Translate

Friday, August 20, 2010

Cipta kemalangan larikan kereta


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BATU GAJAH - Taktik seorang lelaki yang mencipta kemalangan untuk melarikan kenderaan yang dinaiki mangsanya dapat memperdaya dua wanita dalam kejadian di dua lokasi dalam tempoh enam jam di Ipoh dan Batu Gajah kelmarin.

Kejadian pertama berlaku pukul 4 petang apabila kereta jenis Proton Saga BLM milik seorang juruteknik wanita berusia 51 tahun dilarikan suspek yang menaiki sebuah motosikal yang dicuri di Tapah sehari sebelum itu.

Dalam kejadian itu, suspek berusia lingkungan 30-an tersebut bertindak melanggar belakang kereta mangsa ketika wanita itu berhenti di lampu isyarat berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Lahad, Ipoh.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Supritendan Ibrahim Abu Bakar berkata, wanita tersebut yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian keluar untuk melihat kesan kerosakan.

"Suspek terus meluru masuk ke dalam kereta mangsa lalu memecut menyebabkan mangsa yang memandu bersendirian itu terpinga-pinga. Suspek meninggalkan motosikal curi itu di situ.

"Enam jam selepas itu, dengan menggunakan kereta mangsa pertama dan modus operandi yang sama, suspek telah melarikan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Naza Citra milik seorang wanita berusia 35 tahun di Taman Batu Gajah Perdana di sini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh semalam.

brahim berkata, kejadian kedua tersebut berlaku selepas mangsa mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di situ.

Menurut Ibrahim, mangsa mengatakan suspek terus meluru masuk ke dalam kereta sebaik dia turun untuk melihat kesan kemalangan yang dicipta lelaki tersebut.

"Kereta Proton Saga BLM yang ditinggalkan telah dibawa ke IPD Batu Gajah untuk polis menjalankan siasatan dan mencari bukti-bukti," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah , Asisten Komisioner Najib Mohamad berkata, berdasarkan modus operandi, pihaknya percaya suspek merupakan orang yang bertanggungjawab melarikan seorang budak berusia tiga tahun ketika dia mencuri sebuah kereta Perodua MyVi milik ibu mangsa di Taman Sepakat, Menglembu dekat sini pada 4 Ogos lalu.

Kosmo! pada 6 Ogos lalu melaporkan kereta milik Wong Soon Loy, 32, dilarikan penjenayah ketika dia turun untuk membuka pintu pagar rumahnya tanpa mematikan enjin dengan anaknya, Yim Mun Chun, 3, sedang tidur di tempat duduk belakang.

Mun Chun kemudian ditinggalkan di Kampung Muhibbah Ara Payung di sini kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian.

No comments:

Post a Comment