Translate
Saturday, August 28, 2010
Pemandu mati, sembilan cedera bas rempuh lori
azli.adlan@kosmo.com.my
KAMPAR - Seorang pemandu bas ekspres maut manakala sembilan penumpang cedera termasuk tiga parah apabila bas dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori membawa muatan tayar terbuang di Kilometer 306.5 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 7.50 malam itu, Adnan Abu Hasan, 54, dari Pangsapuri Sri Kepayang, Jalan Ghazali Jawi, Ipoh maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badan selepas bas yang dipandunya merempuh belakang lori tersebut.
Bas tersebut ketika kemalangan membawa 43 penumpang yang diambil di Terminal Bas Medan Gopeng, Ipoh. Semasa kejadian bas itu dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata, tiga penumpang yang cedera parah ialah Nor Ahmad Abdul Rahman, 30-an dari Selayang, Selangor, Norshaidah Musa, 24, dan Nurul Afzah Sallehuddin, 23, dari Kuala Lumpur.
"Nor Ahmad yang patah kaki kiri dihantar ke Hospital Tapah. Nurshaidah dan Nurul Afzah yang masing-masing patah hidung telah dibenarkan keluar dari hospital malam tadi," kata beliau.
Enam penumpang lain yang cedera ringan hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tapah.
Abdul Aziz memberitahu, kemalangan itu menyebabkan bahagian hadapan bas ekspres tersebut remuk teruk.
"Bas terbabit dipercayai gagal dikawal kerana dipandu laju semasa menuruni kawasan berbukit dan ditambah pula keadaan jalan licin ekoran hujan lebat ketika kemalangan," kata beliau.
Pemandu lori yang dilanggar bas itu tidak cedera.
Mayat pemandu bas itu tersepit dan hanya berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat kira-kira sejam selepas kemalangan.
Kebanyakan penumpang yang tidak cedera dibawa keluar melalui pintu kecemasan.
Jenazah Adnan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Gurap, Jalan Kuala Kangsar, Ipoh seleps solat Zuhur semalam.
Wednesday, August 25, 2010
Disuntik cecair misteri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
IPOH - Seorang pelajar tingkatan lima sekolah persendirian Cina di sini bimbang dijangkiti penyakit berbahaya selepas mendakwa telah disuntik dengan cecair misteri oleh seorang penjenayah yang meragutnya dalam kejadian di sebuah jejantas di sini 16 Ogos lalu.
Chea Kiat Heong, 17, mendakwa terkena suntikan tersebut ketika sedang menuruni jejantas tersebut selepas membeli kamus di sebuah pusat beli-belah yang terletak berhadapan sekolahnya pukul 9 malam.
Dia yang masih trauma ketika ditemui di Wad 5A, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini bagaimanapun enggan ditemu bual.
Bapanya, Chea Tsu Tong, 56, mendakwa selepas meragut dompet anaknya, suspek yang dipercayai penagih dadah itu telah menolak anaknya dari belakang sebelum menyuntik lengan kirinya.
"Dia yang panik telah menghubungi saya untuk dibawa ke hospital. Walaupun doktor masih belum mengenal pasti kandungan sebenar cecair tersebut tetapi kami amat bimbang kerana mungkin alat suntikan yang digunakan telah tercemar," katanya kepada pemberita.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan ujian darah terhadap mangsa perlu dilakukan semula tiga bulan lagi untuk memastikan mangsa benar-benar bebas daripada sebarang penyakit berbahaya.
Friday, August 20, 2010
Cipta kemalangan larikan kereta

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
BATU GAJAH - Taktik seorang lelaki yang mencipta kemalangan untuk melarikan kenderaan yang dinaiki mangsanya dapat memperdaya dua wanita dalam kejadian di dua lokasi dalam tempoh enam jam di Ipoh dan Batu Gajah kelmarin.
Kejadian pertama berlaku pukul 4 petang apabila kereta jenis Proton Saga BLM milik seorang juruteknik wanita berusia 51 tahun dilarikan suspek yang menaiki sebuah motosikal yang dicuri di Tapah sehari sebelum itu.
Dalam kejadian itu, suspek berusia lingkungan 30-an tersebut bertindak melanggar belakang kereta mangsa ketika wanita itu berhenti di lampu isyarat berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Lahad, Ipoh.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Supritendan Ibrahim Abu Bakar berkata, wanita tersebut yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian keluar untuk melihat kesan kerosakan.
"Suspek terus meluru masuk ke dalam kereta mangsa lalu memecut menyebabkan mangsa yang memandu bersendirian itu terpinga-pinga. Suspek meninggalkan motosikal curi itu di situ.
"Enam jam selepas itu, dengan menggunakan kereta mangsa pertama dan modus operandi yang sama, suspek telah melarikan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Naza Citra milik seorang wanita berusia 35 tahun di Taman Batu Gajah Perdana di sini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh semalam.
brahim berkata, kejadian kedua tersebut berlaku selepas mangsa mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di situ.Menurut Ibrahim, mangsa mengatakan suspek terus meluru masuk ke dalam kereta sebaik dia turun untuk melihat kesan kemalangan yang dicipta lelaki tersebut.
"Kereta Proton Saga BLM yang ditinggalkan telah dibawa ke IPD Batu Gajah untuk polis menjalankan siasatan dan mencari bukti-bukti," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah , Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, berdasarkan modus operandi, pihaknya percaya suspek merupakan orang yang bertanggungjawab melarikan seorang budak berusia tiga tahun ketika dia mencuri sebuah kereta Perodua MyVi milik ibu mangsa di Taman Sepakat, Menglembu dekat sini pada 4 Ogos lalu.
Kosmo! pada 6 Ogos lalu melaporkan kereta milik Wong Soon Loy, 32, dilarikan penjenayah ketika dia turun untuk membuka pintu pagar rumahnya tanpa mematikan enjin dengan anaknya, Yim Mun Chun, 3, sedang tidur di tempat duduk belakang.
Mun Chun kemudian ditinggalkan di Kampung Muhibbah Ara Payung di sini kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian.