Translate

Wednesday, October 22, 2014

Kawasan perniagaan sementara peniaga Uptown Shah Alam siap dua minggu lagi

SHAH ALAM - Seramai 197 peniaga Kompleks Muhibbah atau lebih dikenali sebagai Uptown Shah Alam, Seksyen 24 di sini yang terjejas dalam kebakaran hampir seminggu lalu dijangka dapat berniaga semula dalam tempoh dua minggu lagi.
Pengerusi Dataran Usahawan Selangor Sdn. Bhd. (DUS), Datuk Yusra Sabar berkata, kerja-kerja menurap dan memasang khemah sementara di kawasan perniagaan baharu dijanjikan kerajaan negeri sebelum ini bakal bermula beberapa hari lagi selepas pembersihan sisa bangunan yang musnah terbakar terbabit selesai.
"Saya difahamkan kerja-kerja membersihkan kawasan kebakaran iaitu Blok B Uptown Shah Alam dijangka diselesaikan pekerja Majlis Bandaraya Shah Alam dalam tempoh dua hari lagi.
"Selepas itu barulah, kerja-kerja menurap dan memasang khemah sementara di kawasan tanah lapang bersebelahan akan bermula," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pertemuan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Datuk Abdul Rahim Hassan dengan peniaga Uptown Shah Alam yang terjejas dalam kebakaran tersebut di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar.
Yusra berkata, bekalan tenaga elektrik dan air yang terpaksa diputuskan ekoran kebakaran pada awal pagi 15 Oktober lalu akan disambung semula seawal-awalnya Rabu ini bagi membolehkan lebih 200 usahawan di Blok A, Kompleks Muhibbah yang turut terjejas kembali berniaga.
Menurut beliau, DUS juga bersetuju agar kesemua peniaga dikecualikan daripada membayar kadar sewaan sebanyak RM300 sebulan sehingga Uptown Shah Alam beroperasi sepenuhnya.
Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, Tekun menawarkan pinjaman mudah tanpa faedah sehingga RM100,000 bagi membantu peniaga terlibat membina semula perniagaan mereka.
Beliau berkata, sebagai dasar perikemanusiaan juga, mereka juga diberi kelonggaran untuk dikecualikan membuat pembayaran semula dalam tempoh sehingga enam bulan.
Sementara itu, Noh memberi jaminan akan membantu mempromosikan semula Uptown Shah Alam bagi menarik kembali kehadiran pelanggan ke bazar larut malam tersebut.
Dalam kejadian awal pagi Rabu lalu, sebanyak 187 daripada 442 lot gerai Uptown Shah Alam musnah dalam kebakaran melibatkan kerugian lebih RM19 juta.
Ekoran kejadian itu, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengarahkan MBSA menurapkan dan mendirikan khemah sementara di kawasan bersebelahan bangunan yang musnah dalam kebakaran itu bagi membolehkan peniaga terlibat memulakan perniagaan. - KOSMO!

No comments:

Post a Comment