Translate

Thursday, October 9, 2014

Jangan bawa keluarga jadi kelindan

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PELABUHAN KLANG - Pemandu lori treler kontena dinasihatkan supaya menghentikan amalan membawa ahli keluarga atau kenalan menemani mereka sebagai kelindan kerana tindakan sedemikian bukan sahaja menyalahi peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan tetapi mempunyai implikasi perundangan sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Exco Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU) Selangor, Johar Kasim berkata, amalan itu menyalahi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana hanya kakitangan syarikat pengendalian kenderaan terbabit dibenarkan mengikuti pemandu sepanjang perjalanan menghantar barangan ke sesuatu destinasi.

"Banyak kes pemandu lori treler (kontena) membawa isteri dan saudara terdekat menemani mereka sewaktu bekerja termasuk bagi perjalanan yang jauh.

"Masalah timbul apabila berlaku kemalangan maut kerana hanya pemandu layak dilindungi insurans," katanya selepas menyertai kempen Keselamatan Jalan Raya Pemandu Lori Treler Kontena di Pelabuhan Barat, Pulau Indah dekat sini semalam.

Kempen yang dianjurkan TWU Selangor sempena Hari Persekutuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Antarabangsa tersebut bertujuan untuk mendidik pemandu lori treler kontena supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Johar berkata, sebanyak 202 kes dengan purata 22 kes sebulan kemalangan jalan raya melibatkan lori treler kontena sebulan telah dilaporkan di negeri tersebut sejak awal tahun ini.

"Jumlah itu ia agak membimbangkan kerana ia melibatkan puluhan kematian membabitkan pemandu kenderaan terbabit.

"Banyak faktor mendorong kemalangan jalan raya terbbait termasuk lori treler tidak berada dalam keadaan baik, memandu dalam keadaan tergesa-gesa untuk mengejar trip dan dipaksa majikan untuk bekerja lebih masa.

"Namun, TWU kali ini mahu memberi penekanan kepada sikap pemandu yang sepatutnya perlu lebih berhati-hati demi keselamatan mereka dan pengguna lain di jalan raya," katanya.

No comments:

Post a Comment