Translate

Tuesday, November 30, 2010

Usahawan diserang sakit jantung ketika memandu

KUALA LUMPUR - Keasyikan seorang usahawan dari Shah Alam memandu keretanya berakhir dengan tragedi apabila dia mati selepas dipercayai diserang sakit jantung sebelum kenderaannya itu terbabas ke dalam longkang di kawasan Kajang Utama dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 8.30 malam itu berlaku ketika Gan Teck Sin, 41, yang lebih dikenali sebagai Eric memandu kereta jenis Mercedes Benz warna perak miliknya bersendirian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar berkata, sebelum kejadian, kereta yang dipandu mangsa sedang menuruni bukit di kawasan berkenaan.Katanya, kereta mangsa hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan sebelum terhumban ke dalam longkang sedalam 20 meter.

"Polis percaya ketika kejadian jalan tersebut basah dan licin menyebabkan kenderaan mangsa berpusing-pusing sebelum masuk ke dalam longkang berhampiran," katanya ketika dihubungi semalam. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sementara itu, di Padang Besar, Perlis, Mohd. Faizal Saidin, 25, maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 14, Jalan Bukit Keteri dalam kejadian pukul 8.20 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Dros berkata, kereta yang dipandu seorang lelaki dari arah Bukit Keteri ke Padang Besar cuba mengelak sebuah bas yang sedang berundur menyebabkan kereta itu hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

Di Ipoh, Perak pula, seorang kelindan treler terbunuh, manakala pemandunya cedera parah apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas ke dalam gaung di Kilometer 12 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, kelmarin.

Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, DSP Mohd. Rodzi Rejab berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 11.55 malam tadi, D.Ramarao @ Demudoo berusia 35 tahun dan berasal dari Taman Jati, Jelapang di sini.Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Monday, November 29, 2010

Polis bongkar 100 premis judi haram di Ipoh

IPOH - Tembelang satu sindiket yang menjalankan kegiatan perjudian berkomputer terancang di 100 buah premis di sekitar bandar ini terbongkar selepas polis menyerbu dua buah pusat judi haram di Taman Bercham Indah di sini semalam.

Serbuan pada pukul 4 petang oleh sepasukan polis dari Cawangan Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Bukit Aman itu dapat menahan seorang penyelia premis berusia 26 tahun.

Pegawai Operasinya, Supritendan Maszely Minhad berkata, hasil soal siasat, polis kemudian mendapat senarai keseluruhan premis judi sindiket tersebut. Senarai itu telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk tindakan susulan.

"Selain merampas sebanyak 65 buah mesin judi daripada dua premis itu, kita juga menahan tiga pekerja, enam pelanggan termasuk seorang wanita dan seorang penyelianya berusia antara 30 dan 46 tahun.

"Kita turut merampas wang pertaruhan sebanyak RM1,321," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, kedua-dua premis tersebut menawarkan lebih 50 jenis perjudian.

Menurut Maszely, premis terbabit juga dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4b (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sunday, November 28, 2010

TUDM pertahan penahanan Tharmendran

IPOH - Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud mempertahankan tindakan menahan semula suspek kes curi dua buah enjin pesawat F5, Sarjan N. Tharmendran di kawasan tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Shah Alam pada Khamis lalu.

Beliau berkata, Tharmendran masih seorang anggota Tentera Udara Malaysia (TUDM) dan akan didakwa ke Mahkamah Ketenteraan kerana meninggalkan tugas tanpa cuti.

“Perkara tersebut (penahanan) merupakan tindakan biasa kepada mana-mana anggota TUDM yang melanggar disiplin seperti meninggalkan tugas.

“Sarjan N.Tharmendran masih lagi seorang anggota (TUDM) dan disebabkan dia tidak melapor tugas, maka kita ‘ambil’ dia kerana notis sudah diberikan tetapi masih tidak datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Sri 43/10 melibatkan 328 perajurit lelaki dan 62 wanita di Institut Tentera Udara (ITU) Ipoh di sini semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan suasana di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Shah Alam tegang apabila dua buah kenderaan TLDM menahan Tharmendran setelah menghalang kereta yang dinaiki tertuduh dan bapanya, N. Nagarajah.

Sebelum kejadian, dia menghadiri pendengaran permohonannya untuk mengugurkan pertuduhan mengantung atau membatalkan pertuduhan bersuhabat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop mencuri dua buah enjin pesawat F5 yang dikenakan ke atasnya.

Tharmendran melalui peguamnya, N. Surendren telah memfailkan permohonan habeas corpus untuk dibebaskan dari Pusat Tahanan, Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur.

Menurut afidavit yang difailkan kelmarin, dia yang ber tugas di Pangkalan Udara Subang mendakwa tahanan yang dibuat adalah tidak sah dan di luar bidang kuasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tharmendran mendakwa bukan lagi seorang tentera TUDM kerana dia telah tamat perkhidmatan dengan pang kat Sarjan pada 28 Mei lalu ketika berada dalam reman sementara menunggu perbicaraan bagi kes membabitkan kecurian enjin jet pejuang itu.

Empat ditahan kes curi komponen mesin cip RM2.7 juta

IPOH - Polis menahan empat lelaki bagi membantu kes kecurian komponen mesin pembuat cip elektronik bernilai RM2.7 juta yang hilang semasa proses penghantaran ke sini dari gudang karg Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Ogos lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, ke semua suspek warga tempatan berusia antara 30 hingga 56 tahun terbabit ditahan di sekitar bandar raya ini pada Selasa dan Rabu lalu.

“Polis juga berjaya merampas semula kesemua komponen mesin yang dimport dari Amerika Syarikat dan Taiwan itu di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ringan Silibin di sini,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis serah tugas Ketua Polis Perak di sini semalam.

Jawatan Ketua Polis Perak akan dipangku Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof sementara Zulkifli yang bakal bertugas sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur.

Zulkifli berkata, dalam kejadian itu, seorang wakil syarikat pengangkutan di bandar raya ini yang mendakwa lori yang membawa komponen mesin pembuat cip elektronik terbabit dilarikan pemandu lori ter babit pada Ogos lalu.

Menurut beliau, polis yang membuat siasatan kemudian mendapati pemandu lori terbabit yang turut ditahan telah menggunakan salinan kad pengenalan palsu semasa memohon pekerjaan.

“Salah seorang suspek yang diberkas juga dikehendaki untuk beberapa kes kecurian, penipuan, pecah amanah jenayah, samun dan senjata api di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, semua suspek yang berasal dari bandar raya ini telah direman selama tujuh hari berakhir hari ini dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 407 Kanun Ke seksaan. Mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Kerajaan diharap tidak tarik lesen jual diesel subsidi

IPOH - Persatuan Nelayan Negeri Perak (Penggerak) berharap kerajaan tidak akan mengambil tindakan drastik membatalkan lesen menjual diesel bersubsidi ekoran isu penyelewengan yang dibongkar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Penggerak mendakwa disabotaj pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan monopoli penjualan diesel bersubsidi oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) kepada nelayan seluruh negara.

Pengerusinya, Ahmad Md. Taib mendakwa, kemungkinan ada pihak lain yang ingin mengambil alih lesen menjual diesel bersubsidi yang diberi kepada PNK.

“Saya tidak tolak kemungkinan ada pihak tertentu bersekongkol untuk melakukan sabotaj bagi mengambil alih lesen menjual diesel bersubsidi kepada nelayan.

“Sebenarnya penyelewengan diesel subsidi yang berlaku itu tidak begitu ketara seperti yang dilaporkan (akhbar semalam),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Ahmad percaya penyelewengan diesel bersubsidi itu hanya berlaku pada peringkat pengangkutan sahaja dan peman tauan akan dilakukan bagi memastikan aktiviti haram ter babit.

Kosmo! semalam melaporkan SPRM dan KPDNKK ber jaya membongkar kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi yang dilakukan Persatuan Nelayan (PNK) di empat buah negeri selepas menahan 19 individu termasuk 11 dari Perak baru-baru ini.

PNK terbabit yang sepatutnya bertindak sebagai lokasi sehenti nelayan mendapatkan bekalan diesel menjadi dalang dengan menyalurkan bekalan tersebut kepada industri tem patan termasuk membekalkan ke sempadan negara.

Thursday, November 25, 2010

Pemandu lori dijel dua tahun


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang pemandu lori dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 setelah mengaku bersalah cuba merasuah seorang Penolong Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Nurhayati Mat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Sofli Ahmad, 33, dari Pangkalan Baru, Pantai Remis dekat sini didapati memberi rasuah itu bagi melepaskan diri daripada kesalahan menyimpan diesel bersubsidi tanpa permit pada 6 Ogos lalu.

Bapa kepada lima orang anak itu merupakan salah seorang daripada 19 individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan KPDNKK di Perak, Pahang, Kedah dan Perlis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi menerusi Ops Nano baru-baru ini.

Berdasarkan fakta kes, operasi bersepadu yang dilakukan anggota SPRM dan KPDNKK selama tujuh jam berakhir 3 pagi pada 6 Ogos lalu menjumpai sebuah tangki minyak yang dipercayai mengandungi diesel bersubsidi di Kilometer (KM) 55, Jalan Pangkalan Baru-Pantai Remis dekat sini.

Safli yang ketika itu bertugas sebagai penjaga tangki minyak berkenaan telah menghampiri anggota penguat kuasa.

Setelah diberitahu seorang penolong penguatkuasa KPDNKK bahawa ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Bekalan 1961, tertuduh kemudiannya menawarkan wang suapan RM2,000.

Walaupun anggota penguat kuasa terbabit enggan menerima suapan itu, Sofli tetap menyerahkan wang tersebut.

Bagaimanapun gelagatnya telah dilihat oleh seorang pegawai SPRM yang bertindak menahannya.

Kosmo! semalam melaporkan SPRM dan KPDNKK ber jaya membongkar kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi yang dilakukan Persatuan Nelayan (PNK) di empat buah negeri selepas menahan 19 individu baru-baru ini.

Wednesday, November 24, 2010

Kemukakan bukti ternakan kelisa jejaskan sawah padi

IPOH - Kerajaan negeri Perak mahu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengemukakan bukti secara saintifik bahawa kewujudan kawasan ternakan ikan hiasan di kawasan sawah padi Kerian telah menjejaskan tanaman padi di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pertanian negeri, Datuk Ramly Zahari berkata, CAP sewajarnya membuat penyelidikan secara teknikal berhubung kesan projek berkenaan kepada sawah padi sebelum mengemukakan bantahan terhadap kerajaan negeri.

"Kita bukan senang-senang hendak hentikan (projek ternakan), nanti ada pihak marah. Jika mahu (hentikan), kita kena terangkan dan maklumkan dari segi teknikal. Saya harap CAP dapat mengemukakannya," tegas beliau ketika ditemui di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai desakan CAP supaya kerajaan negeri Perak serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menghentikan projek ternakan ikan kelisa di kawasan sawah padi Kerian berhampiran Bukit Merah.

Bagaimanapun, Ramly berkata, kerajaan negeri akan terus memantau isu tersebut dan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya jika ia benar-benar memberi kesan negatif kepada pesawah.

"Kita prihatin dengan masalah petani terlibat dan usaha untuk mengehadkan jumlah kawasan terlibat sudah pun dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri menetapkan hanya 182.3 hektar kawasan penanaman padi di daerah Kerian terutaman di sekitar Bukit Merah dijadikan kawasan penternakan ikan kelisa bagi mengelak penerokaan kawasan pertanian bertukar menjadi kolam ternakan secara besar-besaran.

Empat anak singa Afrika lahir di Zoo Taiping

TAIPING - Zoo Taiping dan Safari Malam di sini menerima anggota baru dengan kelahiran empat ekor anak singa Afrika pada 10 Oktober lalu.

Pengarah Zoo Taiping, Dr. Kelvin Lazarus berkata, dua ekor anak singa jantan dan dua anak singa betina terbabit lahir selang 20 minit antara satu sama lain bermula 7.30 pagi.

“Keempat-empat anak Singa Afrika itu adalah baka da ripada induk singa betina, Dewi, 6, dan singa jantan, Zulu, 4.

“Dewi berasal dari Zoo Argentina dan mula ditempatkan di Zoo Taiping dan Safari Malam sejak be berapa tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini se malam.

Kelvin berkata, semasa dilahirkan keempat-empat anak singa terbabit yang masih belum mempunyai nama seberat antara lima hingga enam kilogram (kg).

Beliau memberitahu kelahiran empat anak singa Afrika itu merupakan kali ketiga buat zoo berkenaan setelah seekor anak singa jantan pada 2006 dan seekor anak singa betina setahun kemudian.

“Setakat ini berat semua anak singa Afrika berkenaan yang kini sudah berusia lima minggu telah meningkat sehingga satu kilogram dan masih di kurantin bersama ibunya," katanya.

Kelvin berkata, kelahiran empat anak singa tersebut menjadikan Zoo Taiping dan Safari Malam kini mempunyai 13 ekor singa, semuanya daripada spesies Singa Afrika.

Enam direman bantu siasat kes bunuh

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Enam lelaki direman untuk membantu siasatan kes pembunuhan seorang peguam, G. Balasunderam, 57, pada 16 November lalu.

Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed membenarkan semua suspek berusia dari 21 hingga 30 tahun itu direman selama tujuh hari bermula semalam.

Difahamkan keenam-enam lelaki terbabit diberkas polis ketika sedang bersembunyi di sebuah hotel di Menglembu di sini pada kira-kira 3.45 pagi semalam.

Kosmo! 18 November lalu melaporkan Balasunderam ditikam bertubi-tubi oleh empat lelaki bertopeng sambil disaksikan isterinya, L.Pusphalatha, 48, di hadapan rumah mereka di Taman Desa Rishah, Buntong di sini pada 16 November lalu.

Peguam tersebut yang cedera parah di beberapa bahagian badan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini empat jam selepas dirawat.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang dikenakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bahan ringkas tetapi remeh dibuat

BAHAN asas Putu Perak ialah tepung beras, tepung pulut dan kelapa. Gula dan garam pula ditambah sebagai bahan perasa.

Biarpun nampak ringkas, Fauzila Harun, 35, atau Zie mengakui pembuatan kuih warisan itu agak remeh. Penyediaan bahan asasnya sahaja memakan masa sekurang-kurang dua hari.

"Mula-mula beras akan direndam sekurang-kurangnya semalaman sebelum ditos. Selepas itu beras tadi akan dikisar secara kasar.

"Selepas itu ia akan dikukus secara 40 minit sebelum dikisar sekali lagi sehingga menjadi tepung dan dibiarkan sejuk selama sekurang-kurang 12 jam," terang Zie.

Setelah benar-benar sejuk, tepung beras buatan sendiri itu akan digaul dengan tepung pulut sebelum dikisar sekali lagi sehingga sebati.

Sesudah sebati, kedua-dua tepung itu sehingga menjadi satu adunan. Gula pasir akan dicampur di dalam adunan itu untuk menjadikannya manis.

Zie memberitahu adunan tersebut sedia dikukus dengan acuan khas berbentuk seperti cawan yangdiperbuat daripada besi.

"Dahulu mak dan opah (nenek) saya menggunakan tempurung kepala digunakan sebagai acuan. Kemudian, acuan itu diperbarui dengan menggunakan tin yang diubahsuai.

"Kini saya melakukan inovasi dengan menempah acuan khas diperbuat daripada besi," katanya.

Berbeza dengan Putu Piring yang berintikan gula merah, Putu Perak pula berintikan kelapa yang digaul dengan garam. Ia menjadikan rasa Putu Perak lemak-lemak manis.

Begitupun, ada juga pelanggannya di gerai jualan Makanan Popular Perak, Bazar Agro di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Ulu Bernam arah selatan yang memesan Putu Perak berintikan gula merah.

"Walaupun bagi saya permintaan itu agak lucu kerana tepung adunan Putu Perak itu sendiri sudah manis dan penggunaan gula merah sebagai inti menjadikannya terlalu manis, permintaan segelintir pelanggan itu diturutkan juga," jelasnya.

Putu Perak boleh tahan selama tiga hari selepas dikukus dan jika disejuk beku pula ia boleh dimakan sehingga enam bulan. Bagi enam biji Putu Perak, Zie menjualnya dengan harga RM3.

Tuesday, November 23, 2010

Potensi besar dikomersialkan


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

RUPANYA molek bak sebiji cawan. Warnanya yang putih suci dan bertekstur gebu memikat hati untuk dijamah. Kuih yang diberi nama Putu Perak itu rasanya lemak-lemak manis.

Itulah reaksi deria rasa apabila putu tersebut memasuki rongga mulut. Emosi yang sama dirasai oleh Fauzila Harun, 35, tatkala menikmati kuih tradisional Perak itu pada suatu petang kira-kira lima tahun lalu.

"Putu Perak adalah antara kuih yang ibu dan opah saya gemar sediakan untuk kami sekeluarga semasa saya kecil dulu. Namun, setelah zaman berubah, putu itu jarang dibuat dan semakin sukar ditemui," jelas wanita yang lebih mesra dipanggil Zie itu kepada Kosmo! baru-baru ini.

Kenangan pada petang itu ternyata telah memberi ilham bisnes kepadanya. Kini, Zie ialah seorang pengusaha kek dan pastri serta beberapa kuih tradisional Melayu seperti baulu, kuih karas, baulu Kemboja dan rempeyek.

Tidak ketinggalan, Zie nekad menjadikan Putu Perak yang sebelum ini sekadar sajian sarapan pagi dan minum petang di kampung halamannya di Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak sebagai antara produk utama perusahaannya, Zie's Taste Cake & Pastry.

Mengapakah Putu Perak? Selain kurang persaingan, wanita itu yakin Putu Perak mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan. Bagi Zie, pembuatan kuih tradisional itu mempunyai falsafah yang tersendiri.

Baginya, kuih warisan itu adalah satu-satunya kuih yang kuat beridentitikan Perak berdasarkan tiga ramuan asasnya iaitu beras, pulut dan kelapa. Ketiga-tiganya pernah menjadi hasil pertanian utama dan makanan ruji penduduk negeri itu pada zaman dahulu.

"Walaupun ada yang memanggilnya putu cawan dan putu mangkuk, nama Putu Perak lebih tepat dan menyerlah serta mempunyai nilai komersial untuk membawanya di pasaran nasional," ujarnya.

Bermula dengan meletakkan Putu Perak yang dibuatnya di gerai-gerai makan dan kedai runcit di sekitar Chendorang Balai, Sungai Manik dan Labu Kubong pada setiap pagi, kuih warisan itu laris dan permintaannya begitu baik.

Kesungguhan Zie menjual kuih tradisional tersebut mula mendatangkan hasil dan berjaya membuka mata sebuah agensi kerajaan setahun kemudian.

Pada tahun 2006, rumah Zie dikunjungi oleh beberapa pegawai Pejabat Pertanian Sungai Manik yang diketuai Penolong Pegawai agensi itu, Mohamad Din Hussin, untuk melihat sendiri kesungguhan wanita itu menghasilkan Putu Perak.

"Kebetulan pada masa itu, kami bercadang membuka pusat sehenti menghasil dan memasar produk kecil dan sederhana (PKS) yang akan ditempatkan di Pejabat Pertanian Sungai Manik.

"Kami memerlukan seorang usahawan yang berpotensi untuk dibantu," jelas Mohamad Din.

Pusat sehenti itu ditawarkan secara percuma tanpa sebarang bayaran sewaan dan pengusaha terpilih sekadar melunaskan bil elektrik dan air bulanan.

Selain itu, bimbingan dan bantuan sokongan daripada agensi kerajaan terlibat termasuk Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga ditawarkan.

Mohd. Din memberitahu, seramai 32 usahawan produk PKS di sekitar Sungai Manik, Chenderong Balai dan Labu Kubong telah disenarai pendek dan akhirnya Zie menerusi perusahaannya, Zie's Taste Cake & Pastry, telah terpilih.

Tertarik dengan kegigihan dan wawasan masa depan perniagaan terutama kesungguhan mengkomersialkan kuih warisan negeri, Putu Perak, adalah antara sebab utama pemilihan Zie.

Peluang yang diberikan Pejabat Pertanian Sungai Manik itu bagaikan batu loncatan kepada Zie. Sejak itu dia tidak menoleh ke belakang lagi.

Peralatan memasak Putu Perak juga diperbaiki. Jika sebelum ini Zie dan pekerja mengukus kuih warisan itu di dalam tin yang telah ditebuk lubang kini peralatan khas diperbuat daripada besi digunakan.

Sambutan menggalakkan

Zie juga telah ditawarkan buat kali pertama untuk memperkenalkan Putu Perak buatannya di acara Agrofest peringkat negeri di Ladang Infoternak Sungai Siput bermula 2007.

"Sambutannya amat menggalakkan. Kejayaan di Agrofest Perak 2007 membuatkan saya terus menyertai banyak ekspo dan karnival usahawan anjuran pelbagai agensi kerajaan di sekitar Perak dan negeri-negeri jiran seperti Kedah untuk mempromosi Putu Perak," ujarnya.

Zie juga pernah membuka gerai jualan Putu Perak di Karnival Sua Rasa anjuran televisyen swasta, TV9 di pekarangan Stadium Perak pada bulan April lalu.

Usaha wanita itu semakin mendapat pengiktirafan apabila Putu Perak buatannya disenaraikan sebagai salah satu Makanan Popular Perak oleh FAMA negeri.

Lebih membanggakan, kuih warisan itu berjaya menembusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) pada 2008 dan 2010.

Kini, Putu Perak buatan Zie boleh didapati hampir setiap hari di sudut Makanan Popular Perak Bazar Agrobest di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Ulu Bernam arah selatan, Lebuh Raya Utara-Selatan mulai Februari lalu.

Pembukaan gerai jualan itu membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan kuih warisan itu. Keunikannya menarik minat ramai pengunjung R&R tersebut untuk membeli dan mencuba keenakan Putu Perak.

Bagi yang pernah merasai Putu Perak sebelum ini, penjualan kuih warisan itu di kawasan milik Plus Expressways Berhad (PLUS) itu mampu mengimbau kenangan silam.

Bagi mereka yang tidak pernah menikmatinya, tentunya ia menjadi satu pengalaman baru apabila berpeluang menikmati makanan tradisional tempatan yang hampir pupus.

Menyentuh hati

Pengalaman melayan ragam pelanggan meninggalkan pelbagai kenangan buat Zie. Begitu juga dengan kisah seorang pelanggan wanita berusia 40-an dari Seremban, Negeri Sembilan pada bulan Ramadan lalu.

Zie memberitahu, sepanjang bulan Ramadan itu, gerai jualan Putu Perak di R&R Ulu Bernam arah selatan ditutup bagi memberi ruang kepada dia dan pekerjanya menyiapkan tempahan kuih dan kek raya di Chenderong Balai.

Satu hari dalam bulan yang mulia itu, Zie dihubungi oleh seorang wanita yang begitu teringin merasai Putu Perak.

Wanita yang mendapat nombor telefon bimbit Zie daripada pengurusan PLUS dan FAMA Perak itu merayunya agar membuka gerai jualan di R&R tersebut.

Menurutnya, dia berasal dari daerah Hilir Perak tetapi telah menetap lama di Seremban, Negeri Sembilan dan sanggup memandu kereta dari jauh semata-mata mahu menjamah Putu Perak sebagai salah satu sajian berbuka puasanya.

Mendengar rayuan wanita terbabit, Zie tidak sampai hati lantas menyiapkan kuih warisan yang dipesan sebelum menyerahkannya kepada pelanggan tersebut di kawasan R&R terbabit.

"Saya akhirnya dapat menyerahkan Putu Perak yang dipesan wanita itu ketika hampir waktu berbuka puasa. Daripada riak mukanya, jelas dia gembira kerana dapat menikmati putu tersebut.

"Terharu saya sekejap. Momen itu menjadi antara pengalaman indah sepanjang saya berniaga Putu Perak. Semangat saya semakin kuat untuk membawa kuih warisan negeri kelahiran saya ini di peringkat lebih tinggi," ujarnya.

Tuesday, November 16, 2010

Produk 1BestPerak di MAHA 2010

IPOH - Sebanyak 10 produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan telah dikenalpasti untuk menerima pengiktirafan 1BestPerak.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, 1BestPerak ialah pengiktirafan kepada produk PKS tempatan yang mencapai standard dan mempunyai potensi tinggi untuk diketengahkan.

“Produk tempatan terbabit akan dibantu untuk menembusi segmen yang lebih besar, termasuk di peringkat antarabangsa, yang merangkumi strategi pemasaran dan pembungkusan.

“Antara produk pengusaha PKS Perak yang diiktiraf itu ialah Rendang Tok Mak Nik, produk kacang putih, biskut kelapa bersalut coklat Sri Ayu dan biskut ayam Kampar,” katanya selepas merasmikan Ekspo Usahawan Industri Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kawasan Industri Mara Tambun di sini semalam.

Hamidah berkata, semua produk 1BestPerak terbabit akan diumum secara rasmi pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) 2010 di Serdang, Selangor pada hujung bulan ini.

Sehubungan itu, Hamidah berkata, produk PKS terbabit akan dipamerkan untuk jualan sepanjang penganjuran pameran yang bakal berlangsung mulai 26 November ini.

“Selain itu, 10 produk 1BestPerak juga akan dipamerkan pada Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Wen Zhou, China pada 19 hingga 23 November ini,” kata beliau.

Tikam mati rakan kerana babi hutan


IPOH - Gara-gara tidak berpuas hati dengan pengagihan daging seekor babi hutan yang diburu, dua beradik sanggup menikam rakan mereka sehingga mati di hadapan rumah mangsa di kuarters Ladang Sungai Samak, Hutan Melintang, Teluk Intan kelmarin.

Dalam kejadian pukul 9 malam itu, K. Perumal (gambar), 27, mati dalam perjalanan ke klinik setelah ditikam dengan pisau lipat oleh seorang daripada suspek berkenaan.

Difahamkan kejadian berlaku sebaik sahaja mangsa dan dua suspek yang berusia 24 dan 21 tahun selesai memburu babi hutan di hutan berhampiran ladang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Teluk Intan, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kedua-dua rakan mangsa dikatakan tidak berpuas hati dengan pengagihan daging babi hutan berkenaan lalu pergi ke rumah mangsa pada malam berkenaan.

"Kedua-dua suspek naik berang apabila menjumpai sebahagian usus babi hutan di hadapan rumah mangsa.

"Mereka kemudian bersemuka dengan mangsa yang ketika itu sedang berehat di dalam rumah bersama isteri dan dua anak yang masih kecil untuk mendapatkan penjelasan," katanya ketika dihubungi semalam.

Kok Liang berkata, berlaku pertengkaran antara suspek dan Perumal sehingga salah seorang daripada suspek mengeluarkan sebilah pisau lipat lalu menikam leher mangsa.

Menurut beliau, sejurus menikam mangsa, kedua-dua suspek melarikan diri dengan motosikal. Mangsa yang rebah dihantar ke sebuah klinik di Ladang Ulu Bernam oleh isteri dan beberapa jirannya.

"Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke klinik akibat kehilangan banyak darah. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.

"Polis menjumpai sebilah pisau lipat yang mempunyai kesan darah berhampiran tempat kejadian manakala kedua-dua suspek berjaya diberkas polis ketika sedang bersembunyi di Ladang Ulu Bernam pada tengah hari tadi (semalam)," katanya.

Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Monday, November 15, 2010

Guru melecur gel pemanas makanan meletup

IPOH - Seorang guru melecur teruk di kepala apabila disambar api kesan letupan bahan api berbentuk gel yang dinyalakan di bawah sebuah bekas dulang berisi lauk-pauk pada Jumaat lalu.

Berikutan kejadian pada majlis makan malam tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf, Batu Gajah dekat sini pada kira-kira 8.30 malam itu, Ainon Mardhiah Elias, 39, melecur di bahagian dahi, rambutnya sedikit terbakar dan mata serta pipinya bengkak.

Ainon Mardhiah yang juga warden sekolah terbabit memberitahu, semasa kejadian, dia dan seorang guru, Nur Haliza Zainal Abidin sedang memanaskan hidangan untuk majlis yang diadakan di dewan sekolah tersebut.

Majlis makan malam itu dihadiri kira-kira 250 orang merangkumi pelajar, guru dan ahli keluarga masing-masing.

Cerita Ainon Mardhiah, pada mulanya Nur Haliza memasukkan bahan api berupa gel yang diletakkan di dalam bekas khas di bawah sebuah dulang manakala dia menyalakan api dengan mancis.

"Tiba-tiba berlaku letupan kuat hingga botol berisi bahan api gel itu terpelanting hampir lima meter ke atas pentas dewan.

"Api pula menjadi marak hingga menyambar tudung dan sebahagian kepala, saya panik dan secara spontan segera menanggalkan tudung," katanya ketika ditemui di Hospital Pantai Putri (HPP) di sini semalam.

Api berwarna biru itu hanya terpadam setelah salah seorang guru menjirus kepala Ainon Mardhiah dengan sebaldi air berisi ais.

Guru itu kemudian dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Batu Gajah dekat sini dan selepas itu dipindahkan ke HPP.

Percikan api daripada letupan terbabit turut membakar sebahagian baju kurung dipakai Nurul Haliza dan bahagian bahu baju seorang guru lain, Hendon Sufian yang berdiri berhampiran.

Ainon Mardhiah mendakwa sehari sebelum kejadian dia disyorkan membeli bahan api gel itu oleh seorang pengusaha kedai peralatan dapur di Batu Gajah.

"Semasa beli 10 set bekas dulang untuk majlis makan malam tersebut, peniaga tersebut kenalkan saya bahan api gel .

"Dia kata bahan itu merupakan yang terbaru untuk memanaskan hidangan dalam bekas dulang berbanding penggunaan lilin sebelum ini," katanya.

Saturday, November 13, 2010

Geng samun RM1.1 juta di dua daerah tumpas

IPOH - Selepas tiga bulan berma harajalela, satu kumpulan samun bersenjata api yang sangat dikehendaki polis tumpas dengan penahanan empat lelaki di beberapa lokasi di sini baru-baru ini.

Kumpulan itu setakat ini dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 16 kes samun membabitkan harta-benda bernilai lebih RM1.1 juta di sekitar Ipoh dan Manjung.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, kejayaan itu bermula dengan tertangkapnya seorang lelaki berusia 41 tahun yang memandu kereta Toyota Vios yang dilaporkan hilang di Kampung Rapat di sini pada pukul 8.30 malam 9 November lalu.

Siasatan terhadap lelaki itu mendorong penahanan seorang lagi anggota kumpulan itu yang berusia 32 tahun di Taman Seri Berjaya di sini beberapa jam kemudian.

"Polis merampas beberapa barang seperti 11 telefon bimbit, empat komputer riba, tiga unit pusat pem prosesan komputer (CPU) dan dua set sistem penentu kedudukan global (GPS)," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Polis pada keesokan harinya menahan dua orang lagi anggota kumpulan sama yang berumur 40 dan 39 tahun masing-masing di Taman Ayer Tawar dan Kampung Datuk Seri Kamaruddin, Manjung.

"Kita merampas sepucuk pistol jenis Remingthon dan satu kelompak berisi enam butir peluru," katanya.

Modus operandi geng tersebut ialah menceroboh rumah mangsa dan mengugut penghuninya menggunakan senjata api atau parang.

Zulkifli berkata, kesemua suspek direman selama enam hari sehingga 16 November ini untuk siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sambutan Deepavali di rumah MB Perak meriah

1MALAYSIA. Buat julung kalinya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir menganjurkan majlis rumah terbuka Deepavali di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Ipoh baru-baru ini.

Biarpun dalam keadaan hujan renyai, ia tidak menghalang lebih 3,000 penduduk berbilang kaum dari seluruh Perak menghadiri majlis tersebut.

Zambry berkata, beliau berhasrat untuk menjadikan rumah terbuka Deepavali di kediaman rasmi Menteri Besar Perak itu sebagai acara tahunan.

"Sebelum ini saya juga telah menjamu rakyat sempena Aidilfitri dan Tahun Baru Cina. Majlis seperti ini dianjurkan sebagai menghargai kepelbagaian kaum dan memupuk perpaduan di negeri ini," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi MIC Perak, Datuk S. Veerasingam.

Rendang Tok Mak Nik dijual di 7-Eleven

IPOH - Rendang tok , produk makanan popular siap saji yang dihasilkan syarikat bumiputera, Rendang Tok Mak Nik Sdn. Bhd. ( Rendang Tok Mak Nik ) kini boleh didapati di semua rangkaian kedai serbaneka, 7-Eleven seluruh negara mulai bulan depan.

Pengurus syarikat tersebut, Sharifuddin Mohamed berkata, sebanyak 24,000 bungkusan produk terbabit akan ditempatkan di lebih 1,000 rangkaian kedai serbaneka tersebut di seluruh negara pada setiap bulan.

Selain rendang tok , syarikat turut mengeluarkan Rendang Pedas Ayam, Sambal Tumis dan Acar Buah-Buahan.

"Semua produk itu hanya perlu direndam dalam air panas mengikut masa yang ditetapkan dan ia boleh dinikmati dengan mudah tapi tetap menyelerakan, setiap pek dijual daripada harga di antara RM5 hingga RM8.30," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sharifuddin yang juga anak Nafsiah Yeop iaitu pengasas Rendang Tok Mak Nik berkata, sebelum ini produk terbabit telah memasuki pasar raya besar Giant, Tesco, Mydin dan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) sejak tahun lalu.

Beliau berkata, para pengguna tidak perlu berasa was-was dengan produk siap saji buatan syarikatnya kerana ia tidak mengandungi perasa, pengawet, pewarna tiruan dan boleh tahan selama dua tahun.

"Ia memudahkan pengguna merasai keenakan masakan kami terutamanya Rendang Tok dan ia sesuai dimakan bersama nasi, roti, bubur, ketupat dan lemang.

"Syarikat juga merancang untuk melancarkan sembilan lagi produk siap saji dan pes pada tahun hadapan bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat," katanya.

Pemandu berusia 60 tahun mabuk ditahan

IPOH - Seorang warga emas berusia 60 tahun yang memandu di bawah pengaruh alkohol adalah antara yang ditahan dalam Ops Samseng di sekitar bandar raya ini awal pagi kelmarin.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Supritendan Mohd. Rodzi Rajab berkata, lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987."Sebanyak 132 saman telah dikeluarkan kepada pesalah jalan raya semasa operasi selama lima jam yang bermula pukul 2 pagi itu.

"Operasi itu dibuat di sepanjang Jalan Raja Musa Aziz, Jalan SP Seenivasagam dan Jalan Raja Nazrin Shah Jalan Silibin," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd. Rodzi berkata, kesemua saman dikeluarkan terhadap 88 penunggang motosikal, empat pemandu kereta dan masing-masing seorang pemandu van dan jip.

Katanya, ia melibatkan sebanyak 33 kesalahan tidak mempunyai lesen memandu; 15 kesalahan cukai jalan tamat tempoh (15); memotong dalam keadaan bahaya (15); melanggar lampu isyarat (13) dan tidak menampal pelekat P (3).