Translate

Sunday, March 29, 2026

Duit gadai barang kemas RM214,700 lebur ditipu scammer

KUALA TERENGGANU – Tindakan seorang peniaga sayur menggadai barang kemas untuk meraih keuntungan pelaburan berkali ganda berputih mata apabila kerugian RM214,700 setelah dia terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud. 

Wanita berusia 54 tahun yang berniaga di sebuah pasar di sini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pukul 7.24 malam kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, peniaga wanita itu tertarik dengan skim pelaburan tersebut yang dilihatnya di laman Facebook.

 “Mangsa kemudiannya menekan pautan diberikan sebelum diminta menghubungi seorang wanita yang mengaku kononnya ketua pelaburan skim berkenaan. 

“Dia diyakinkan kononnya skim pelaburan tersebut mampu menawarkan keuntungan RM30,000 dalam tempoh sesingkat tiga jam dengan bermodalkan cuma RM500,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. 

Azli berkata, wanita itu terpengaruh dengan tawaran keuntungan sehingga 6,000 peratus itu mula membuat pelaburan awal RM500. 

Beliau berkata, mangsa semakin gelap mata apabila dimaklumkan sudah mendapat keuntungan selang beberapa jam mengeluarkan modal awal pelaburan berkenaan. 

“Suspek mendakwa kononnya keuntungan itu hanya boleh dikeluarkan sekiranya mangsa membuat pembayaran lagi. 

“Mangsa menuruti arahan suspek menerusi 42 transaksi ke 16 akaun bank berasingan antara Disember tahun lalu hingga 21 Januari lalu,” katanya. 

Azli berkata, begitupun peniaga sayur tersebut tidak menerima keuntungan dijanjikan malah diarah membuat bayaran lain dan suspek kemudian terus gagal dihubungi menyebabkan wanita itu menyedari tertipu. 

“Duit pelaburan keseluruhan RM214,700 merupakan simpanan mangsa dan gadaian barangan kemasnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

JDT selangkah ke pentas final

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BIARPUN berjaya membawa bekalan selesa empat gol, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui aksi dengan Terengganu FC (TFC) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia kelmarin bukanlah sesuatu yang mudah.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, skuad Sang Penyu telah memberi tentangan sengit dengan melancarkan beberapa serangan balas berbahaya.

“Aksi dengan TFC sukar, mereka rajin melakukan tekanan dan melakukan gerakan kemas (ke kubu JDT).

“Serangan balas (TFC) amat berbahaya, tetapi dapat ditangkis barisan pertahanan kami,” katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin.

Dalam aksi tersebut, JDT yang merupakan juara bertahan Piala Malaysia berjaya membenam TFC 4-0 hasil dua jaringan Arif Aiman Hanafi serta masing-masing satu gol disumbang Romel Morales dan Bergson Da Silva.

Begitupun skuad Harimau Selatan terpaksa menunggu sehingga minit ke-79 untuk meledak tiga lagi gol sebagai bekalan selesa dibawa pada separuh akhir kedua di laman sendiri pada 1 Februari depan.

Dalam perkembangan sama, Bidoglio berpuas hati komitmen diberikan anak buahnya yang membawa kepada kejayaan mereka menjinakkan TFC di hadapan penyokong tegar tuan rumah.

Beliau berkata, skuad kendaliannya mempamerkan persembahan membanggakan dengan cuba menguasai bola dalam tempo permainan pantas.

Begitupun Bidoglio mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu selesa dan memandang mudah pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada awal bulan depan.

Nelayan maut, motosikal terbabas langgar penghadang jalan

 KUALA TERENGGANU – Seorang nelayan maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Duyong di sini semalam. 

Dalam kemalangan pada pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Shahrin Mohd., 33, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Mohamad Shahrin dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Duyong Kecil di sini dari pusat bandar raya ini.

 “Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda Beat dinaiki mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas merempuh penghadang jalan.

 “Impak rempuhan menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan,” katanya ketika dihubungidi sini semalam.

 Azli berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.