Translate

Friday, October 2, 2009

Harta karun satu penipuan


Oleh NAZATUL SHIMA RAZALI dan MOHD. AZLI ADLAN


IPOH - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan dakwaan penemuan barang kemas yang timbul dari tanah selepas proses zikir khas di Jalan Tapah, Tapah Road, dekat sini sebagai satu penipuan.

Beliau menegaskan, perbuatan tersebut adalah syirik serta mempunyai unsur-unsur ke arah ilmu hitam dan hukumnya jelas haram.

"Perbuatan berzikir yang menetapkan hanya pada tujuh orang serta dilakukan pada masa tertentu juga jelas sudah menunjukkan ke arah unsur ilmu hitam.
"Ditambah pula menggunakan khidmat perantara menjadikan kejadian tersebut syirik," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau mengulas laporan Kosmo! Ahad kelmarin mengenai dakwaan beberapa penduduk kampung terbabit yang kononnya berjaya memiliki harta karun yang dipercayai berusia ratusan tahun yang timbul di atas tanah di belakang rumah mereka.

Harta karun berkenaan yang merupakan koleksi barangan kemas dijumpai setelah timbul dari tanah selepas melalui proses zikir khas yang disarankan seorang lelaki Indonesia pada akhir 2004.

Sementara itu, Penasihat Agama Menteri Besar Perak, Datuk Najmuddin Elias berkata, satu kajian menyeluruh perlu di lakukan pihak berwajib khususnya Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) bagi memastikan perkara tersebut tidak melanggari hukum syariat.

"Saya harap agar masyarakat tidak mudah mempercayai sesuatu perkara sebelum mengetahui kesahihannya. JAIP akan segera siasat dakwaan penemuan harta terbabit," katanya.

Projek RPT untuk pesara tentera dan polis

IPOH - Seramai kira-kira 8,000 pesara polis dan tentera di Perak yang masih belum memiliki rumah sendiri bakal mendapat tapak rumah menerusi projek Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air Perak, Datuk Ramly Zahari berkata, projek itu melibatkan tanah seluas 60 hektar di semua 10 daerah di negeri ini.

"Pada masa kini semua pejabat daerah dan tanah telah serahkan lokasi cadangan masing-masing. Kerajaan negeri juga di peringkat akhir untuk meluluskan tapak kawasan berkenaan dan dijangka selesai dalam tempoh dua bulan," katanya.

Beliau yang dilantik bagi mengetuai jawatankuasa khas bagi projek itu berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Turut hadir Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani dan Panglima Dua Briged, Brigedier Jeneral Datuk Zulkifli Mansor.

Ramly berkata, kebiasaannya sebanyak 8,000 buah rumah dapat dibina di atas tanah seluas 60 hektar itu dan keutamaan akan diberikan kepada bekas polis dan tentera negeri ini yang layak.

Walau bagaimanapun katanya, pesara terlibat perlu membayar sejumlah premium untuk memiliki tanah tersebut tetapi jika kadar itu membebankan golongan berkenaan, kerajaan negeri akan mencari mekanisme terbaik mengatasinya.

Kosmo! 28 Ogos lalu melaporkan kerajaan negeri Perak memberi kelonggaran khas kepada pesara polis dan tentera yang masih belum memiliki rumah sendiri untuk mendapat tapak tanah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, usaha itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menjaga kebajikan dan menghargai jasa bekas anggota pasukan keselamatan yang menetap di negeri ini selepas bersara.

Syawal terus dirai dengan rumah terbuka

RAJA Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa (kanan) bermesra dengan sebahagian waris Syed Hussein Al-Faradz Jamalulullail pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Persatuan Keluarga Jamalullail Perak di pekarangan Masjid At-Taqwa, Kampung Makmor, Sungai Siput, Perak semalam.