Translate

Saturday, March 8, 2014

Gerakan buru PATI digiat ekoran serangan ke atas anggota polis

KLANG - Kejadian warga asing menyerang dua anggota polis sehingga menyebabkan seorang daripada mereka maut di  Taman   Sentosa  dekat sini semalam menjadi perangsang kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mempergiatkan lagi gerakan membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan  Junaidi  Tuanku Jaafar (gambar) berkata, kejadian itu menunjukkan sebahagian warga asing sudah keterlaluan dan semakin berani melanggar undang-undang dan mengasari anggota keselamatan negara ini.

"Insiden warga asing menyerang anggota keselamatan sehingga menyebabkan kematian tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Ini perlu dijadikan pengajaran berguna kepada kita agar semua pihak memberi sokongan padu terhadap usaha kerajaan untuk membanteras PATI," kata beliau selepas menziarahi keluarga Allahyarham Raja Aizam Raja Mohd. di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini semalam.

Anggota polis berpangkat koperal yang hampir 30 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu maut selepas ditikam sekumpulan warga asing dipercayai warga Indonesia sewaktu mengadakan rondaan cegah jenayah di  Taman   Sentosa  di sini.

Turut parah dalam kejadian itu Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29 tahun.

Wan  Junaidi  berkata, KDN bertekad untuk menjejaki semua suspek yang terlibat dalam serangan hendap ke atas anggota polis itu.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut menyifatkan tindakan menyerang anggota keselamatan itu sebagai sangat melampau dan tidak boleh dibiarkan.

Sehubungan itu, Khalid memberi amaran kepada mana-mana pihak terutamanya warga asing agar tidak melampaui batas dengan melanggar undang-undang negara.

No comments:

Post a Comment