Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
TAPAH - Misteri kehilangan sebuah mesin jengkaut di sebuah tapak pembinaan di Taman Sri Damai 2 di sini terbongkar hasil penemuan komponen jentera berat itu yang telah dileraikan di sebuah pusat pengumpulan barangan lusuh di Lahat, Ipoh pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Tapah , Superintendan D. Som Sak berkata, polis turut menahan pemilik pusat pengumpulan barangan lusuh terbabit dan seorang pengusaha kedai jentera berat terpakai di Teluk Intan yang dipercayai individu yang menjual komponen jengkaut terbabit.
Beliau berkata, soal-siasat mendapati mesin jengkaut bernilai RM200,000 itu dicuri oleh dua suspek yang masih bebas dikenali sebagai Ravi dan Arifin di sebuah tapak pembinaan pada awal pagi 15 Jun lalu.
"Mereka kemudiannya menjual mesin jengkaut terbabit kepada pengusaha kedai jentera terpakai dipercayai pada harga RM35,000.
"Jentera berat ini kemudiannya dileraikan sebelum dijual kepada pusat pengumpulan barangan lusuh di Lahat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di sini semalam.
Som Sak berkata, kedua-dua suspek yang berusia 50-an ditahan reman selama tiga hari untuk membantu siasatan.
Katanya, polis masih memburu Ravi dan Arifin manakala kes disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment