Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
HUTAN MELINTANG - Sebuah Pusat Latihan Bomba dan Penyelamat yang dianggarkan bernilai RM24.5 juta akan dibina di Tronoh.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, pusat latihan yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu khusus untuk operasi menyelamat di dalam air.
"Selain itu Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Perak sedang dibina di Bandar Meru Raya, Jelapang, Ipoh untuk kemudahan rakyat Perak.
"Kedua-dua inisiatif tersebut dilaksanakan bagi mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan serta kehadiran anggota bomba dan penyelamat demi keselesaan 2.5 juta penduduk Perak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang yang disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di sini semalam.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir dan Menteri Pertahanan merangkap Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Chee Heung berkata, bagi mengurangkan insiden kehilangan nyawa dan kecederaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil langkah proaktif secara berterusan mengenal pasti punca kebakaran.
Selain itu, katanya, jabatan berkenaan turut menumpukan kepada peningkatan dan mengukuhkan keupayaan anggota bomba sukarela yang dianggap sebagai pasukan penentang api terawal dalam sebarang insiden kebakaran.
"Terdapat 38 pasukan bomba sukarela dengan keanggotaan 1,949 orang di seluruh negeri Perak. Kita amat menyanjung semangat anggota-anggota sukarela ini," katanya.
No comments:
Post a Comment