SHAH ALAM - Dua lelaki warga Sri Lanka termasuk seorang berstatus pelarian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 72 tuduhan mengklon kad pengeluaran wang automatik (ATM) antarabangsa untuk tujuan penipuan hampir RM50,000 pada bulan lalu.
N. Kabilthev, 33, dan S. Shanmugaraja, 26, dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Taman Cempaka, Ampang dekat sini pada 17 Februari lalu.
Kabilthev merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) manakala Shanmugaraja pula memasuki negara ini pada September tahun lalu menggunakan visa pelancong yang sudah tamat tempoh pada awal Januari lalu.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh memiliki 72 kad pelbagai jenis yang telah diklon menjadi kad ATM bagi membolehkan transaksi pengeluaran wang tunai dilakukan di mesin ATM.
Jalur magnetik yang terdapat pada belakang setiap kad-kad tersebut telah diklon dengan data akaun bank pemilik luar negara.
Transaksi haram menggunakan kad klon berkenaan didapati dilakukan di beberapa mesin ATM lima buah bank sekitar Lembah Klang dengan kerugian RM48,918 dari Januari 2013 hingga bulan lalu.
Kabilthev dan Shanmugaraja dituduh mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.
Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam bela, C. Vignesh Kumar mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil.
Hakim Datuk Noradidah Ahmad menolak permohonan Vignesh Kumar untuk membebaskan kedua-dua tertuduh dengan wang jaminan jamin memandangkan mereka terlibat dalam pertuduhan yang terlalu banyak.
“Kebarangkalian untuk kedua-dua tertuduh untuk melarikan diri agak besar. Tertuduh kedua juga sebelum ini tidak mengambil apa-apa langkah untuk memperbaharui visa pelancong yang telah tamat tempoh,” katanya.
Beliau menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 27 Mac ini.
Kosmo! 20 Februari lalu melaporkan kehidupan mewah dua lelaki warga Sri Lanka yang menyewa sebuah rumah di Taman Cempaka, Ampang terbongkar selepas serbuan dijalankan mendapati mereka terlibat dalam sindiket pengklonan kad ATM antarabangsa.
No comments:
Post a Comment