Translate

Wednesday, August 8, 2012

Zambry bawa anak-anak angkat beli baju raya

 BAIK HATI. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr.  Zambry  Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli membawa 110 anak angkat mereka membeli  pakaian   raya  di sebuah pusat beli-belah di Ipoh baru-baru ini.

Zambry  berkata, kesemua kanak-kanak dan remaja berusia antara 10 hingga 14 tahun itu diambil menyertai Program Anak Angkat Menteri Besar Perak dikendali Yayasan Bina Upaya sejak tiga tahun lalu.

Ujarnya, selain diberi peluang memilih  pakaian  mengikut kehendak sendiri, anak-anak angkatnya turut menerima duit  raya  sebanyak RM150.

"Semoga dengan pembelian baju  raya  ini, mereka sama-sama akan merasai kemeriahan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Monday, August 6, 2012

Budak tujuh tahun jatuh sungai dikhuatiri lemas

IPOH - Seorang kanak-kanak tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas dia terjatuh dari tebing Sungai Perak berhampiran Kampung Dusun Hulu, Parit dekat sini semalam.

Mohd. Azhar Daneil Mohd. Azwar dikatakan terjatuh ketika sedang menuruni tebing sungai berkenaan untuk bermain bersama dua rakan pada pukul 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohd. Fakri Che Sulaiman berkata, murid tahun satu Sekolah Rendah Kebangsaan Layang-Layang Kiri, Parit itu terjerlus ke dalam beting pasir lalu dihanyutkan arus deras.

"Kejadian berlaku begitu pantas hinggakan dua rakan mangsa gagal membantu. Mereka kemudian memberitahu penduduk kampung," katanya.

Tambahnya, seramai 43 anggota dan pegawai dari polis, bomba dan Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia berganding bahu mencari mangsa.

Setakat semalam, mangsa belum ditemui.

Lelaki tersepit akibat kemalangan ditemui rentung

 GOPENG - Seorang lelaki rentung selepas terperangkap di dalam keretanya yang terbakar setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Pusat Transformasi Luar Bandar di sini semalam.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, kereta yang dipandu P. Srinivasan (gambar kecil), 26, dari Taman Timur, Kampar dekat sini terbabas lalu merempuh sebuah lori membawa muatan tilam dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, pemandu lori berkenaan yang dikenali sebagai Mohd. Nordan Enoh, 50, dan kelindannya terselamat.

"Semasa kejadian, kereta dipandu Srinivasan yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari Ipoh terbabas hingga memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori membawa muatan tilam.

"Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar dan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu gagal menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Kong Soon berkata, anggota bomba dan penyelamat berjaya memadamkan kebakaran tersebut pada pukul 3.36 pagi.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kampar dekat sini untuk bedah siasat.