azli.adlan@kosmo.com.my
KUALA SELANGOR - Kelibat berpuluh-puluh lori keluar masuk di tapak Hyrib Off River Augmentation System (Horas), Kampung Sungai Darah, Bestari Jaya dekat sini tanpa mengira waktu menimbulkan tanda tanya dan kecurigaan penduduk setempat.
Walaupun mendapat kebenaran kerajaan negeri Selangor untuk mengeluarkan pasir di kawasan bekas lombong bijih timah seluas 235 hektar itu, pengeluaran tanpa kawalan termasuk di luar waktu ditetapkan adalah menyalahi prosedur ditetapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Abdul Razak mendakwa, berdasarkan aduan penduduk setempat, pengeluaran pasir dari tapak pembinaan Horas terbabit turut dilakukan pada awal pagi, lewat malam dan hujung minggu.
"Berdasarkan pemantauan yang saya lakukan sendiri mendapati aduan penduduk itu ada asasnya. Lori mengangkut pasir keluar masuk tidak henti-henti.
"Selain itu, perbuatan segelintir pemandu lori berkenaan memandu laju mengusarkan penduduk tentang keselamatan mereka," dakwanya kepada Kosmo! dekat sini baru-baru ini.
Sulaiman mendakwa, pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan permit juga tidak melakukan pemantauan pengeluaran pasir.
"Sehubungan itu saya minta kerajaan negeri mengambil tindakan proaktif agar tidak berlaku ketirisan memandangkan penjualan pasir itu merupakan salah satu pendapatan utama negeri.
"Kerajaan negeri juga perlu telus mendedahkan kuantiti dan nilai pasir yang telah diangkut sejak projek Horas tersebut dilancarkan Mac lalu," dakwa beliau.
Kerajaan negeri Selangor pada 15 Mac lalu telah melancarkan projek Horas yang disasar membekalkan air bersih antara 600 hingga 700 Juta Liter Sehari telah dibangunkan di kawasan bekas lombong bijih timah seluas 235 hektar dan dijangka siap pada Julai 2015.
Kos pembinaan Horas dianggarkan sebanyak bernilai RM405 juta.
No comments:
Post a Comment