Translate

Friday, October 2, 2026

Monsun Timur Laut diramal ‘hentam’ Malaysia 2 minggu lagi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Monsun Timur Laut (MTL) yang kebiasaannya bermula akhir Oktober hingga awal November depan berkemungkinan boleh berlaku awal sedikit tahun ini berikutan fenomena Super El Nino.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, fenomena iklim ekstrem itu juga boleh menyebabkan musim tengkujuh kali ini berakhir lebih lewat berbanding lazimnya pada Mac.

“Kalau ikut kajian lepas, MTL biasanya akan tiba lebih awal dan berakhir lebih lambat pada tahun terjadinya El Nino.

“Dijangkakan perkara sama juga terjadi (tahun ini). Kejadian Super El Nino memang akan mempengaruhi MTL,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Fenomena Super El Nino yang dijangka berlaku pada November dan Disember depan dan boleh berlarutan sehingga tahun hadapan dijangka mengubah corak cuaca global ekoran pemanasan suhu permukaan laut di tengah dan timur Lautan Pasifik.

Ujar beliau, begitupun risiko berlaku banjir besar pada musim tengkujuh kali ini lebih rendah ekoran taburan hujan diramal akan berkurangan disebabkan fenomena Super El Nino.

Namun, jelas beliau, faktor banjir musim tengkujuh bukanlah bergantung kepada Ayunan Selatan El Nino semata-mata tetapi turut dipengaruhi luruan monsun, lekukan Borneo dan Ayunan Madden-Julian.

“Situasi sepanjang tempoh MTL nanti akan ditentukan keada­an semasa yang bakal berlaku pada waktu itu yang sukar diramal tepat ketika ini,” katanya.

Katanya, ketibaan MTL boleh dilihat menerusi beberapa indikator seperti perubahan arah ­angin yang bertiup secara berte­rusan dari arah timur laut dengan kelajuan kencang.

“Sepanjang tempoh MTL luruan udara sejuk dari pedalaman Siberia, Rusia juga akan mema­suki perairan Laut China Selatan.

“Ia membawa beberapa episod hujan lebat berterusan terutama di Pantai Timur, Johor Timur, Sabah dan Sarawak. Selain itu, perairan Laut China Selatan akan bergelora dan kemunculan ombak besar dengan lebih kerap serta kenaikan paras laut berikutan tiupan angin kencang,” katanya.

Ujarnya, walaupun risiko banjir besar rendah ekoran taburan hujan rendah semasa fasa MTL di­sebabkan Super El Nino, ia bukanlah berita yang terlalu baik malah sebenarnya perlu dirisaukan.

“Kekurangan taburan hujan itu dibimbangi menjejaskan takungan air di empangan-empangan utama di seluruh negara.

“Hujan berlebihan yang bia­sanya dibawa pada tengkujuh walaupun amat memudaratkan tetapi ia tetap merupakan sumber air penting dalam pengisian empangan kita. Malaysia pernah menghadapi fenomena El Nino yang sangat kuat pada 1983, 1997 dan 2015,” tambahnya.

Murid tahun dua dalam perjalanan ke sekolah maut kemalangan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Perjalanan seorang murid tahun dua ke sekolah berakhir tragedi apabila kanak-kanak perempuan tersebut maut dalam kemalangan di Kilometer 50, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 29, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 6.50 pagi itu mangsa, Putri Jannatul Arisha Abdullah, 8, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd. Zain berkata, sewaktu kejadian, mangsa sedang membonceng motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang neneknya.

“Mereka dalam perjalanan untuk menghantar mangsa (Putri Jannatul Arisha) ke SK Batu 29 dari Kampung Langkap, di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha LC yang dinaiki mereka dikatakan rempuh sebuah kereta Proton Waja sebaik membelok untuk keluar simpang, ” katanya di sini hari ini.

Zahril Asri berkata, kereta Proton Waja yang dipandu seorang lelaki yang dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan itu dikatakan gagal mengelak motosikal dinaiki mangsa dan neneknya.

Beliau berkata, mayat Putri Jannatul Arisha telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu, di sini, untuk tindakan lanjut.

“Nenek mangsa yang cedera parah pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Burung dilindungi bernilai RM709,950 dirampas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara membela unggas diiilindungi tanpa lesen sah, tiga individu termasuk dua wanita diberkas dalam operasi dilaksanakan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga di Kampung Binjai Manis, Manir, di sini, kelmarin.

Operasi selama sejam 20 minit berakhir pukul 5.30 petang itu berjaya merampas lebih 49 ekor burung dilindungi pelbagai jenis dianggarkan bernilai keseluruhan RM709,950.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) itu bertujuan membanteras aktiviti menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa lesen.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Mohd. Khairuddin Jamal berkata, kesemua burung tersebut ditemukan dalam serbuan di dalam enam rumah di perkampungan terbabit.

“Antara hidupan liar yang dirampas ialah 38 ekor burung luris leher, ruak-ruak (sembilan) dan murai batu (dua).

“Selain itu, pelbagai spesies burung dilindungi lain seperti daun besar, punai tanah, kelicap kunyit, merbau kapur, bayan serindit, merbah jambul, bayan puling dan daun sayap biru turut disita,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Khairuddin berkata, serbuan turut berjaya merampas 60 unit sangkar burung.

Beliau berkata, tiga individu berusia 23 hingga 46 tahun yang ditahan telah dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE