Translate

Monday, February 16, 2015

Lima lelaki didakwa culik budak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KLANG - Lima lelaki termasuk dua remaja di bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menculik seorang budak berusia lima tahun pada bulan lalu.

Mohammad Norhafizie Abdullah, 18, Mohammad Faiderus Suhaini, 32, Nashamizie Shahidan, 19, dan dua lagi pesalah juvana dituduh melarikan mangsa dari rumahnya di Taman Maznah di sini pukul 1.52 pagi pada 22 Januari lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah mengurung kanak-kanak lelaki itu dengan niat untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM845,532 merangkumi mata wang dolar Amerika Syarikat, AS$100,000 (RM363,155), dolar Australia AUD100,000 (RM282,135) dan RM200,000.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan dan kelima-lima tertuduh sekadar menganggukkan kepala tanda memahami sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asma Ahmad.

Norhafizie Abdullah yang menetap di Pangsapuri Angsana, USJ 1, Subang Jaya dan dua pesalah juvana berumur 17 tahun diwakili peguam bela Nur Aida Md. Zainuddin.

Manakala Nashamizie Shahidan yang merupakan seorang jurujual diwakil peguam bela Shah Rizal Abdul Manan sementara Mohammad Faiderus yang bekerja sebagai mekanik pemasangan tangki gas asli (NGV) kenderaan tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rozana Husin.

Nor Asma tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kesemua tertuduh memandangkan kes penculikan tersebut memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 27 Mac depan.

Kosmo! Ahad 1 Februari lalu melaporkan polis berjaya membebaskan seorang budak lelaki berusia lima tahun yang diculik dan dikurung selama 10 hari dengan menyerbu sebuah apartmen servis di Port Dickson, Negeri Sembilan pada pukul 12.05 pagi, 31 Januari lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah, semasa ditemui, mangsa yang merupakan anak seorang ahli perniagaan dari Klang berada dalam keadaan khayal dan dipercayai telah diberi sejenis dadah supaya mudah dikawal.

7 comments:

  1. Masih bicara lg ke abg??sbb nk tau.family salah seorang kt c2 xtau apa2 status semasa... leh x abg apa2 maklum sy? Supaya sy dpt bgtau family dia kt sarawak?? Yg faiderus 2...

    ReplyDelete
    Replies
    1. boleh dapatkan maklumat dari peguam bela, Aida atau Shah Rizal

      Delete
    2. As salam....tumpang tnya... status kes utk mohammad faiderus suhaini mcm mana ye abg...?

      Delete
    3. boleh dapatkan maklumat dari peguam bela, Aida atau Shah Rizal

      Delete
  2. Mohammad Fauzie, mintalah keluarga dia melawat ke Penjara Kajang. Kes mcmni perlu lawyer tapi tulah kes mcmni perlukan lawyer yg berpengalaman tp mahal lah.

    ReplyDelete