Translate

Wednesday, October 22, 2014

Enam bumbung flat PKNS tercabut

PELABUHAN KLANG – Hujan lebat selama empat jam disertai ribut kencang selama kira-kira setengah jam mengakibatkan lebih 72 premis perniagaan dan pangsapuri di sekitar Pandamaran dekat sini mengalami kerosakan semalam.
Kejadian yang bermula pada pukul 2 petang itu turut mengakibatkan banyak pokok di kawasan berkenaan tumbang selain menenggelamkan beberapa bot yang ditunda di jeti berhampiran.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, antara kawasan di Pandamaran yang terjejas dalam kejadian ribut kencang tersebut ialah Jalan Banting dan Jalan Besar dekat sini.
“Kejadian ribut kencang itu telah menerbangkan banyak bumbung kediaman penduduk termasuk Pangsapuri Pandamaran Permai dan Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Pangsapuri PKNS yang terletak di Pandamaran Jaya mengalami kerosakan paling teruk selepas keenam-enam bumbung bloknya diterbangkan ribut kencang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kamarul Zaman memberitahu, sebuah gudang penyimpanan tong gas dan sebuah tokong turut rosak teruk akibat bencana alam berkenaan.

Menurut beliau, bekalan elektrik di sekitar Pandamaran juga turut terjejas selama beberapa jam ekoran kejadian ribut kencang tersebut namun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran ribut dan angin kencang dijanhgka berlaku di beberapa daerah di Selangor termasuk Klang pada petang semalam.

No comments:

Post a Comment