Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
azli.adlan@kosmo.com.my
SHAH ALAM – Perbuatan kejam tiga bekas pelajar Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics membunuh pensyarah mereka, Zara Eleena Omar, 23, dan bapa wanita itu lebih dua tahun lalu berbalas apabila mereka dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 23, yang merupakan teman lelaki Zara Eleena dan dua rakan sekelasnya, Mohamad Sharafe Mohd. Noh, 21, dan Azizi Aizat Ibrahim, 22, didapati bersalah membunuh wanita itu dan Omar Peter Abdullah, 56, di rumah nombor 28 Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong antara pukul 11.30 malam 8 Mac 2012 hingga 2.30 pagi keesokan harinya.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menyangkal bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.
Beliau berkata, keterangan pembelaan ketiga-tiga tertuduh yang cuba meletakkan beban perbuatan jenayah itu kepada saksi pendakwaan pertama, Fadhil Rushdan Rahman, 20, tidak dapat diterima dan didapati sekadar penafian semata-mata.
“Keterangan Fadhil diterima mahkamah kerana mempunyai kaliber dan konsisten dengan keterangan beberapa saksi pendakwaan lain termasuk ibu Zara Eleena, Normaliah Mahmood.
Abdul Halim berkata, keterangan Fadhil mengenai cara pembunuhan Zara Eleena dan Omar Peter iaitu menekup mulut dan hidung kedua-dua mangsa masing-masing dengan bantal dan baju T juga selari dengan keterangan saksi pendakwaan ke-13, Pakar Perunding Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr. Nurliza Abdullah.
Menurut beliau, motif pembunuhan Zara Eleena dan bapanya, Omar Peter jelas iaitu bertujuan menyembunyikan perbuatan Mohd. Zul Shahril dan dua tertuduh lain mencuri barangan kemas milik Normadiah, 53, yang mempunyai nilai sentimental buat keluarga tersebut.
"Mereka (Zara Eleena dan Omar Peter) menemui ajal dalam keadaan terseksa. Apa dosa mereka sehingga tertuduh pertama sebagai teman lelaki Zara Eleena sanggup merancang pembunuhan tersebut.
"Kini tiba masanya ketiga-tiga tertuduh menerima hukuman daripada perbuatan kejam dan tidak berperimanusiaan mereka iaitu digantung di leher sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Dalam pada itu, bapa saudara Zara Eleena, Dr. Mohd. Shah Mahmood yang ditemui berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana keadilan telah ditegakkan.
Normaliah pula pula kelihatan meninggalkan kamar mahkamah sebelum sempat Abdul Halim sedang menghabiskan keputusan penghakimannya kerana terlalu sedih mengenang kembali kematian tragis suami dan anak tunggalnya itu.
No comments:
Post a Comment