KLANG - Tembelang seorang penjenayah yang aktif menyamun beberapa premis perniagaan termasuk kedai serbaneka di sekitar pekan Meru di sini dengan menggunakan pistol tiruan terbongkar apabila dia diberkas polis baru-baru ini.
Suspek yang berusia 31 tahun ditahan di rumahnya di pekan Meru selepas beberapa jam menyamun seorang kakitangan sebuah hotel di Klang Sentral di sini pada 14 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, dalam serbuan itu, pistol terbabit dijumpai disorok di kawasan dapur rumah suspek sebelum pemeriksaan dijalankan mendapati ia adalah palsu.
"Modus operandi penjenayah ini ialah menggunakan sepucuk pistol untuk menakutkan pemilik dan pekerja premis sebelum menyamun di premis perniagaan.
"Suspek biasanya melakukan jenayah samun itu secara solo pada waktu pagi iaitu seawal pukul 4.30 pagi," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Mohamad Shukor, siasatan awal mendapati, suspek membeli pistol tiruan tersebut di sebuah gedung pemborong di Bukit Tinggi di sini.
Katanya, lelaki terbabit dipecayai telah menyamun kira-kira empat premis perniagaan di sekitar pekan Meru dari 25 September hingga 14 Oktober lalu.
Premis yang pernah menjadi sasaran ialah sebuah kedai serbaneka di Taman Meru Selatan dan kedai perabot di Klang Sentral.
No comments:
Post a Comment