Translate

Saturday, March 28, 2026

Panas melampau

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Penduduk terutama di kawasan utara Semenanjung dijangka me­nyambut perayaan Aidilfitri dalam keadaan panas terik untuk tempoh yang lebih lama apabila cuaca itu berlarutan sehingga Sabtu ini. 

Fenomena panas dan kering di seluruh Perlis dan beberapa kawasan di Kedah sehingga 8 Sya­wal ini mencetuskan kebimba­ngan dalam kalangan orang ramai berhubung bekalan air yang boleh menjejaskan kehidupan harian penduduk terutama pada musim perayaan besar ketika ini. 

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Chung Jing  Xiang berkata, cuaca kering itu berlaku disebabkan pertembungan penghujung Monsun Timur Laut (MTL) dan fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO). 

“Ketika ini negara kita berada pada fasa peralihan MTL ke Monsun Barat Daya yang membawa cuaca lebih panas dan kering. 

“Fenomena MJO pula meningkatkan keadaan kering di atmosfera sekali gus mengurangkan pembentukan awan hujan,” katanya kepada Kosmo! semalam. 

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, proses penyejukan menerusi penyejatan akan berkurangan sekali gus menjadi pemangkin cetusan gelombang haba terutama di utara tanah air. 

Katanya, berdasarkan ramalan agensi antarabangsa seperti National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA), cuaca panas ini dijangka berlarutan sekurang-kurangnya sehingga Sabtu ini. 

“Bagaimanapun cuaca ini dilaporkan sementara, paling lama dalam dua minggu,” katanya.

 Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap dua dalam tempoh tiga hari berturut-turut. Kebanyakan kawasan terjejas di Kedah dan Perlis. Kesemua kawasan diramal mencatat suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celsius.

 Sementara itu, MetMalaysia berkata, tiga kawasan di Kedah berada pada Tahap 2 (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut. Kawasan terlibat ialah Pendang, Padang Terap dan Baling mengikut kemas kini setakat pukul 4 petang semalam. 

Sebanyak 15 kawasan lain pula berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga) dengan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius. 

Ia melibatkan seluruh Perlis serta beberapa daerah di Kedah iaitu Sik, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu. 

Turut terkesan kawasan Timur Laut dan utara Pulau Pinang, Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar (Perak) dan Kuala Lumpur. 

Orang ramai dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti luar, minum air secukupnya dan sentiasa peka terhadap perkembangan semasa cuaca bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat cuaca panas melampau. 

Di Kuching, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) giat memantau bekalan air di seluruh negara susulan cuaca panas dan peralihan monsun yang berpotensi mencetuskan keadaan kering serta kemarau di beberapa kawasan. 

Petra dan syarikat bekalan air negeri memantau secara rapi paras takungan dan keupayaan sistem agihan bagi memastikan bekalan air kekal mencukupi. 

“Setakat ini, paras takungan air masih terkawal. Langkah kesiapsiagaan turut dipertingkat termasuk penyediaan lori tangki dan tangki air statik untuk disalurkan segera ke kawasan yang berdepan gangguan bekalan. 

“Rakyat disaran menggunakan air secara berjimat-cermat bagi memastikan bekalan sedia ada mencukupi sepanjang tempoh cuaca panas ini,” kata beliau.

Wang pencen RM96,000 pesara lesap diperdaya skim pelaburan palsu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hajat seorang wanita warga emas untuk meraih keuntungan berganda bukan sahaja lebur malah turut kerugian RM96,000 akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud.

Pesara berusia 63 tahun itu yang menyedari tertipu telah membuat laporan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 8.30 petang semalam.

Sebahagian modal pelaburan yang lesap itu merupakan wang pencen wanita warga emas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, wanita terbabit ditawarkan skim pelaburan tersebut menerusi aplikasi WhatsApp pada tahun 2022.

“Mangsa yang tertarik dengan skim pelaburan tersebut telah menyertainya dan membuat pelaburan sehingga 14 Mac lalu.

“Keseluruhan modal pelaburan dilakulan berjumlah keseluruhan RM96,000,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, pesara tersebut telah melakukan 50 transaksi ke dalam 15 akaun bank diberi suspek.

Beliau berkata, wanita itu hanya menyedari tertipu apabila masih tidak mendapat pulangan dijanjikan biarpun sudah hampir empat tahun membuat pelaburan. – KOSMO! ONLINE

Friday, March 27, 2026

JPJ Terengganu ‘perangi’ mat rempit

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengisytiharkan ‘perang’ terhadap mat rempit sepanjang pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri di negeri ini selama 13 hari bermula hari ini. 

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, penekanan itu diberi berikutan peningkatan kegiatan merempit sepanjang bulan Ramadan. 

Katanya, peserta konvoi juga dilihat membawa motosikal secara berbahaya selain pemeriksaan mendapati ramai melakukan pengubahsuaian ekstrem kenderaan mereka. 

“Ada yang cabut brek belakang, ubah suai enjin, memakai tayar sotong dan menanggalkan nombor plat atau sengaja membuang satu ansara dalam nombor plat,” katanya ketika mengetuai Ops Khas Motosikal di Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini semalam. 

Sebanyak 22 motosikal termasuk milik seorang remaja perempuan berusia 17 tahun telah disita atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu. 

Menurutnya, selain isu teknikal dan lesen, cukai jalan serta insurans, kesalahan tidak memakai topi keledar juga akan diberi penekanan. 

Katanya, antara lokasi panas mat rempit akan diberi perhatian di bandar raya ini ialah Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan Padang Midin di sini.

 “Penekanan ini diberi memandangkan penunggang motosikal juga menjadi penyumbang terbesar kes kemalangan di negeri ini sewaktu pelaksanaan Ops Tahun Baharu Cina bulan lalu,” katanya