Translate

Wednesday, June 6, 2012

Dua beradik sertai konvoi motosikal maut

 IPOH - Dua beradik yang menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 271.3 Lebuh raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Gunung Lang di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, Mohammad Noor Nazmin Mohd. Norzri, 20, dan adiknya, Mohammad Noor Nazufiq, 18, maut selepas motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki yang mereka tunggangi terbabas sebelum merempuh belakang sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, semasa kejadian kedua-dua beradik itu yang berasal dari Melaka sedang mengikuti konvoi 20 buah motosikal berkuasa tinggi yang menuju ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur.

"Sewaktu kejadian, motosikal berkuasa tinggi yang ditunggang Mohammad Noor Nazmin yang merupakan seorang anggota tentera dipercayai terbabas selepas gagal memotong sebuah lori di hadapannya.

"Motosikal mangsa terlanggar penjuru kanan belakang lori berkenaan hingga membuatkan mereka terpelanting ke pembahagi jalan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

 Azisman berkata, Mohammad Noor Nazmin yang mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, tambah beliau, Mohammad Noor Nazufiq yang mengalami kecederaan parah pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada pukul 3 petang.

No comments:

Post a Comment