Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
LUMUT - Lebih 5,000 warga Tentera Laut Diraja Malaysia ( TLDM ) tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada Program Pemimpin Bersama Warga TLDM di Pangkalan TLDM Lumut di sini semalam.
Mereka yang menghuni 48 pangsapuri di dalam pangkalan itu begitu ceria bersenamrobik bersama Zambry dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.
Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor berkata, pelbagai aktiviti seperti kenduri rakyat dan cabutan bertuah turut diadakan sepanjang program sehari tersebut.
"Jasa warga TLDM khasnya di Lumut ini dan keluarga yang sentiasa komited bertugas mempertahankan perairan negara amnya dan Perak khususnya sentiasa dihargai.
"Semoga program yang berupa pendekatan turun padang ini dapat mengeratkan lagi hubungan yang selama ini sudah cukup mesra," katanya.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha merangkap Ahli Parlimen Lumut, Panglima Armada TLDM Lumut, Laksamana Madya Datuk Abd. Hadi A. Rashid dan Panglima Bantuan TLDM Lumut, Laksamana Pertama Abd. Aziz Mohd. Sani.
Dalam pada itu, Abd. Aziz menerima peruntukan RM40,000 bagi menaik taraf pasar Pangkalan TLDM Lumut yang disumbangkan oleh Cho Ha.
Selain itu, semua 48 pangsapuri di dalam pangkalan itu menerima sumbangan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM1,000 setiap pangsapuri untuk program keceriaan dan kemasyarakatan.
Zambry dan Saripah juga diraikan pada majlis minum petang di Kapal Diraja (KD) Mahawangsa.
No comments:
Post a Comment