Translate

Friday, January 6, 2012

Perak akan wujudkan akademi bolasepak sendiri

PERAK akan menubuhkan sebuah akademi bola sepak bagi mempertingkatkan lagi pembangunan pemain pelapis negeri itu dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan akademi bola sepak berkenaan yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya akhir tahun ini.

"Syarikat bijih besi dari Brazil, Vale International yang turut beroperasi di Lumut telah memberi 'lampu hijau' untuk sama-sama membantu Pafa.

"Penubuhan akademi terbabit merupakan perancangan jangka panjang bagi pembangunan bola sepak Perak dalam mengembalikan kegemilangan skuad negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis memperkenal pemain, penaja dan jersi baru skuad Perak serta pas bermusim bagi musim baharu 2012 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di sini semalam.

Turut hadir Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, pengurus dan ketua jurulatih Perak iaitu Khairul Azwan Harun dan Norizan Bakar.

Sehubungan itu, Pafa akan menjelajah di semua daerah di negeri tersebut untuk mencungkil bakat-bakat baharu berpotensi untuk diserapkan ke akademi bola sepak tersebut tidak lama lagi.

Difahamkan, akademi bola sepak terbabit akan dibina di tanah milik Pafa di Jelapang, Ipoh.

Dalam perkembangan sama, Zambry menegaskan, kerajaan negeri Perak sentiasa prihatin untuk membantu Pafa meningkatkan mutu skuad Seladang.

"Bola sepak adalah sukan yang sangat penting kerana ia simbol penyatuan dan maruah rakyat negeri ini," katanya.

No comments:

Post a Comment