Translate

Sunday, January 22, 2012

Dua lelaki dituduh bantu sembunyi wang hasil penipuan RM346,000

IPOH - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membantu menyembunyikan wang yang diperoleh daripada kegiatan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara.

 Lim   Mock   Huat , 37, dan Tommy Ng Kok Chun, 25, dituduh terlibat menyembunyikan wang berjumlah RM346,000 yang telah dimasukkan oleh seorang mangsa sindiket itu ke dalam sebuah akaun bank Public Bank di sini pada 28 Disember lalu.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah dihubungi oleh seorang individu yang tidak dikenali pada 28 November dan mendakwa dirinya pegawai Bank Negara.

Dia mendakwa boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi mangsa dengan bank tertentu sekiranya mangsa memasukkan wang berjumlah RM346,000 ke dalam sebuah akaun bank.

Mangsa yang mempercayai kata-kata individu tersebut telah memasukkan wang berkenaan di Public Bank di sini pada pukul 4.14 petang hari berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis dan ia membawa kepada penahanan kedua-dua tertuduh di Skudai, Johor Bahru pada 29 November.

Mereka ditangkap selepas kamera litar tertutup di mesin pengeluaran wang automatik Public Bank cawangan Johor Bahru merakam imej mereka mengeluarkan wang melalui nombor akaun bank berkenaan.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Majistret Haslina A. Raof kemudian membenarkan kedua-duanya dibebaskan dengan wang jaminan masing-masing berjumlah RM9,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 15 Februari depan.

No comments:

Post a Comment