkal bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.
Beliau berkata, pihak pendakwaan yang mengemukakan 22 orang saksi berjaya membuktikan Mohd. Naim bertanggungjawab sepenuhnya menyebabkan kematian Min Lee berdasarkan kesan cap jari milik tertuduh yang ditemui di dalam rumah mangsa.
“Keterangan saksi pendakwaan ke-14, Abdul Hazim Fazala Rahman yang juga rakan sejenayah tertuduh turut diterima mahkamah kerana ia konsisten dengan kenyataan beberapa orang saksi pendakwaan yang lain.
“Selain itu, keterangan tertuduh yang merupakan satu-satunya saksi pihak pembelaan didapati sekadar penafian semata-mata. Saya memerintahkan tertuduh digantung sampai mati,” katanya ketika membacakan keputusan penghakimannya.

Kosmo! 10 Disember 2012 melaporkan mayat Min Lee ditemui dengan kesan kecederaan di kepala di atas katil bilik tidur utama di tingkat atas rumah teres dua tingkat didiaminya oleh ibunya setelah tiga hari gagal dihubungi.

Selain itu, kereta Toyota Vios, televisyen dan dompet milik mangsa turut didapati telah disamun oleh tertuduh yang memecah masuk rumah itu.

2 comments: