Translate

Wednesday, December 2, 2015

Suami Marissa Yasmin fail penceraian

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SHAH ALAM - Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 14 Januari depan sebagai sebutan semula permohonan cerai pelakon drama, Marissa Yasmin, 38.
Hakim Syarie, Muhammad Hisyam Zakaria memutuskan demikian bagi memberi masa kepada pihak pemohon iaitu suami pelakon tersebut, Mukzir Mohd. Zainuddin, 49, menyerahkan notis tuntutan tersebut secara serahan tangan kepada isterinya yang dikatakan telah meninggalkan rumah kelamin mereka di Subang Jaya, Selangor sejak Jun lalu.
Mukzir telah memfailkan permohonan penceraian berkenaan pada 27 November lalu.
Prosiding hari ini berlangsung tanpa kehadiran Marissa Yasmin manakala Mukzir hadir bersama peguam syarienya, Jamal Mohd. Lokman Sulaiman. - K! ONLINE

Sunday, November 29, 2015

Sharhan kemuka rayuan gugur tuduhan khalwat

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam diberitahu pihak pembelaan pengamal perubatan Islam terkenal, Ustaz Sharhan Shafie, 39, bercadang untuk mengemukakan representasi (rayuan) kepada Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bagi menggugurkan pertuduhan berkhalwat tertuduh  bersama dua beradik wanita pada dua tahun lalu.

Peguam syarie Mohamad Isa Abd. Ralip memaklumkan mahkamah, tertuduh kedua, Umi Masjuri Hassan, 40, telah berkahwin dengan Sharhan dan status perkahwinan mereka telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini baru-baru ini.

“Saya mohon penangguhan kes (khalwat) dan jaminan ketiga-tiga anak guam saya dilanjutkan sehingga tarikh baharu sebutan semula didengar di mahkamah,” katanya kepada Hakim Syarie, Umamuddin Yunus di mahkamah semalam.

Umamuddin menetapkan sebutan semula kes khalwat terbabit yang akan didengar di hadapan Hakim Syarie, Ib­rahim Idris di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 6 Januari depan.

Sebelum ini kes khalwat melibatkan Sharhan bersama Umi Masjuri serta adik perempuan tertuduh kedua, Masbelinda, 21, telah didengar oleh Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain.

Namun, Mohd. Amran telah mengumumkan menarik diri daripada mendengar kes itu berikutan beliau turut mendengar kes pengesahan status perkahwinan antara Sharhan dan Umi Masjuri yang telah selesai pada 26 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan untuk Masbelinda, dia didakwa berkhalwat bersama Sharhan di sebuah apartmen beralamat No. 6-9-8, Menara Sri Cengal, Jalan 27/56, Taman Keramat Wangsa, Kuala Lumpur pada pukul 2.55 pagi, 24 Ogos 2013.

Masbelinda didakwa mengikut Seksyen 27(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sharhan dan Umi Masjuri pula didakwa bawah Seksyen 27(a) dan Seksyen 27(b) akta yang sama.

Saturday, November 28, 2015

Remaja perempuan tikam bapa didakwa

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar dihadap ke Mahkamah Majistret di sini semalam kerana mencederakan bapa kan­dungnya pada Ahad lalu.

Tertuduh, Lum Kar Yee, 18, kelihatan keliru ketika pertuduhan dibacakan di dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md. Nor.

Dia didakwa mendatangkan kecederaan dengan menggunakan pisau terhadap bapanya, Lum Su Hai, 45, di sebuah rumah di No. 47, Jalan 10/2B, Taman Desa Bakti, Sentul di sini pada pukul 10.30 pagi 22 November lalu.

Kar Yee dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara, denda, sebat atau dua dari mana-mana seksaan itu jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam bela tertuduh, Farhan Read memaklumkan kepada mahkamah bahawa Kar Yee telah dimaafkan oleh bapanya yang kini semakin stabil daripada kecederaan pada leher akibat kejadian itu.

Selain itu, beliau juga memohon agar anak guam­nya diperintah untuk menjalani pemeriksaan mental kerana tertuduh dikatakan mengalami gangguan jiwa sehingga mencetuskan insiden ter­babit.

Nur’Aminahtul Mardiah membenarkan permohonan tersebut dengan memerintahkan ujian mental dijalankan terhadap tertuduh di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Januari depan.

Beliau turut membenarkan tertuduh dibebaskan selepas laporan perubatan dikeluarkan hospital ter­babit dengan wang jaminan RM2,500 dan seorang penjamin.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang lelaki mengalami kecederaan selepas ditikam dua kali pada leher oleh anak pe­rempuannya dengan menggunakan pisau pemotong sayur ketika sedang memujuk anaknya memutuskan hubungan cinta sejenis.