Translate

Thursday, May 2, 2024

Bantah Akta Laut Wilayah 2012 di Parlimen bukan DUN

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kesemua lapan Ahli Parlimen Terengganu dari Pas sepatutnya memainkan peranan menyuarakan bantahan mereka di Dewan Rakyat sekiranya tidak berpuas hati dengan Akta Laut Wilayah 2012.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, tindakan itu jauh lebih efektif berbanding usul menolak akta terbabit di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang langsung tidak memberi makna.

“Ahli Parlimen dari Terengganu ada lapan orang dan semuanya daripada Pas. Mereka patut cabar Akta Laut Wilayah 2012 di Dewan Rakyat, baru lebih efektif.

“Akta tersebut lebih diluluskan sejak tahun 2012 tetapi dahulu mereka tidak pernah pertikai,” katanya ketika ditemui pada majlis Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Kuala Terengganu di sini hari ini.

Beliau mengulas usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang diluluskan sebulat suara oleh DUN Terengganu yang dianggotai 32 ADUN Perikatan Nasional (PN) pada 25 April lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usul penolakan tersebut merupakan sebahagian usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan semula wang royalti hasil minyak daripada kerajaan Persekutuan.

Rozi berkata, sebagai akta yang diluluskan di peringkat Persekutuan, Dewan Rakyat medium terbaik untuk membahaskannya berbanding DUN.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu Barisan Nasional (BN) sentiasa memastikan rakyat Terengganu terus menikmati wang royalti minyak tanpa mengira cara penyalurannya.

“Sewaktu UMNO menerajui kerajaan negeri Terengganu, kami menggunakan kaedah diplomasi berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu berbangkit berkaitan royalti minyak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment