Translate

Wednesday, June 26, 2024

Guna wang rasuah untuk berjudi

KUALA TERENGGANU - Dua pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa ditahan reman selama lima hari sehingga Jumaat ini berhubung kes meminta dan menerima rasuah sebagai dorongan membantu melepaskan tiga lelaki yang ditahan kes dadah .

Seorang wanita yang juga isteri salah seorang suspek lelaki berkenaan turut direman empat hari  bagi membantu siasatan kes sama. 

Perintah reman terbabit dibenarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu, Yuhanis Mohd. Roslan semalam. 

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM30,000 daripada seorang lelaki untuk melepaskan tiga rakan lelaki tersebut yang ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Perbuatan itu disyaki dilakukan pada tahun 2021 sewaktu kedua-dua pegawai  kanan agensi penguatkuasaan itu masih bertugas di Terengganu. 

"Siasatan awal mendapati wang itu digunakan salah seorang suspek yang kini sudah berpindah di Kedah bersama isterinya untuk pelaburan judi online," katanya semalam. 

Sumber itu memberitahu, siasatan mendapati pada awalnya, wang rasuah terbabit dimasukkan ke dalam akaun bank pihak ketiga sebelum dipindahkan ke dalam akaun bank isteri suspek. 

Ketiga-tiga suspek ditahan sewaktu memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di sini petang kelmarin.  Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Pengurus syarikat petroleum rugi RM3.9 juta tertipu pelaburan Crypto

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terperdaya dengan sindiket skim pelaburan Crypto, seorang pengurus sebuah syarikat petroleum di Dungun kerugian RM3.9 juta.

Mangsa berusia 53 tahun yang menyertai pelaburan tersebut pada Mac lalu tersebut menyedari tertipu apabila gagal mengeluarkan modalnya pada Isnin lalu sebelum membuat laporan polis semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, pada mulanya lelaki tersebut menyertai kumpulan WhatsApp pelaburan setelah melihat iklan pelaburan menggunakan kecerdasan buatan (AI) di laman Facebook pada Disember tahun lalu.

“Pengadu mula membuka akaun pelaburan apabila diperkenalkan dengan pelaburan Crypto oleh kumpulan WhatsApp tersebut pada 16 Mac lalu.

“Dia mula melabur AS$1,500 (RM7,072) sebelum menambah lagi AS$200,000 (RM942,995),” katanya di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, percubaan mangsa untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan sebanyak AS$300,000 (RM1.41 juta) telah disekat dengan alasan perlu membuat pembayaran tambahan AS$200,000 (RM942,995) terlebih dahulu.

Jelas beliau, sindiket itu mendakwa ia disebabkan kononnya akaun pelaburan mangsa telah dikategorikan sebagai pengguna VIP Gangsa.

.“Mangsa juga ditakutkan kononnya akan didenda AS$500,000 (RM2.36 juta) sekiranya menarik diri daripada pelaburan itu.

“Dia juga ditawarkan kononnya akan memperolehi lebih keuntungan sekiranya membuat penambahan dana,” katanya.

Mohd. Khairi berkata, mangsa yang terperdaya terus membuat pindahan wang sebanyak RM942,995 ke akaun bank yang diberikan.

Begitupun beliau berkata, mangsa sekali lagi gagal untuk mengeluarkan modal pelaburan sebanyak AS$1 juta pada 17 Jun lalu dengan alasan kononnya akaun mangsa dalam siasatan penggubahan wang haram oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

“Sebaliknya mangsa diminta membayar pula ASD542,000.00 (RM1.17 juta) sebelum hari ini (semalam) untuk mengelakkan wang pelaburannya dibekukan.

“Kali ini dia benar-benar sedar telah menjadi mangsa scammer (penipuan) dan membuat laporan polis,” katanya.

Mohd. Khairi berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, June 25, 2024

Wanita 51 tahun rugi RM148,200 jadi mangsa ‘love scam’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Gara-gara terperdaya dengan cinta maya seorang lelaki mendakwa diri sebagai juruterbang, seorang wanita berusia 51 tahun kerugian RM148,200 pada semalam.

Mangsa mendakwa menyerahkan wang simpanannya kononnya bayaran duti import dan kos penghantaran ‘hadiah’ yang dihantar lelaki tersebut pada 14 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, pada mulanya, mangsa telah menerima mesej daripada seorang suspek menerusi laman Facebook pada awal bulan lalu.

Beliau berkata, mangsa dan suspek yang menggunakan gambar profil seorang juruterbang itu kemudiannya berkenalan sebelum saling berhubung menerusi aplikasi WhatsApp.

“Suspek kemudiannya telah menawarkan bungkusan hadiah kononnya mengandungi beg tangan, jam tangan, kasut dan duit bernilai AS$10,000 (RM47,127) sebagai tanda persahabatan.

“Begitupun tidak lama kemudian, mangsa telah dihubungi seorang individu mendakwa ejen penghantaran yang menyatakan kononnya bungkusan terbabit bermasalah,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, ejen tersebut didakwa telah meminta mangsa membayar duti import dan kos penghantaran bungkusan terbabit.

Tambah beliau, wanita berkenaan juga telah ditakutkan kononnya akan diambil tindakan perundangan atas pelbagai kesalahan jenayah sekiranya gagal membuat pembayaran berkenaan.

“Oleh kerana terlalu takut, mangsa telah membuat pembayaran keseluruhan berjumlah RM148,200 kepada suspek menerusi 23 transaksi di akaun-akaun bank berasingan antara 14 Jun hingga semalam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pemandu lori maut, kereta dirempuh Proton Persona hilang kawalan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang pemandu lori maut selepas kereta Proton Wira dinaiki dirempuh sebuah Proton Persona yang dipercayai hilang kawalan di Jalan Kuala Terengganu – Kampung Raja berhampiran Kampung Merang, di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 8.20 pagi itu, mangsa, Mohd. Shaifizi Fazli Rameli, 35, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian dada.

Penumpang kereta Proton Persona yang merupakan seorang suri rumah berusia 32 tahun pula cedera ringan pada bahagian dahi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Zain berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Shaifizi Fazli dikatakan dalam perjalanan ke Hospital Besut dari rumahnya di Kampung Padang Kemunting, Kuala Nerus.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Proton Wira dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba dirempuh sebuah kereta Proton Persona dinaiki pasangan suami isteri dan bayi lelaki berusia setahun.

“Kereta Proton Persona yang dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh Proton Wira berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, mayat Mohd. Shaifizi Fazli telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu, di sini untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, penumpang wanita yang cedera ringan juga menerima rawatan di unit kecemasan hospital sama, manakala suami dan bayi lelaki mereka terselamat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Belia asnaf terima latihan TVET minyak, gas percuma

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Maidam (YPM) melatih 27 belia asnaf untuk memperolehi sijil asas sektor minyak dan gas.

Pengurus Besar Instep, Azhar Ahmad berkata, program Latihan Teknikal Zakat Wakalah selama empat bulan tersebut yang berakhir baru-baru ini dibiayai sepenuhnya oleh Dana As-Syakirin.

“Dana tersebut merupakan sebahagian wang zakat kakitangan Petronas yang diagihkan menerusi inisiatif zakat wakalah.

“Ia digunakan untuk melatih golongan asnaf berkelayakan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasiona (TVET),” katanya pada majlis tamat latihan program Latihan Teknikal Zakat Wakalah berkenaan di Instep, Batu Rakit di sini hari ini.

Azhar berkata, program Latihan Teknikal Zakat Wakalah berkenaan bertujuan untuk meningkat taraf hidup belia asnaf terbabit dengan membuka ruang untuk  mereka menceburi sektor minyak dan gas.

Tambah beliau, sepanjang tempoh empat bulan terbabit, pelatih berkenaan didedahkan dengan kemahiran asas elektrikal dan mekanikal.

“Mereka juga dibekalkan dengan program-program pensijilan tambahan seperti Ujian Tanpa Musnah (NDT), Keselamatan Bekerja di Tempat Terkurung (AESP), Latihan Keselamatan dan Kesihatan (OGSP) dan Induksi Asas Keselamatan Luar Pesisir dan Latihan Kecemasan (BOSIET).

“Kesemua sijil tersebut merupakan prasyarat bagi bekerja di dalam industri minyak dan gas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ambil rasuah suspek kes dadah, guna untuk judi online

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua pegawai kanan sebuah agensi penguatkuasaan ditahan reman selama lima hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah sebagai dorongan membantu melepaskan tiga lelaki berkaitan kes dadah pada tiga tahun lalu.

Seorang wanita yang juga isteri salah seorang suspek lelaki berkenaan turut direman empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes sama.

Perintah reman terbabit dibenarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu, Yuhanis Mohd. Roslan hari ini.

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM30,000 daripada seorang lelaki.

Beliau berkata, pemberian rasuah berkenaan dipercayai sebagai dorongan untuk melepaskan tiga rakan lelaki tersebut yang ketika itu sedang ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Perbuatan itu disyaki dilakukan pada tahun 2021 sewaktu kedua-dua pegawai kanan agensi penguatkuasaan itu masih bertugas di Terengganu.

“Siasatan awal mendapati wang rasuah terbabit telah digunakan salah seorang suspek yang kini sudah berpindah di Kedah bersama isterinya untuk melakukan pelaburan penjudian dalam talian,” katanya di sini semalam.

Sumber itu memberitahu, siasatan awal mendapati pada awalnya, wang rasuah terbabit dimasukkan ke dalam akaun bank pihak ketiga sebelum dipindahkan ke dalam akaun bank isteri salah seorang suspek.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek telah ditahan sewaktu memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di sini antara pukul 2 petang hingga 5.30 petang semalam. – KOSMO! ONLINE

Dua beradik jual air ketum diberkas polis

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua nelayan yang juga adik-beradik diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti menjual air ketum di Kampung Batu Enam, Chendering di sini hari ini.

Dalam serbuan pada pukul 1 tengah hari itu berjaya merampas 98 peket plastik mengandungi cecair berwarna hijau disyaki air ketum.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu serbuan, kedua-dua lelaki berusia 26 dan 44 tahun berada di ruang tamu sebuah rumah.

“Pemeriksaan kemudiannya menemui 98 peket plastik air ketum berkenaan dan sebuah tong berwarna oren di dalam sebuah stor rumah terbabit.

“Siasatan awal mendapati setiap peket plastik air ketum tersebut dijual pada harga RM15,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, air ketum terbabit dipercayai dijual kedua-dua suspek untuk pasaran sekitar mukim Chendering.

Tambah beliau, ujian urin mendapat suspek berusia 44 tahun positif dadah jenis methamphetamin manakala adik lelakinya pula negatif.

“Kes disiasat mengikut Sek. 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pemuda maut ditimpa pokok sagu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang pemuda maut akibat dihempap sebatang pokok sagu yang ditebangnya sendiri di Kampung Kolam, Mengabang Telipot di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.50 tengah hari itu, mangsa, Mohamad Muaqil Mohamad Sabri, 26, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat ditimpa pokok berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sebelum kejadian, Mohamad Muaqil sedang menebang pokok sagu terbabit untuk dijadikan makanan kambing peliharaan keluarganya.

“Tidak lama kemudian, mangsa ditemui bapa dan seorang adik lelakinya dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat ditimpa pokok sagu berkenaan.

“Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebelum disahkan meninggal dunia oleg pegawai perubatan bertugas,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, mayat Mohamad Muaqil telah dihantar ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, tiada unsur jenayah ditemui dan kematian pemuda itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – KOSMO! ONLINE

Wednesday, June 19, 2024

Dua bersaudara maut, Volkswagen rempuh pokok

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang lelaki bersama cucu saudara lelakinya maut selepas kereta Volkswagen dinaiki mereka merempuh sebatang pokok di Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Kampung Mengabang Panjang di sini awal pagi ini.

Dalam kemalangan pada pukul 2.20 pagi itu, kedua-dua mangsa iaitu Samsul Bahri Awang Noh, 50, dan Nik Muhammad Syahidan Rosli, 20, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Jerteh, Besut dari Batu Rakit di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Volkswagen dinaiki mereka dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebatang pokok terletak di bahu jalan.

“Impak rempuhan itu menyebabkan kereta mangsa kemudiannya melanggar sebuah besi enjin air yang berada di bahu jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, impak perlanggaran tersebut, besi enjin air berkenaan kemudiannya melantun mengenai but hadapan sebuah kereta Proton Iriz milik seorang penduduk tempatan yang diletakkan di dalam garaj rumahnya.

Tambah beliau, ia menyebabkan but hadapan kereta Proton Iriz berkenaan mengalami kerosakan.

“Mayat dua mangsa (Samsul Bahri dan Nik Muhammad Syahidan) telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tonjol sisi ‘seksi’ sains dan teknologi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMEROSOTAN minat generasi muda terhadap mata pelajaran berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sejak akhir-akhir ini perlu diberi perhatian.

Kebimbangan itu berasaskan bilangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil subjek Sains Tulen dan Matematik Tambahan yang dilihat sudah berkurangan sehingga 15.2 peratus.

Segelintir sekolah berasrama penuh (SBP) kini terpaksa melonggarkan dasar pengambilan Sains Tulen sepenuhnya agar tidak kehilangan pelajar berpotensi yang sanggup berpindah ke sekolah harian ekoran hilang kecenderungan terhadap STEM.

Senario itu sekiranya dibiarkan boleh merencatkan potensi Malaysia untuk menjadi negara peneraju berteknologi tinggi.

Perkembangan tersebut turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau baru-baru ini menggesa semua pihak memainkan peranan membantu kerajaan menarik semula minat generasi muda terhadap STEM.

Mengulas lanjut, pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Afiq Durrani Mohd. Fahmi mengakui penurunan minat generasi muda terhadap mata pelajaran STEM mula memberi impak terhadap kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Katanya, beberapa fakulti berteraskan STEM termasuk sains maritim di IPT seluruh negara mula mengalami kesukaran untuk memperoleh pelajar baru berkualiti.

“Isu kemasukan pelajar di fakulti-fakulti berkaitan STEM ini sedikit sebanyak memberi impak kepada IPT tempatan.

“Antara kesan langsung yang ketara ialah menjejaskan kerja-kerja penyelidikan yang merupakan antara elemen penting pengajian di IPT,” katanya.

Jelasnya, senario itu dalam jangka panjang dikhuatiri akan memberi kesan negatif terhadap penyediaan modal insan dan kepakaran bukan sahaja terhadap bidang sains, perubatan dan kejuruteraan, malah kelestarian alam.

Beliau percaya antara faktor utama penurunan minat genarasi muda terhadap STEM ialah persepsi mata pelajaran tersebut sukar dikuasai.

“Segelintir pula enggan melanjutkan pelajaran dalam bidang berkaitan STEM ekoran kebimbangan tentang peluang kerja yang terhad.

“Stigma itu tidak benar, kita tidak boleh melihat peluang kerjaya STEM dalam sudut yang sempit,” katanya.

Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC), Dr. Wan Mohd. Rauhan Wan Hussin pula berkata, langkah perlu diambil untuk menarik minat masyarakat terhadap sains dan teknologi pada usia kecil lagi.

Jelasnya, pemegang taruh terutama pendidik perlu menonjolkan topik-topik ‘seksi’ atau menarik dalam sains dan teknologi bagi menarik perhatian masyarakat khususnya kanak-kanak dan remaja.

“Beri penerangan tentang STEM secara mudah dan kreatif untuk menarik seperti topik penerokaan benua Artik dan Antartika.

“Dekati masyarakat dan tonjolkan sains dan matematik ini sebenarnya amat dekat dan rele­van dalam kehidupan,” katanya.

Mata pelajaran STEM perlu digambarkan tidak berpaksi semata-mata kepada penyelidikan berjam-jam di makmal dan penyelesaian kiraan dan huraian teori berjela-jela tetapi ia adalah asas kepada kehidupan. -KOSMO! ONLINE

Sultan Terengganu solat sunat Aidiladha bersama 1,500 jemaah

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama 2,500 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang di sini hari ini.

Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Solat sunat Aidiladha tersebut diimamkan Timbalan Mufti Negeri, Prof. Madya Dr. Syed Hadzrullathfi Syed  Omar yang kemudiannya menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk Aidiladha Kemuncak Kejayaan Pengorbanan Hamba.

Sebaik selesai menunaikan solat sunat Aidiladha, Sultan Mizan berkenan meluangkan masa hampir 39 minit bersalaman dengan jemaah masjid.

Baginda kemudiannya berangkat menziarahi Makam Diraja yang terletak bersebelahan Masjid Al-Muktafi Billah Shah. – KOSMO! ONLINE

Friday, June 14, 2024

Tauke kedai emas rugi, pekerja songlap RM700,000

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pengusaha kedai emas di Terengganu mendakwa mengalami kerugian RM700,000 angkara perbuatan pecah amanah seorang pekerjanya empat bulan lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, wanita berusia 37 tahun itu mendakwa suspek dipercayai mengambil tempahan emas dan membeli barangan kemas tanpa merekodkan transaksi di dalam buku daftar kedai.

“Selain itu, suspek juga didakwa merekodkan berat logam emas tidak sama dengan bekalan sebenar yang diperoleh menyebabkan pengadu menanggung kerugian besar.

“Perbuatan itu terbongkar apabila salah seorang pelanggannya mengadu tidak menerima barangan kemas yang ditempah daripada suspek,” katanya hari ini.

Mohd. Khairi memberitahu, pengusaha kedai emas itu yang curiga dengan aduan tersebut segera membuat semakan pada pukul 10 pagi, 2 Februari lalu.

Jelas beliau, pengadu mendakwa semakan kemudian menemukan bukti-bukti yang diyakini boleh mengaitkan suspek dalam perbuatan pecah amanah tersebut.

Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu masih mengumpul bukti-bukti untuk melengkapkan kertas siasatan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE

Suri rumah rugi RM125,000 tertipu skim emas online

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah mendakwa kerugian lebih RM125,000 ekoran menjadi mangsa penipuan skim pelaburan emas yang disertai hampir tiga tahun lalu.

Mangsa berusia 30 tahun mendakwa rasa tertipu apabila hanya menerima RM2,500 bayaran balik pelaburan dilakukannya sebelum membuat laporan polis baru-baru ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, mangsa mendakwa telah diperkenalkan dengan skim pelaburan ditawarkan sebuah syarikat emas secara dalam talian yang berpengkalan dari Kelantan daripada kakak iparnya pada pukul 6 petang, 10 Ogos 2021.

“Mangsa dikatakan tertarik dengan pakej emas murah tersebut dengan bersetuju menjadi ejen kakak iparnya.

“Begitupun sejak bulan September 2023, mangsa mendakwa tidak lagi menerima bayaran komisyen malah dia dan pelanggannya juga tidak menerima emas dijanjikan seperti biasa,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, suri rumah terseut mendakwa telah bersemuka dengan pengasas syarikat emas terbabit sebelum dijanjikan baharan balik modal jual emas berjumlah keseluruhan, RM127,991 yang telah dibuatnya.

Beliau berkata, berdasarkan perjanjian bertulis berkenaan, pengasas syarikat emas itu berjanji membuat pembayaran terbabit secara ansuran.

“Bagaimanapun bayaran dibuat sehingga Disember 2023 dan berjumlah hanya RM2,500.

“Ia membuat mangsa rasa tertipu sedangkan dia terus menerima tekanan daripada ejen di bawahnya serta pelanggan-pelanggan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Guna tong plastik isi diesel sebelum 12 tengah malam

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi pada saat-saat akhir menjelang penyelarasan subsidi bahan api itu pada pukul 12 tengah malam tadi berjaya dipatahkan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Paka kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 9.40 malam tersebut, seorang ahli sindiket tersebut ditahan ketika mengisi minyak diesel bersubsidi pada tong plastik terhadap pada sebuah lori di sebuah stesen minyak di mukim tersebut.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, pemeriksaan menemui tujuh tong plastik berisi minyak diesel bersubsidi dianggarkan sebanyak 140 liter.

“Serbuan turut merampas empat unit pam air, lori dan beberapa dokumen berkaitan. Pemandu lori berusia 40-an yang disyaki anggota sindiket berkenaan juga diberkas.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM98,371,” katanya di sini hari ini.

Saharuddin berkata, siasatan awal percaya suspek sering membeli minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Paka dan Kerteh, Kemaman.

Jelas beliau, modus operandi suspek iala mengisi minyak diesel bersubsidi itu di dalam tong-tong plastik berkapasiti 25 liter setiap satu.

“Setakat ini, kita percaya minyak diesel bersubsidi yang diseleweng itu digunakan untuk pengoperasian jentera berat bagi kerja-kerja mengorek pasir,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Sewa Pasar Payang RM110 jadi RM400, peniaga terkejut

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai lebih 400 peniaga Pasar Besar Kedai Payang yang bakal berpindah ke kompleks baharu pada awal bulan depan dikejutkan dengan kenaikan kadar sewa baharu hampir 400 peratus. 

Mereka yang terdiri peniaga kedai emas, barangan dapur, cenderamata dan pakaian mendakwa ia bertentangan dengan janji Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada 28 Mei lalu yang mengumumkan kenaikan maksimum bakal dikenakan cuma RM50.

Salah seorang peniaga terlibat, Saripah Ahmad, 41, yang berniaga barangan dapur mendakwa kadar sewa sebelum ini cuma…

Acah samseng tunjuk pistol buat pusingan U

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Penduduk bandar raya ini dikejutkan penularan klip video seorang individu memandu kereta sambil memegang objek menyerupai pistol di lokasi dipercayai Jalan Sultan Mahmud berhampiran Batu Burok di sini hari ini.

Berdasarkan video berdurasi 37 saat itu, kereta tanpa nombor pendaftaran berwarna putih tersebut dilihat tiba-tiba meredah pembahagi jalan untuk memasuki laluan bertentangan.

Pemandu kereta tersebut juga dilihat mengacukan pistol ke arah kenderaan-kenderaan lain agar diberi laluan untuk membelok ke pembahagian jalan itu bagi memasuki laluan bertentangan dipercayai berhampiran sebuah stesen minyak di Batu Burok.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada pukul 4 petang.

Penyebaran video tersebut telah menimbulkan banyak spekulasi kononnya pemandu kenderaan tersebut terlibat dalam kes penculikan pelajar sebuah sekolah di bandar raya ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor yang dihubungu mengesahkan menerima dua laporan berhubung kes tersebut.

Beliau berkata, setakat ini, siasatan lanjut sedang dilakukan dan motif kejadian masih belum diketahui.

“Begitupun saya menafikan ia berkaitan dengan kes penculikan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Friday, June 7, 2024

Tiga guru kena tipu setiap hari

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Guru merupakan antara golongan yang kerap menjadi mangsa sindiket scammer (penipuan) di negara ini dengan purata tiga orang terperdaya setiap hari.

 Timbalan Pengarah (Pe­rancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Ke­selamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Kumaran Karuppannan berkata, berdasarkan statistik antara tahun 2021 hingga April lalu, seramai 3,132 guru menjadi mangsa sindiket penipuan. 

Katanya, kerugian keseluruhan yang dialami warga pendidik akibat sindiket peni­puan ber­kenaan sepanjang tempoh dua tahun empat bulan tersebut dianggarkan lebih RM30 juta.

 “Secara perinciannya, paling…

Thursday, June 6, 2024

Pengasas pasar raya Sabasun meninggal dunia

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pengasas pasar raya Sabasun Hyperruncit Sdn. Bhd., Che Salmi Che Ibrahim, 56, meninggal dunia akibat kanser hari ini.

Allahyarham yang juga pengarah urusan pasar raya Bumiputera terkenal di Terengganu itu menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan di Hospital KPJ Ampang Puteri, Selangor pada pukul 4.45 pagi.

Pengurus Perhubungan Korporat Sabasun, Wan Zulaidi Wan Abdul Fatah berkata, Che Salmi dikesan menghidap kanser pada kira-kira tiga bulan lalu.

“Doktor masih belum mengenalpasti jenis kanser dihadapi Allahyarham (Che Salmi) dan masih dalam kajian.

“Jenazah Allahyarham akan dibawa untuk disolatkan di Masjid Khalifah Taman Jaya di sini selepas solat Asar hari ini,” katanya di sini hari ini.

Wan Zulaidi berkata, jenazah Che Salmi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kecil di sini.

Allahyarham Che Salmi menubuhkan pasar raya Sabasun pada 1995 di Bukit Kecil sebelum berkembang kepada enam cawangan termasuk di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Sabasun dikenali sebagai pasar raya pendukung pembebasan Palestin dengan memboikot secara terangan produk-produk berkaitan Israel sejak awal penubuhannya lagi.

Pasar raya yang mengutamakan produk industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan itu mampu menjana pendapatan RM3 juta sebulan dan menggaji 450 pekerja semuanya dalam kalangan rakyat tempatan. – KOSMO! ONLINE

Tapak projek pembinaan lokasi popular sorok diesel subsidi

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 4,000 liter minyak diesel disyaki bersubsidi yang disorokkan di sebuah tapak projek pembinaan di Kampung Langkap di sini semalam. 
Serbuan pada pukul 11 pagi itu berjaya menyita bekalan minyak diesel berkenaan uang dianggarkan bernilai RM12,000. 
Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, pemeriksaan mendapati minyak diesel disyaki bersubsidi itu disimpan di dalam sebuah tangki di kawasan tapak projek pembinaan berkenaan.
 “Syarikat pembinaan terlibat gagal mengemukakan permit kebenaran menyimpan minyak diesel daripada Pegawai Bekalan.
 “Risikan selama dua minggu sebelum itu percaya minyak diesel terbabit mahu dipakai untuk kegunaan jentera berat,” katanya di sini hari ini. 
 Saharuddin berkata, kes penyelewengan minyak diesel bersubsidi berkenaan akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. 
 Jelas beliau, hukuman denda antara RM1 juta hingga RM3 juta atau penjara maksimum tiga tahun boleh dikenakan sekiranya sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, June 4, 2024

Badai Sumatera punca ribut, angin kencang di Lembah Klang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kejadian ribut petir dan angin kencang yang kerap terjadi di Pantai Barat terutama Lembah Klang pada masa ini turut dipengaruhi oleh fenomena Badai Sumatera yang dibawa dari kepulauan negara jiran terbabit. 

Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, Balai Suma­tera merupakan garisan ribut dari Sumatera, Indonesia yang merentasi Semenanjung Malaysia menerusi Selat Melaka.

 “Fenomena itu menyebabkan kawasan tengah hingga selatan Semenanjung Malaysia mencerap lebih banyak titisan air membawa…

Monday, June 3, 2024

Pesta Aloha: Resort diberi tempoh sehingga Rabu bayar kompaun

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pengusaha Summer Bay Resort yang menganjurkan Pesta Aloha di Pulau Lang Tengah, Setiu pada Isnin lalu diberi tempoh sebelum Rabu ini untuk melunaskan kompaun RM25,000 dikenakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif memberitahu, notis kompaun bagi kesalahan mengikut Subseksyen 16(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Terengganu 2002 tersebut telah dikeluarkan sejurus berakhirnya mesyuarat bersama kerajaan negeri berhubung isu tersebut pada Khamis lalu.

“Setakat ini, MBKT masih belum menerima bayaran kompaun terbabit daripada pengurusan resort berkenaan.

“Mungkin sebab semalam dan kelmarin (Jumaat dan Sabtu) hujung minggu (pejabat MBKT tutup). Mereka diberi masa sehingga 29 Mei (Rabu) ini untuk melunaskannya,” katanya di sini hari ini.

Kosmo! kelmarin melaporkan pemilik Summer Bay Resort dikompaun maksimum RM25,000 oleh kerajaan negeri Terengganu kerana menganjurkan Pesta Aloha yang mencetuskan kontroversi.

Siasatan mendapati penganjuran parti pantai itu tidak memiliki permit dan melanggar Subseksyen Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Terengganu 2002.

Terdahulu klip video memaparkan Pesta Aloha yang dianjurkan di Pulau Lang Tengah tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen berikutan pemakaian sebahagian peserta yang mencolok mata.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Sumer Bay Resort, Datuk Chong Fah Ming memberi jaminan kompaun terbabit akan dibayar pihaknya sebelum Rabu ini. – KOSMO! ONLINE

Seludup komponen, pasang sebelum jual kenderaan mikromobiliti

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tindakan dua pengusaha kedai permainan dan rekreasi di bandar raya ini dan Kuala Nerus menjual kenderaan mikromobiliti disyaki seludup membawa padah apabila premis mereka diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Khamis lalu.

Pengarah Kastam Terengganu, Mohd. Nadzri Ariffin berkata, dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu pihaknya merampas 147 buah kenderaan mikromobiliti pelbagai jenis bernilai RM708,082 termasuk cukai.

“Dalam serbuan pertama, kita menyita sebanyak 130 buah kenderaan mikromobiliti, manakala 17 unit pula dirampas di premis kedua.

“Kenderaan berupa moped bike, basikal kuasa elektrik dan peralatan mobiliti persendirian (PMD) berkuasa elektrik itu disyaki dibawa masuk menggunakan dokumen import palsu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JDKM Terengganu di sini hari ini.

Mohd. Nadzri berkata, kenderaan mikromobiliti itu dikategorikan sebagai barang larangan import di bawah Item No. 7, Bahagian II, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kenderaan itu dipasarkan sindiket yang berpengkalan di Pantai Barat.

“Sindiket itu melakukan pengikraran palsu sewaktu membawa masuk kenderaan mikromobiliti dengan cara komponen tercerai dari luar negara,” katanya.

Komponen itu akan dipasang dalam gudang sebelum dipasarkan ke kedai-kedai permainan dan rekreasi seluruh negara.

Dua pengusaha kedai permainan dan rekreasi berusia 37 dan 39 tahun ditahan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

464 calon SPM Terengganu peroleh semua A

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 464 calon di Terengganu memperolehi semua A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Jelani Sulong berkata, ia peningkatan 0.76 peratus berbanding 333 calon pada tahun lalu.

“Seramai lapan orang atau 0.05 peratus daripada 16,382 calon yang menduduki peperiksaan SPM di Terengganu pada tahun ini memperolehi semua A+.

“Ia peningkatan 0.01 peratus enam calon memperolehi semua A+ pada tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Jabatan Pendidikan Terengganu di sini hari ini.

Jelani berkata, Terengganu juga mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) Terengganu 4.41, lebih baik berbanding 4.59 pada tahun lalu.

Tambah beliau, sebagai perbandingan, Gred Purata Kebangsaan pada tahun ini ialah 4.60.

“Empat sekolah memperolehi kelulusan dalam semua mata pelajaran iaitu Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kemaman, SM Sains Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikg Abdul Malek dan SM Imtiaz YT Kuala Berang.

“Gred Purata Sekolah terbaik pula ialah SM Imtiaz YT Kemaman iaitu 1.32,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pasangan kekasih buang bayi di kedai ayam tukar pengakuan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Sepasang kekasih yang sebelum ini mengaku bersalah mengabaikan bayi lelaki mereka berusia tujuh hari dengan membuangnya di sebuah kedai menjual ayam pada 18 Mei lalu mengubah pengakuan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kedua-dua tertuduh iaitu Nur Aisyah Azila Zairul Akmal, 21, yang masih berpantang dan kekasihnya, Muhammad Alhafiz Mukminin Mohd. Noor, 24, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mereka sebelum ini membuat pengakuan bersalah sewaktu sebutan pertama kes tersebut pada Khamis minggu lalu dengan hukuman sepatutnya dijatuhkan semalam.

Berdasarkan pertuduhan, Nur Aisyah Azila dan Muhammad Alhafiz Mukminin sebagai individu yang mempunyai penjagaan ke atas bayi berusia tujuh hari tersebut didapati telah mengabaikan mangsa sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dituduh dilakukan kedua-kedua tertuduh di sebuah kedai menjual ayam segar di Jabur Kubur, Jalan Air Putih berhampiran Chukai di sini antara pukul 7 pagi hingga 7.15 pagi pada 18 Mei lalu.

Kedua-dua tertuduh juga telah dibebaskan dengan wang jaminan RM2,000 dan seorang penjamin pada 23 Mei lalu .

Hakim Wan Suhaila kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 31 Julai depan.

Kosmo! Ahad 19 Mei lalu melaporkan seorang bayi lelaki seberat kira-kira tiga kilogram ditemui dalam keadaan kesejukan dibuang di atas lantai sebuah kedai menjual ayam pada pukul 7.30 pagi. – KOSMO! ONLINE

Bayi 20 bulan maut dilanggar trak pikap bapa depan rumah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang bayi lelaki berusia 20 bulan maut akibat dilanggar bapanya secara tidak sengaja sewaktu mahu mengalihkan kenderaan pacuan empat roda di hadapan rumah mereka di Kampung Wakaf Kubor, Kampung Raja, Besut hari ini.

Kejadian tersebut berlalu pada pukul 9.30 pagi sebelum bayi tersebut disahkan meninggal dunia sejam kemudian ketika sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Sri Medang, Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohammad berkata, sebelum kejadian, bapa mangsa dikatakan mencuci kenderaannya di hadapan rumah.

“Sewaktu itu, anak lelaki itu iaitu mangsa dikatakan sedang bermain telefon bimbit di tangga rumah mereka.

“Selesai mencuci, dia menghidupkan enjin mahu mengalihkan kenderaan tanpa menyedarinya anaknya telah turun menuju ke arahnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, berlaku perlanggaran dan bapa mangsa yang menyedarinya telah bergegas membawa bayi tersebut ke Klinik Kesihatan Sri Medang untuk menerima rawatan.

Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan itu pada pukul 10.30 pagi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya menasihatkan individu yang mempunyai anak kecil agar lebih peka dan berhati-hati kerana risiko kemalangan seperti ini kerap berlaku di kawasan rumah sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Beli diesel subsidi di stesen minyak, jual di pasaran gelap


Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus agresif melumpuhkan sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Terengganu dengan melalukan dua serbuan melibatkan rampasan keseluruhan RM116,800 di daerah ini dan Dungun pada kelmarin.

Serbuan di sebuah stesen minyak di Kerteh di sini dan sebuah tapak projek pembinaan di Bukit Besi, Dungun berkenaan berjaya menyita 13,270 liter minyak diesel disyaki bersubsidi.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, dua serbuan tersebut turut berjaya menahan empat lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 70 tahun disyaki anggota sindiket terbabit bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati anggota sindiket terbabit akan membeli minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak di sekitar daerah ini dan Dungun menggunakan lori yang telah diubahsuai.

“Minyak diesel bersubsidi tersebut kemudiannya akan dijual di pasaran gelap untuk kegunaan industri di kawasan perindustri berdekatan,” katanya di sini hari ini.

Saharuddin berkata, serbuan pertama di sebuah stesen minyak di Kerteh di sini pada pukul 12 tengah hari, Selasa lalu menjumpai sebuah lori diubahsuai yang mengandungi 270 liter minyak diesel disyaki bersubsidi.

Beliau berkata, serbuan kedua di sebuah tapak projek pembinaan di Bukit Besi, Dungun pada pukul 4 petang, hari sama pula berjaya menjumpai tangki skid mengandungi 13,000 liter minyak diesel disyaki bersubsidi.

“Kedua-dua kes itu sedang disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – KOSMO! ONLINE