Translate

Wednesday, March 12, 2014

Hapus tapak pelupusan haram

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan ABDUL RAZAK IDRIS
berita@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Kewujudan sebuah tapak pelupusan sampah haram di tebing Sungai Klang, Seksyen 36 di sini menyebabkan pencemaran bau sehingga mewujudkan suasana tidak selesa kepada penduduk Kampung Sri Kandis berdekatan.
Kawasan tapak pelupusan sampah seluas 500 meter sepanjang tebing Sungai Klang itu didakwa penduduk telah dijadikan lokasi pembuangan sampah domestik sejak dua bulan lalu.
Seorang penduduk, Hidayat Mohd. Yusof, 37, berkata, pemerhatiannya mendapati lokasi itu dijaga oleh beberapa individu tidak dikenali kerana setiap lori yang memasuki kawasan tersebut untuk membuang sampah dikenakan caj sebanyak RM20.
"Penduduk kampung sekarang bimbang dengan keselamatan mereka selain tidak selesa dengan bau busuk.
"Lebih merisaukan jika kawasan itu kerap dikorek untuk aktiviti penanaman sampah akan menyebabkan tebing Sungai Klang runtuh dan kemungkinan kampung ini dilanda banjir," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Sri Kandis, Muhni Kasdan berkata, air sungai tersebut juga dikhuatiri tercemar dengan kegiatan haram itu.

“Hampir setiap hari, saya perhatikan berpuluh-puluh lori yang penuh muatan bahan buangan dipercayai dari kilang berhampiran keluar masuk ke kawasan tersebut.

“Sebuah mesin jengkaut akan memasukkan sampah-sarap berkenaan ke dalam lubang yang dikorek berhampiran tebing sungai sebelum ia ditimbus semula dengan tanah,” dakwanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Raja, Amad Amdan Jemiran berkata, pihaknya dan penduduk mendesak pihak berkuasa tempatan segera mengatasi masalah itu.

No comments:

Post a Comment