Translate

Wednesday, December 31, 2008

Pencapaian PMR SMK Seri Putra dipuji

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Walaupun pencapaian keputusan Penilaian Menengah Rendah ( PMR ) Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK )  Seri   Putra , Kepayang di sini agak sederhana tapi sekolah berkenaan tetap mendapat pujian.

Pujian itu diterima Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak atas kejayaan meningkatkan prestasi calon.

Pengarah JPN Perak, Mohd. Radzi Abd. Jabar (gambar) berkata, ini kerana tahap kelulusan calon  PMR   SMK   Seri   Putra  naik sebanyak 19.67 peratus dan ia merupakan peningkatan tertinggi di antara 226 sekolah menengah di seluruh negeri ini.

"Peratusan kelulusan sekolah itu meningkat kepada 51.04 peratus berbanding cuma 31.37 peratus pada tahun lalu. Biarpun sederhana namun kejayaan melakukan lonjakan pencapaian  PMR  tahun ini harus dipuji," katanya pada sidang media pengumuman keputusan  PMR  peringkat Perak di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Radzi berkata, keputusan keseluruhan  PMR  Perak menunjukkan sedikit peningkatan dengan 2,591 calon dari Perak mencatat keputusan gred A dalam semua mata pelajaran.

Mohd. Radzi berkata, ia merupakan peningkatan 1.1 peratus daripada pencapaian tahun lalu dan 6.11 peratus daripada 41,676 calon yang menduduki peperiksaan berkenaan pada tahun ini.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 25,701 calon atau 61.67 peratus daripada keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan  PMR  2008 memperoleh pencapaian minimum D dalam semua mata pelajaran yang diambil.

"Lapan sekolah menengah di negeri ini juga telah mencatat keputusan cemerlang dengan mencapai keputusan kelulusan seratus peratus," ujarnya.

Kelapan-lapan sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (Seratas); Sekolah Menengah Tuanku Abdul Rahman (Star); Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (Semesti).

Tiga lagi sekolah cemerlang ialah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK ) Taman Tasik, Taiping dan  SMK  Agama Sultan Azlan Shah,  Seri  Iskandar.

"Secara keseluruhannya keputusan  PMR  bagi negeri Perak bagi tahun ini mempamerkan prestasi yang memberangsangkan dengan terdapat peningkatan dari segi kualiti terutamanya dalam subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains," kata Mohd. Radzi.

Tiada persembahan pentas dan bunga api

IPOH - Sambutan  Ambang   2009  peringkat  Perak  anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang diadakan hari ini akan berlangsung tanpa persembahan pentas dan pertunjukan bunga api seperti sebelum ini.

Pegawai Perhubungan Awam MBI, Normala Latiff berkata, pihaknya memutuskan untuk mengeluarkan dua acara tersebut saat-saat akhir bagi menghormati kemangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Ja'afar, Sabtu lalu.

"Bagaimanapun sambutan  Ambang   2009  tetap diteruskan di Stadium Indera Mulia di sini bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

"Biar pun tanpa acara hiburan, orang ramai tetap berpeluang untuk mengunjungi pameran jelajah agensi kerajaan dan jualan daripada industri kecil dan sederhana sempena sambutan tersebut," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Normala seterusnya memberitahu, antara agensi kerajaan yang mengambil bahagian ialah Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Beliau berkata, selain itu, orang ramai juga berpeluang membayar kompaun trafik pada kadar diskaun di gerai pameran MBI yang turut disediakan sepanjang program tersebut.

"Saya harap warga bandar raya ini dapat datang beramai-ramai bagimemeriahkan sambutan  ambang   2009  ini," katanya.

Tuesday, December 30, 2008

Muhammad Rivai Tokoh Maal Hijrah

IPOH -  Tokoh  agama tempatan, Muhammad  Rivai  Batubara, 72, dinobatkan sebagai  Tokoh   Maal   Hijrah  1430 peringkat Perak di sini semalam.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa fatwa negeri itu dipilih menerima anugerah berkenaan berdasarkan sumbangan dan dedikasinya pada perkembangan Islam sejak 1973.

"Saya dengan rendah hati bersyukur dengan pengiktirafan ini. Bagi saya, kerja-kerja dakwah yang dilakukan selama ini masih terlalu kecil kerana ia hanya sebahagian daripada tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima anugerah tersebut yang disempurnakan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Muhammad  Rivai  menerima hadiah wang tunai RM13,000, pakej menunaikan umrah, piala dan sijil penghargaan sumbangan Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Agama Islam Perak.

Beliau yang juga Timbalan Rektor di Universiti Islam Sumatera Utara pulang ke Perak pada 1973 dan sejak itu tidak pernah berhenti menabur bakti dalam kerja-kerja dakwah terutama dalam bidang pendidikan.

Bapa kepada lapan cahaya mata itu juga aktif dalam bidang penulisan dan terjemahan dan antara karya-karyanya ialah Gejala Sosial, Pendekatan Islam ke Arah Penyelesaian Menyeluruh dan Kebahagiaan Rohani.

Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin, 68, turut dipilih penerima anugerah khas sempena sambutan tersebut dan menerima hadiah RM5,000.