Translate

Monday, August 10, 2026

Penagih dalam kalangan kanak-kanak meningkat tahun ini

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Kadar penyalahgunaan dadah di Terengganu yang sebelum ini dikategorikan antara paling serius di negara ini menurun 7.2 peratus pada suku pertama tahun ini.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, seramai 7,582 penagih dadah direkodkan di negeri ini bagi tiga bulan pertama tahun ini berbanding 8,184 orang dalam tempoh sama tahun lalu.

Penurunan itu disumbang oleh pengurangan penagih sebanyak 20.6 peratus di daerah ini, Setiu (-16.5 peratus), Kemaman (-11.8 peratus), Marang (-11 peratus), Kuala Terengganu (-3.1 peratus), dan Hulu Terengganu (-1.3 peratus).

“Walau bagaimanapun kadar penagihan dadah di Dungun meningkat 8.4 peratus pada suku pertama tahun ini,” katanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenang di sini hari ini. Terdahulu beliau merasmikan program Kampung Angkat Madani AADK di Felda Tenang di sini.

Ruslin menegaskan penurunan angka itu hanyalah permulaaan kerana banyak isu penyalahgunaan dadah masih perlu ditangani di Terengganu antaranya peningkatan penagihan dalam kanak-kanak dan remaja berusia seawal 10 hingga 14 tahun pada suku pertama tahun ini.

“Penagih dalam kalangan kanak-kanak meningkat sebanyak 16.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

AADK saran juruterbang tempatan jalani saringan dadah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyarankan semua syarikat penerbangan tempatan lain mengikut langkah Malaysia Aviation Group (MAG) mewajibkan saringan dadah terhadap kesemua juruterbang Malaysia Airlines.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, inisiatif MAG insiden penahanan seorang seorang kakitangannya di Indonesia baru-baru ini bukan sahaja disambut baik malah agensinya bersedia menawarkan kepakaran membantu.

“Jika sebelum ini kita memberi penekanan penguatkuasaan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan pengangkutan darah, mengapa tidak kepada juruterbang pesawat penerbangan?.

“Kita tidak boleh berkompromi penglibatan kakitangan sektor penerbangan yang memikul tanggungjawab besar keselamatan nyawa ribuan penumpang dalam aktiviti penyalahgunaan atau penyeludupan dadah,” katanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Tenang di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan program Kampung Angkat Madani di Felda Tenang di sini.

Ruslin berkata, AADK bersedia membantu MAG menjalankan ujian penyalahgunaan dadah terhadap kru penerbangan termasuk juruterbang berkenaan.

Beliau berkata, MAG juga akan digalakkan menyertai program Tempat Kerja Bebas Dadah (Tekad) yang bertujuan mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan bebas ancaman najis dadah.

Ruslin berkata, AADK akan menawarkan latihan pengurusan risiko dan ujian kompetensi bagi memastikan penyelia MAG benar-benar bertauliah dalam melaksanakan ujian saringan, khidmat nasihat dan kepakaran pencegahan dadah

Kosmo! hari ini melaporkan MAG mewajibkan semua juruterbang di bawah syarikat penerbangannya menjalani ujian air kencing bagi memperkukuh keselamatan dan kesesuaian untuk bertugas terhadap semua kru. – KOSMO! ONLINE

Peluang eksport ke Indonesia tidak kesampaian, simpanan RM58,500 lebur

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hajat seorang juruteknik menceburi bidang perniagaan dengan memasuki pasaran Indonesia bukan sahaja tidak kesampaian malah kerugian RM58,500 akibat diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’.

Wanita tersebut mendakwa telah terperdaya suspek yang kononnya menawarkan perkhidmatan mendapatkan sijil Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) daripada pihak berkuasa Indonesia untuk mengeksport produk makanan ke negara jiran itu.

Dia membuat laporan berhubung kes itu Balai Polis Chabang Tiga di sini pada pukul 12.54 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, juruteknik terbabit melihat iklan menawarkan peluang perniagaan mengeksport produk makanan ke Indonesia di laman Facebook pada pukul 9 malam, 23 Mac lalu.

“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu telah memasuki kumpulan WhatsApp sebelum mengikuti taklimat seterusnya trip perniagaan tersebut yang berlangsung 15 hingga 17 Mei lalu.

“Dia yang dijanjikan kononnya syarikat terlibat memiliki sijil BPOM telah melakukan pembayaran keseluruhan RM58,500 bagi reruai produk biskut, bilis dan daging salai,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, pembayaran itu dilakukan menerusi 10 transaksi pindahan wang ke akaun bank diberikan suspek namun juruteknik itu tetap tidak diberikan sijil BPOM dijanjikan.

Beliau berkata, wanita itu akhirnya menyedari tertipu apabila mendapati dakwaan ‘syarikat pengeksportan’ terbabit mempunyai sijil BPOM sebenarnya palsu. – KOSMO! ONLINE