Translate

Monday, March 13, 2023

Tasik Kenyir bakal jadi Taman Geo Kebangsaan ke-9

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara semakin hampir untuk menerima pengiktirafan sebagai Taman Geo Kebangsaan kesembilan.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, cadangan yang telah dikemukakan sejak 2018 itu kini dalam peringkat akhir untuk diluluskan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Pasukan Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan baru selesai melakukan penilaian terhadap potensi Tasik Kenyir sebagai Taman Geo Kebangsaan.

“Saya difahamkan penilaian itu akan dibentang di Putrajaya sebelum keputusannya dijangka diumumkan seawal September depan,” katanya pada hari ter­akhir penilaian tersebut di Kuala Berang, di sini semalam.

Setakat ini, lapan kawasan yang sudah mendapat pengiktirafan sebagai Taman Geo Kebangsaan ialah Langkawi dan Jerai, Kedah; Lembah Kinta dan Lenggong, Perak; Mersing, Johor; Kinabalu, Sabah; Labuan dan Gombak-Hulu Langat, Se­langor.

Ujar Tun Ahmad Faisal, status Taman Geo Kebangsaan tersebut bakal melonjakkan lagi nilai pelancongan dan ekonomi Tasik Kenyir.

Katanya, ia secara tidak langsung akan meningkatkan sosio-ekonomi komuniti setempat yang terdiri daripada masyarakat luar bandar dan Orang Asli.

“Pengurusan Taman Geopark Tasik Kenyir nanti akan dilaksanakan secara bersama oleh Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu, Majlis Daerah Hulu Terengganu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah.

“Selain itu, Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu dan Jabatan Pelancongan negeri turut terlibat secara langsung dalam pengurusan Taman Geo berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata, cadangan untuk memohon status Taman Geo Kebangsaan telah bermula pada 2010, namun permohonan rasmi hanya dibuat lapan tahun kemudian.

Jelas beliau, ia disebabkan beberapa isu teknikal seperti keluasan Tasik Kenyir yang terlalu besar iaitu 209,000 hektar dan bakal melibatkan terlalu banyak agensi pelaksana. -KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment