Translate

Saturday, March 8, 2014

Mohd. Aidil tak sedap hati sebelum buat rondaan

KLANG - Koperal Mohd. Aidil Mustafa, 29, ada meluahkan rasa tidak sedap hati beberapa jam sebelum diserang hendap sekumpulan warga asing yang mahu ditangkap kerana tiada dokumen perjalanan di Taman Sentosa dekat sini semalam.

Isterinya yang juga seorang anggota polis, Lans Koperal  Norhazwani   Harun , 27, berkata, perasaan itu disuarakan suaminya sewaktu mereka berbual menerusi panggilan telefon pada pukul 8.30 malam kelmarin.

"Sebelum memulakan tugas rondaan cegah jenayah malam semalam (kelmarin), suami ada menghubungi saya.

"Dia ada beritahu tidak sedap hati untuk bertugas tetapi saya cuba redakan kebimbangannya dengan mengatakan ia perkara biasa buat anggota polis seperti kami," katanya ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, Mohd. Aidil cedera parah di belakang kepala, tangan kanan dan muka manakala rakannya Koperal Raja Aizam Raja Mohd., 53, pula maut akibat ditetak di belakang kepala manakala perutnya dilibas dengan pisau rambo.

 Norhazwani  yang bertugas di Balai Polis Tumpat, Kelantan memberitahu, dia bergegas ke HTAR dengan menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan sebaik dimaklumkan mengenai kejadian buruk menimpa suaminya pada pukul 6 pagi.

Dia yang telah berkahwin dengan Mohd. Aidil sejak empat tahun lalu dikurniakan dua orang anak yang berusia setahun dan tiga tahun.

Sementara itu, Raja Aizam meninggalkan isteri, Norsalmah Nordin, 50-an dan empat orang anak termasuk seorang perempuan yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 25 tahun.

Anak saudara Raja Aizam, Delima Ismail seorang pelakon berkata, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar, Perak malam tadi.

Delima yang popular dengan watak Kak Limah dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah berkata, Raja Aizam yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik merupakan seorang yang peramah dan komited dengan kerjaya sebagai anggota polis.

Begitupun isteri mangsa, Norsalmah dan keempat-empat anaknya enggan ditemu bual kerana masih trauma dan bersedih dengan tragedi yang menimpa ketua keluarga mereka.

No comments:

Post a Comment