azli.adlan@kosmo.com.my
SHAH ALAM – Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam setelah didapati bersalah membunuh amah Indonesia pada kira-kira tiga tahun lalu.
Fong Kong Meng, 58, dan isterinya, Teoh Ching Yen, 56, dari Taman Sea, Petaling Jaya dekat sini didapati bersalah menyebabkan kematian Isti Komariah dari Jawa Timur, Indonesia yang meninggal dunia dalam keadaan kurus kering dan kesan lebam serta calar di beberapa bahagian badan pada 6 Jun 2011.
“Sebab kematian tidak dapat disangkal lagi apabila fizikal mangsa didapati menyusut mendadak kepada 26 kilogram (kg) pada hari kematian daripada 46 kg sewaktu mula bekerja dengan kedua-dua tertuduh pada Disember 2008.
“Hujah pembelaan pula sekadar penafian semata-mata dan gagal membangkitkan keraguan terhadap pembuktian yang dikemuka pihak pendakwaan,” katanya ketika membacakan penghakiman beliau di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini semalam.
Berdasarkan fakta kes, Kong Meng yang merupakan bekas juruteknik dan isterinya, Ching Yen dituduh dengan niat bersama membunuh Ismi Komariah dengan cara tidak memberi memberi makanan secukupnya dan mendapatkan rawatan perubatan kepada pembantu rumah Indonesia itu dari 14 Mei 2010 hingga 5 Jun 2011.
Mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sahaja dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya dekat sini oleh kedua-dua majikannya itu pada pukul 7.50 pagi, 6 Jun 2011.
Hasil bedah siasat pula mendapati terdapat kesan lebam baharu dan lama serta calar pada bahagian belakang, dahi serta lengan Ismi Komariah.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kong Meng dan Ching Yen yang mempunyai sepasang anak kembar berusia 17 tahun dan diwakili peguam bela, Zahela Al-Hayat dan Thong Seng Kong kelihatan tenang di kandang pesalah sewaktu penghukuman itu dibacakan Noor Azian.
No comments:
Post a Comment