Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
KUALA KANGSAR - Seorang anggota polis trafik yang selalu mengendalikan kes kemalangan maut semalam tergamam apabila mendapati tiga daripada enam ahli keluarganya mati serentak selepas kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler membawa muatan gelung plat besi semalam.
Kejadian pukul 1.15 pagi di Kilometer 253, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora dekat sini mengakibatkan M. Letchumy, 77, anak perempuannya, A. Espury, 60, dan cucunya, R. Naren, 5, mati di tempat kejadian.
Pemandu kereta itu, Dr. S. Ambiggan, 26, dan dua penumpang lain, A. Maruthayee, 53, dan S. Veneswaran, 11, pula cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Ambiggan dan Veneswaran merupakan cucu Letchumy manakala Maruthayee ialah anak wanita warga emas itu.
Difahamkan, sebelum kejadian enam sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke Kampung Benggali, Butterworth, Pulau Pinang selepas menghadiri upacara perkahwinan A. Priyanayagi, 42, iaitu anak ketujuh Letchumy di Flat Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Anak bongsu Lectchumy, A. Maniveran, 40, yang merupakan anggota polis trafik berpangkat Koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh memberitahu, kejadian itu berlaku selepas empat jam mereka meraikan perkahwinan Priyanayagi.
Katanya, dia yang sampai dulu dengan menaiki kenderaan lain terus bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumahnya sebaik dimaklumkan.
"Sebaik sampai, sayu hati saya melihat mayat ibu, kakak dan anak saudara saya masih tersepit di dalam kereta.
"Saya biasa mengendalikan kes ke malangan maut namun menyaksikan ahli keluarga sendiri menjadi mangsa amat menyayat hati,” luahnya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, semasa di Sungai Besi, Ambiggan yang merupakan seorang doktor di Hospital Kangsar, Perlis telah mengadu kereta Proton Perdananya berbau busuk yang aneh tetapi gagal mengesan dari mana puncanya.
Menurut Maniveran, walaupun sangsi tetapi dia menasihatkan anak saudaranya itu supaya memandu dengan cermat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supri tendan Abdul Gaffar Muhammad berkata, siasatan awal, kejadian berlaku mungkin disebabkan Ambiggan tidak perasan kehadiran treler di hadapannya kerana ketika itu hujan lebat dan jalan licin.
Ambiggan, Maruthayee dan Veneswaran kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tai ping dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu melulu.
No comments:
Post a Comment