KUALA SELANGOR - Penemuan dua mayat rentung terbakar yang ditemui di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya, di sini pada 29 Januari lalu masih menjadi tanda tanya kerana tiada sebarang petunjuk ditemui sehingga kini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd. Taib Ahmad berkata, pemeriksaan oleh pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang di sini juga gagal mengenalpasti jantina, kaum dan punca kematian kedua-dua mangsa tersebut.
"Mayat dua mangsa tersebut rentung sepenuhnya dan hanya sisa tengkorak dan tulang sahaja di temui di lokasi kejadian. Mereka dipercayai dibakar di bawah timbunan enam buah tayar pada malam sebelum dijumpai.
"Kawasan tersebut yang terletak kira-kira 10 kilometer dari jalan raya utama dan hanya boleh diakses oleh kenderaan berat dan pacuan empat roda sahaja,"katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di sini semalam.
Mohd. Taib berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemui oleh sekumpulan pemancing yang kebetulan melalui kawasan tersebut untuk ke sebuah lubuk ikan yang terletak tidak jauh dari situ.
Menurut beliau, berdasar struktur gigi, kedua-dua tengkorak yang ditemui itu milik individu dewasa dan salah seorang daripadanya memakai seutas rantai leher.
"Setakat ini, satu keluarga India dari Kapar, Klang dekat sini telah tampil memberi sampel darah untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan ujian kimia sedang dijalankan.
"Namun mereka memberitahu rantai yang ditemui pada hari kejadian tidak sepadan dengan rantai yang dipakai anak mereka yang hilang pada 23 Januari lalu," katanya.
Oleh itu, Mohd. Taib menyeru orang ramai yang kehilangan ahli keluarga baru-baru ini agar tampil untuk melakukan pengecaman mayat dan membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Selangor, Asisten Superintendan Ramle Bakar di talian 012-5112034.
No comments:
Post a Comment