Oleh NOOR HASLIZA NUSI, MOHD SHARKAWI LONDING, MOHD AZLI ADLAN dan SITI A'ISYAH SUKAIMI
PETALING JAYA – Tinggal kira-kira tiga minggu lagi sebelum umat Islam berpuasa, kebanyakan pengusaha restoran dan hotel di seluruh negara semakin rancak mengatur strategi termasuk ‘berperang’ promosi bufet Ramadan bagi menarik lebih ramai pelanggan.
Ada pengusaha restoran yang menawarkan bufet serendah RM40 seorang pada tahun ini selain memberi lebih tumpuan kepada bilangan pelanggan yang datang secara berkumpulan terutama membabitkan agensi dan syarikat korporat.
Bagi pengusaha hotel pula, mereka mempertaruhkan air tangan cef-cef terkenal dalam menyediakan pelbagai hidangan menarik yang pastinya menjamin kepuasan pelanggan.
Di George Town, Pulau Pinang, pengusaha Restoran Bahtera Impian, Zainuddin Zainul Abidin berkata, pihaknya sedaya upaya mengekalkan tawaran harga istimewa dan mampu milik meskipun berdepan cabaran kenaikan kos bahan mentah ketika ini.
Menurutnya, konsep penganjuran bufet Ramadan tahun ini lebih memfokuskan kepada kehadiran pelanggan dalam kumpulan selain tempat makan yang kondusif.
“Disebabkan itu, kami masih menawarkan harga serendah RM40 untuk 70 jenis menu hidangan selain memperkenalkan promosi istimewa iaitu hanya RM29.90 seorang pada hari pertama dan kedua Ramadan.
“Harga ini sudah cukup untuk semua golongan, tetapi kami lebih menumpukan kepada pelanggan berkumpulan.
“Bukan mahu bersaing harga, tetapi profit yang dicari. Bagi kami, harga murah akan menarik lebih ramai pelanggan datang dan lebih menguntungkan daripada harga tinggi, namun pelanggan pula kurang,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Di Kuala Nerus, Terengganu, Pengurus Jualan dan Pemasaran Hotel Raia Kuala Terengganu, Tina Surinda Karim berkata, bagi menjamin kepuasan pelanggan, pihaknya menyediakan menu istimewa hasil air tangan Cef Asmadi Kassim dan Cef Bob Mazhari Salleh.
Katanya, antara menu yang bakal dihidangkan pada bufet Ramadan kali ini adalah dalca kambing, asam pedas ikan bawal, ekor lembu, ikan patin masak tempoyak, ayam percik versi Pantai Timur dan sayur goreng Jawa.
Tambahnya, pelanggan juga boleh menikmati laksa Pahang serta tiga variasi sup dan kambing panggang.
“Kesemua menu itu dipilih berdasarkan maklum balas daripada pelanggan yang menggemarinya setiap kali berkunjung ke hotel kami selama ini.
“Walaupun harga Bufet Ramadan tahun ini terpaksa dinaikkan, kami optimis akan menerima kehadiran purata 500 orang setiap hari sepanjang Ramadan ini,” ujarnya.
Menurutnya, kebanyakan tempahan diterima daripada pelanggan tetap yang tidak lokek berbelanja sekali-sekala untuk raikan ahli keluarga dan staf syarikat berbuka puasa.
“Jadi mereka tidak akan kisah apabila harga bufet Ramadan tahun ini adalah RM87 bagi dewasa, manakala kanak-kanak RM48 iaitu kenaikan RM10 berbanding tahun lalu.
“Kenaikan itu tidak dapat dielak disebabkan peningkatan kos bahan mentah. Kami sentiasa menggunakan bahan-bahan mentah yang segar dan berkualiti untuk hidangan kami,” ujarnya.
Di Johor Bahru, Johor, Pegawai Pemasaran Hotel Hard Rock Desaru Coast berkata, pihaknya menawarkan diskaun 10 peratus kepada pelanggan yang membuat tempahan secara berkumpulan dengan minimum seramai 30 orang.
Katanya, harga ditawarkan tahun ini bagi dewasa adalah RM138, manakala bagi kanakkanak bawah 12 tahun dan warga emas berusia 65 tahun ke atas adalah RM69 seorang.
“Bagaimanapun, pelanggan boleh memilih atau membuat tempahan awal bermula 1 sehingga 23 Mac ini dengan harga yang lebih murah iaitu RM128 untuk dewasa dan RM64 kanak-kanak dan warga emas,” katanya.

No comments:
Post a Comment